Saturday, December 12, 2015

JUARA CARTA MANUSIA YANG PALING DAHSYAT DIAZAB

JUARA CARTA MANUSIA YANG PALING DAHSYAT DIAZAB

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Khamis (al-Ma’idah [5:114-115]) pada 10 Disember 2015. Antara isunya adalah 3 kumpulan manusia yang paling teruk diseksa Allah di dunia dan di akhirat.

Siapakah manusia jahat yang paling dahsyat azabnya di akhirat kelak? Marilah kita lihat apa kata Abdullah ibn ‘Amru RA:

إن أشدّ الناس عذابًا ثلاثة: المنافقون، ومن كفر من أصحاب المائدة، وآل فرعون

Ertinya: 3 kumpulan manusia yang paling dahsyat diazab Allah adalah (1) orang munafiq, (2) pengikut nabi Isa yang kufur selepas turunnya hidangan langit dan (3) para pengikut serta keluarga Fir’awn (Tafsir al-Tabari).

Mereka ini menduduki tangga teratas carta azab Allah kerana jenayah keji yang bersebati dengan mereka. Al-Quran memperincikan tabiat mereka agar tidak menjadi anutan apatah lagi ikutan kita:

1) Orang Munafiq:

إِنَّ الْمُنَافِقِينَ فِي الدَّرْكِ الْأَسْفَلِ مِنَ النَّارِ وَلَنْ تَجِدَ لَهُمْ نَصِيرًا

Ertinya: Sesungguhnya orang-orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan yang paling bawah dari (lapisan dalam) neraka. Dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat sesiapa pun yang boleh menolong mereka (al-Nisa’[4:145]).

Munafiq ada 2 jenis, iaitu munafiq asli dan muslim yang terpalit “tahi munafiq.” Keduanya bahaya dan wajib dijauhi sejauh mungkin. Tahi munafiq yang boleh terpalit pada muslim banyak kali disebut Rasulullah SAW, antaranya:

آيَةُ الْمُنَافِقِ ثَلَاثٌ إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ وَإِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ

Ertinya: Tanda sifat munafiq itu ada 3, apabila berbicara (mudah) menipu, apabila berjanji senang dilanggar dan apabila diberi amanah senang mengkhianatinya (Sahih al-Bukhari & Muslim).

Manakala Munafiq asli pula adalah pendendam yang sangat membenci Islam seperti Abdullah bin Ubay bin Salul. Pantang lepa peluang, pasti ada binaan Islam yang dipahat biar runtuh. Pasti ada orang Islam yang merana dianiaya mereka. Perjuangan mereka hanya satu iaitu memusnahkan Islam. Banyak sekali celaan Allah pada mereka, antaranya:

الَّذِينَ يَتَرَبَّصُونَ بِكُمْ فَإِنْ كَانَ لَكُمْ فَتْحٌ مِنَ اللَّهِ قَالُوا أَلَمْ نَكُنْ مَعَكُمْ وَإِنْ كَانَ لِلْكَافِرِينَ نَصِيبٌ قَالُوا أَلَمْ نَسْتَحْوِذْ عَلَيْكُمْ وَنَمْنَعْكُمْ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ فَاللَّهُ يَحْكُمُ بَيْنَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَلَنْ يَجْعَلَ اللَّهُ لِلْكَافِرِينَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ سَبِيلًا

Ertinya: (Mereka yang munafik itu ialah) orang yang sentiasa menunggu (berlakunya sesuatu) kepada kamu; maka kalau kamu mendapat kemenangan dari Allah (dalam sesuatu peperangan), berkatalah mereka (kepada kamu): "Bukankah kami turut berjuang bersama kamu? (Oleh itu kami juga berhak menerima bahagian dari harta rampasan perang)". Dan jika orang kafir pula mendapat bahagian (yang menguntungkan dalam peperangan), berkatalah mereka (kepada orang kafir itu): "Bukankah kami turut membantu kamu dan mempertahankan kamu dari (serang balas) orang yang beriman (dengan mendedahkan rahsia perpaduannya)?" Maka Allah akan menghakimi di antara kamu semua pada hari kiamat; dan Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang kafir untuk membinasakan orang yang beriman (al-Nisa’ [4:141]).

Mereka ini sebenar KAFIR pada penilaian Allah dan jauh lebih bahaya dari orang kafir yang zahir di depan mata. Maka patut sekali mereka menempati dasar neraka bersama Iblis di akhirat kelak.

2) Pengikut dan keluarga Fir’awn:

النَّارُ يُعْرَضُونَ عَلَيْهَا غُدُوًّا وَعَشِيًّا وَيَوْمَ تَقُومُ السَّاعَةُ أَدْخِلُوا آَلَ فِرْعَوْنَ أَشَدَّ الْعَذَابِ

Ertinya: Mereka didedahkan kepada bahang api neraka pada waktu pagi dan petang (semasa mereka berada dalam alam Barzakh); dan pada hari berlakunya kiamat (diperintahkan kepada malaikat): "Masukkanlah Firaun dan pengikut-pengikutnya ke dalam azab seksa api neraka yang seberat-beratnya!" (Ghafir [40:46]).

Fir’awn memang jahat, namun dia seorang diri tidak mampu “mengkeronyok” Bani Isra’il tanpa sokongan para pengikutnya dari bangsa Qibti Mesir. Entah sudah berapa ramai bayi Bani Isra’il disembelih mereka sejak Fir’awn mengeluarkan arahan bunuh. Bahkan arahan bunuh bayi Bani Isra’il turut diapikan mereka:

وَقَالَ الْمَلَأُ مِنْ قَوْمِ فِرْعَوْنَ أَتَذَرُ مُوسَى وَقَوْمَهُ لِيُفْسِدُوا فِي الْأَرْضِ وَيَذَرَكَ وَآَلِهَتَكَ قَالَ سَنُقَتِّلُ أَبْنَاءَهُمْ وَنَسْتَحْيِي نِسَاءَهُمْ وَإِنَّا فَوْقَهُمْ قَاهِرُونَ

Ertinya: Dan berkatalah pula para ketua dari kaum Firaun: "Adakah engkau (wahai Firaun) hendak membiarkan Musa dan kaumnya untuk melakukan kerosakan di bumi (Mesir) dan meninggalkanmu serta apa yang dipuja olehmu?" Firaun menjawab: "Kita akan membunuh anak lelaki mereka dan kita biarkan hidup anakanak perempuan mereka, dan kita tetap menguasai (menundukkan) mereka" (al-A’raf[7:127]).

Memang patut mereka diazab pedih semenjak melangkah ke alam barzakh lagi sebagaimana ayat 40 surah Ghafir di atas. Kejahatan dan kezaliman mereka memang tiada tara.

3) Pengikut nabi Isa AS yang meni’mati hidangan langit:

قَالَ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ اللَّهُمَّ رَبَّنَا أَنْزِلْ عَلَيْنَا مَائِدَةً مِنَ السَّمَاءِ تَكُونُ لَنَا عِيدًا لِأَوَّلِنَا وَآَخِرِنَا وَآَيَةً مِنْكَ وَارْزُقْنَا وَأَنْتَ خَيْرُ الرَّازِقِينَ (114) قَالَ اللَّهُ إِنِّي مُنَزِّلُهَا عَلَيْكُمْ فَمَنْ يَكْفُرْ بَعْدُ مِنْكُمْ فَإِنِّي أُعَذِّبُهُ عَذَابًا لَا أُعَذِّبُهُ أَحَدًا مِنَ الْعَالَمِينَ (115)

Ertinya: Isa ibni Maryam (pun berdoalah ke hadrat Allah dengan) berkata: Ya Allah, Tuhan kami! Turunkanlah kiranya kepada kami satu hidangan dari langit, untuk menjadi hari raya bagi kami, iaitu bagi kami yang ada hari ini dan bagi orang kami yang datang kemudian, dan sebagai satu tanda (mukjizat) daripadamu (yang menunjukkan kebesaran dan kekuasaanMu); dan kurniakanlah rezeki kepada kami, kerana Engkau jualah sebaik-baik Pemberi rezeki". Allah berfirman: "Sesungguhnya Aku akan menurunkan hidangan itu berulang-ulang kepada kamu, KEMUDIAN SESIAPA DI ANTARA KAMU KUFUR INGKAR SESUDAH (TURUNNYA HIDANGAN ITU), MAKA SESUNGGUHNYA AKU AKAN MENYEKSANYA DENGAN AZAB SENGSARA YANG TIDAK PERNAH AKU SEKSAKAN SESEORANG PUN DARI SEKALIAN MAKHLUK" (al-Ma’idah [5:114-115]).

Mendapat hidangan langit bukan calang-calang ni’mat. Bukan semua berpeluang mendapat ni’mat sebegini. Harganya sangat mahal dan memerlukan keteguhan iman yang konsisten. Jika ada yang masih meragui kerasulan nabi Isa AS selepas mendapat ni’mat ini, selayaknya dia diazab Allah dengan azab yang paling dahsyat. Menurut para ulama Tafsir, golongan engkar dari umat nabi Isa AS selepas mendapat hidangan langit disumpah menjadi kera dan babi (Tafsir al-Tabari).

Kisah mereka bukan sekadar cerita penghias lembaran al-Quran tetapi menuntut kita agar belajar dari kesilapan mereka. Sikap mereka seumpama “penyakit kronik jiwa” yang boleh menyambar sesiapa sahaja pada setiap zaman. Oleh itu, umat Islam wajib memiliki “UBAT ILMU DAN ANTIBODI IMAN” bagi menangkis serangan virus rohani seperti yang pernah mereka hidapi. Jika begini cara kita dalam berinteraksi dengan kisah al-Quran, barulah al-Quran menjadi ubat jiwa yang mujarab menyelamatkan kita di dunia dan di akhirat walaupun tanpa memakan produk murahan yang kononnya sudah “DITAHFIZKAN DENGAN 30 JUZUK AL-QURAN.”

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...