KEBERKATAN KETURUNAN NABI IBRAHIM DAN ISHAQ AS
Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.
Nota Kelas Tafsir Jumaat (al-Saffat [37:102]) pada 11 Disember 2015. Antara isunya adalah makna keberkatan pada zuriat keturunan manusia.
Berkat bukan semestinya banyak. Ada yang memiliki “banyak benda” tapi nipis berkatnya. Ada si miskin yang bahagia hidupnya tanpa bebanan hutang walau menu isitimewanya hanya ikan kering dan ulam. Ada ibu bapa yang tak mampu memandikan anaknya dengan kemewahan, tapi mampu mendidik anaknya menjadi insan soleh yang berjaya di dunia dan di akhirat. Istilah berkat memang unik dan abstrak. Mudahnya ia bermaksud sebarang usaha dan harta yang membawa kepada kebaikan yang banyak untuk diri sendiri dan orang lain. Antara manusia yang dilimpahi keberkatan dan memberi manafaat hidayah kepada orang lain adalah nabi Isa AS:
وَجَعَلَنِي مُبَارَكًا أَيْنَ مَا كُنْتُ وَأَوْصَانِي بِالصَّلَاةِ وَالزَّكَاةِ مَا دُمْتُ حَيًّا
Ertinya: Dan Dia menjadikan aku “SEORANG YANG PENUH KEBERKATAN” (menjadi sebab manusia mendapat hidayah) di mana sahaja aku berada, dan diperintahkan aku mengerjakan sembahyang dan memberi zakat selagi aku hidup (Maryam [19:31]).
Antara aspek penting dalam bicara “keberkatan” hidup adalah memiliki ramai anak keturunan yang soleh. Berkat sudut ini memang dikurniakan kepada nabi Ibrahim dan Ishaq AS:
وَبَشَّرْنَاهُ بِإِسْحَاقَ نَبِيًّا مِنَ الصَّالِحِينَ (112) وَبَارَكْنَا عَلَيْهِ وَعَلَى إِسْحَاقَ وَمِنْ ذُرِّيَّتِهِمَا مُحْسِنٌ وَظَالِمٌ لِنَفْسِهِ مُبِينٌ (113)
Ertinya: Dan Kami pula berikan kepadanya berita yang mengembirakan, bahawa dia akan beroleh (seorang anak): Ishaq, yang akan menjadi Nabi, yang terhitung dari orang yang soleh. Dan Kami “LIMPAHI BERKAT KEPADANYA DAN KEPADA (ANAKNYA): ISHAQ”; dan di antara zuriat keturunan keduanya ada yang mengerjakan kebaikan, dan ada pula yang berlaku zalim dengan nyata, terhadap dirinya sendiri (al-Saffat [37:112-113]).
Maksud berkat pada zuriat kedua nabi ini difaham dalam 2 makna (Tafsir al-Razi) iaitu:
1) Keturunan para nabi di kalangan Bani Isra’il berpunca dari sulbi kedua nabi ini. Dalam ayat ini sahaja Allah menamakan seramai 15 orang nabi berasal dari nabi Ibrahim:
وَوَهَبْنَا لَهُ إِسْحَاقَ وَيَعْقُوبَ كُلًّا هَدَيْنَا وَنُوحًا هَدَيْنَا مِنْ قَبْلُ وَمِنْ ذُرِّيَّتِهِ دَاوُودَ وَسُلَيْمَانَ وَأَيُّوبَ وَيُوسُفَ وَمُوسَى وَهَارُونَ وَكَذَلِكَ نَجْزِي الْمُحْسِنِينَ (84) وَزَكَرِيَّا وَيَحْيَى وَعِيسَى وَإِلْيَاسَ كُلٌّ مِنَ الصَّالِحِينَ (85) وَإِسْمَاعِيلَ وَالْيَسَعَ وَيُونُسَ وَلُوطًا وَكُلًّا فَضَّلْنَا عَلَى الْعَالَمِينَ (86) وَمِنْ آَبَائِهِمْ وَذُرِّيَّاتِهِمْ وَإِخْوَانِهِمْ وَاجْتَبَيْنَاهُمْ وَهَدَيْنَاهُمْ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ (87)
Ertinya: Dan Kami telah kurniakan kepada Nabi Ibrahim: (anaknya) Ishak (dari isterinya Sarah), dan (cucunya) (1) Yaakub. Setiap (dari mereka) Kami telah berikan petunjuk, dan Nabi Nuh juga Kami telah berikan petunjuk dahulu sebelum itu; dan dari keturunan Nabi Ibrahim itu (ialah Nabi-nabi): (2) Daud, (3) Sulaiman, (4) Ayub, (5) Yusuf, (6) Musa, (7) Harun. Dan demikianlah Kami memberi balasan kepada orang yang berusaha supaya baik amal perbuatannya. Dan (dari keturunannya juga ialah): (8) Zakaria, (9) Yahya, (10) Isa, (11) Ilyas; semuanya dari orang yang soleh. Dan (dari keturunannya juga ialah nabi): (12) Ismail, (13) Alyasak, (14) Yunus, (15) Lut; dan mereka itu semuanya, Kami lebihkan darjat mereka atas umat (yang ada pada zamannya). Dan (Kami juga lebihkan darjat) sebahagian daripada datuk nenek mereka, dan keturunan mereka, dan mereka, dan keturunan mereka, dan saudara mereka; dan Kami telah pilih mereka, serta Kami tunjukkan mereka ke jalan yang lurus (al-An’am [6:84-87]).
2) Allah mengekalkan nama baik untuk kedua nabi ini. Pujian kepada mereka juga kekal berterusan sehingga kiamat:
فَلَمَّا اعْتَزَلَهُمْ وَمَا يَعْبُدُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ وَهَبْنَا لَهُ إِسْحَاقَ وَيَعْقُوبَ وَكُلًّا جَعَلْنَا نَبِيًّا (49) وَوَهَبْنَا لَهُمْ مِنْ رَحْمَتِنَا وَجَعَلْنَا لَهُمْ لِسَانَ صِدْقٍ عَلِيًّا (50)
Ertinya: Maka apabila dia (Ibrahim) berhijrah meninggalkan mereka dan apa yang mereka sembah selain dari Allah, kami kurniakan kepadanya: Ishak (anaknya), dan Yaakub (cucunya); dan keduanya Kami jadikan berpangkat Nabi. Dan Kami kurniakan kepada mereka dari rahmat Kami, dan “KAMI JADIKAN BAGI MEREKA SEBUTAN DAN PUJIAN YANG TINGGI DALAM KALANGAN UMAT MANUSIA (SEHINGGA AKHIR ZAMAN).” (Maryam [19:49-50]).
Memang mustahil bagi kita untuk menjadi nabi seperti mereka berdua, namun limpahan keberkatan pada zuriat keturunan kita seperti apa yang mereka capai tidak mustahil kita usahakan. Bagaimana caranya? Ikutlah langkah perjuangan mereka. Contohilah pengorbanan, taqwa dan amal soleh mereka. Mereka adalah sebaik ikutan:
أُولَئِكَ الَّذِينَ هَدَى اللَّهُ فَبِهُدَاهُمُ اقْتَدِهِ قُلْ لَا أَسْأَلُكُمْ عَلَيْهِ أَجْرًا إِنْ هُوَ إِلَّا ذِكْرَى لِلْعَالَمِينَ
Ertinya: Mereka (Nabi-nabi) itulah, orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah, maka turutlah olehmu (wahai Muhammad) akan petunjuk mereka; Katakanlah: "Aku tidak meminta upah kepada kamu mengenai petunjuk (Al-Quran yang aku sampaikan) itu. Al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan bagi penduduk alam seluruhnya (al-An’am [6:90]).
Limpahkan sifat soleh dalam pendidikan kita terhadap anak, cucu, cicit dan piut kita. Harimau mati meninggalkan belang, manusia soleh mati meninggalkan legasi dan keberkatan amalan serta zuriat yang soleh.
* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:
https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari
* Dapatkan buku penulis:
http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/
http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/
http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/
No comments:
Post a Comment