Wednesday, December 16, 2015

JANGAN KEDEKUT UNTUK PERKENALKAN RASULULLAH SAW KEPADA YANG BELUM ISLAM

JANGAN KEDEKUT UNTUK PERKENALKAN RASULULLAH SAW KEPADA YANG BELUM ISLAM

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

“Ustaz! Boleh tak baca-baca sikit (jampi) untuk anak saya?”

Saya terkejut besar apabila didatangi jiran sebelah rumah yang beragama Hindu bersama ibu mentuanya membawa bayi kecil berusia 4 tahun. Ini kisah yang saya alami beberapa tahun lepas. Venie dan ibu mentuanya Devi meminta saya menjampi Jishnu yang sudah beberapa hari sakit.

Kisahnya, mereka sekeluarga membawa Jishnu ke majlis perkahwinan dan dalam majlis itu Jishnu mengkagumkan semua tetamu dengan tariannya. Berdasarkan kisah itu, saya syak Jishnu mungkin terkena panahan jahat mata manusia yang hasad atau kagum. Setelah selesai membaca beberapa ayat suci al-Quran, saya membuka bicara dakwah:

“Nabi kita, Muhammad SAW ada menyebut tentang sejenis penyakit rohani yang unik iaitu panahan jahat mata manusia atau AL-‘AYN. Orang putih panggil penyakit ini “evil eye”, manakala orang Melayu namakan ia “keteguran.” Penyakit ini boleh keluar dari mata manusia yang memandang jika ia disertai rasa kagum atau hasad. Seeloknya kita elakkan anak kita dari terdedah kepada pandangan umum kerana mereka masih lemah dan senang terkena sakit ini. Tapi awak masih perlu bawa Jishnu jumpa doktor selepas ini.”

Saya tambah terkejut apabila Venie menghulurkan sedikit duit atas jampian yang saya buat. Saya tolak wang tersebut dan sebelum pulang saya bekalkan mereka dengan air yang sudah dibacakan beberapa ayat suci al-Quran.

Venie dan Devi mungkin tidak memahami apa yang saya jelaskan mengenai penyakit Ain, tapi saya sengaja menyebut nama Rasulullah SAW sebagai "nabi kita" agar hati mereka terbuka untuk mengenali baginda dan mempelajari Islam. Ini dakwah mudah yang saya lakukan.

Dalam sebuah kuliah di surau taman perumahan kami, saya pernah berkongsi maklumat mengenai “Kalki Avatar” iaitu penyelamat terakhir yang disebut dalam kitab Hindu. Sifat watak ini sangat mirip dengan Rasulullah SAW. Ia seakan diakui oleh Dr. Ved Prakash Upaddhay iaitu seorang pengkaji sejarah dari Universiti Prayag, India dalam bukunya “Muhammad In The Hindu Scriptures.” Walaupun penilaian beliau itu masih berada pada tahap hipotesis, ia disokong kuat oleh gabungan fakta daripada kitab agama Hindu dan Islam.

Rupanya maklumat itu dihadam oleh Fadhli iaitu seorang jemaah surau saya yang berkerja sebagai mekanik. Dengan bangga Fadhli bercerita:

“Ustaz! Hari tu bengkel kereta saya didatangi oleh seorang lelaki India beragama Hindhu. Sambil membaiki keretanya saya bertanya adakah dia kenal Kalki Avatar yang memang disebut oleh kitab agamanya. Langsung si India tu melopong apabila mendengar penjelasan saya bahawa Kalki Avatar tu adalah nabi kita Muhammad SAW.”

Kagum saya mendengar cerita Fadhli. Inilah sikap oppurtunis dakwah yang sepatutnya ada dalam setiap jiwa Muslim. Jangan segan atau malu untuk memperkenalkan siapa Rasulullah SAW. Baginda bukan hanya menjadi milik ekslusif orang Melayu atau orang Arab, tetapi menjadi utusan Allah untuk semua manusia. Firman Allah:

قُلْ يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنِّي رَسُولُ اللَّهِ إِلَيْكُمْ جَمِيعًا الَّذِي لَهُ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ يُحْيِي وَيُمِيتُ فَآَمِنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ النَّبِيِّ الْأُمِّيِّ الَّذِي يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَكَلِمَاتِهِ وَاتَّبِعُوهُ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ

Ertinya: Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya aku adalah Pesuruh Allah kepada kamu semuanya, (di utus oleh Allah) yang menguasai langit dan bumi, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang menghidupkan dan mematikan. Oleh itu, berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya, Nabi yang Ummi yang beriman kepada Allah dan kalimahNya (kitabNya); dan ikutilah dia, supaya kamu beroleh hidayah petunjuk" (al-A’raf [7:158]).

Nabi Muhammad SAW yang dilahirkan pada hari Isnin, 9 Rabi’ al-Awwal, Tahun Gajah, bersamaan dengan 20 atau 22 April 571 Masihi (al-Rahiq al-Makhtum, hal. 71) adalah Pesuruh Allah yang perlu diperkenalkan kepada semua manusia. Inilah tujuan utama pengutusan baginda. Biar kita yang mencintai Rasulullah memperkenalkan baginda melalui pintu yang betul daripada golongan belum Islam mengenali baginda melalui jalan yang ditabur racun oleh musuh Islam.

Para sahabat Rasulullah yang berjasa besar menyebar luas Islam ke seluruh dunia pun dahulunya berasal dari kalangan "belum Islam" sehinggalah Rasulullah memperkenal diri kepada mereka.

Usaha memperkenalkan Rasulullah SAW kepada semua wajib berlaku sepanjang masa dan pastinya ia perlu digandakan sempena bulan kelahiran baginda SAW. Banyak cara yang boleh dilakukan seperti melancarkan kempen Bulan Sunnah Nabi SAW Peringkat Kebangsaan bagi memperkenalkan sunnah baginda SAW yang merangkumi segala aspek kehidupan kepada semua.

Juga boleh diwujudkan segmen Sirah Rasulullah SAW secara ringkas pada waktu perdana di televisyen utama Malaysia. Langkah ini boleh menjadi serampang dua mata selaku penyubur rasa cinta kepada baginda SAW untuk orang Islam dan aspek dakwah kepada golongan bukan Islam.

Ayuhlah kita maju bersama memperkenalkan Rasulullah SAW kepada semua manusia tanpa mengira bangsa dan agama mereka. Inilah antara Sunnah baginda SAW yang biasa dilepas pandang oleh manusia yang lahir mewarisi Islam seperti sesetengah orang Melayu. Semarakkan  budaya dakwah semoga Rasulullah SAW tersenyum memandang kita di Telaga Kawthar di akhirat kelak.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...