ISTIQAMAH ITU MEMUTIHKAN KEPALA
Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.
Nota Kelas Tafsir Rabu (Hud[11:112]) pada 23 Disember 2015. Antara isunya adalah kepentingan dan kesukaran Istiqamah atau konsisten dalam melaksanakan arahan Allah.
Tidak semudah menutur di lidah, istiqamah atau senantiasa teguh dengan Islam memerlukan sesuatu yang sangat lebih. Lebih segalanya, lebih dari sudut akidah, akhlak dan amal soleh. Orang yang istiqamah akidahnya tetap bernafas dengan Tawhid. Walau apa datang melanda, Tuhannya hanya Allah. Akhlak senantiasa dijaga agar dirinya menjadi cermin Islam kepada yang lain. Amal solehnya juga konsisten walaupun tidak banyak. Dia tahu amal yang sedikit tetapi konsisten lebih baik dari amalan bertimbun tetapi bermusim. Sabda Rasulullah SAW ini dipegang dengan teguh:
عَنْ عَائِشَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سُئِلَ أَيُّ الْعَمَلِ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ قَالَ أَدْوَمُهُ وَإِنْ قَلَّ
Ertinya: ‘Aisyah RA menceritakan Rasulullah SAW pernah ditanya apakah amalan yang PALING DICINTAI ALLAH? Baginda menjawab: Amalan yang berterusan dilakukan walaupun sedikit jumlahnya (Sahih al-Bukhari & Sahih Muslim).
Arahan istiqamah bukan calang-calang! Ia ditegaskan khusus oleh Allah dalam al-Quran. Pastinya ayat yang mengarahkan istiqamah bukan untuk menjadi hiasan dinding tetapi perlu dipasak ke dalam hati:
فَاسْتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ وَمَنْ تَابَ مَعَكَ وَلَا تَطْغَوْا إِنَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ
Ertinya: Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan hendaklah orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas hukum Allah; sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan (Hud[11:112]).
Rasulullah SAW pun beruban apabila mengenangkan surah Hud:
شَيَّبَتْنِي هُودٌ وَالْوَاقِعَةُ وَالْمُرْسَلَاتُ وَعَمَّ يَتَسَاءَلُونَ وَإِذَا الشَّمْسُ كُوِّرَتْ
Ertinya: (Isi kandungan) surah Hud, al-Waqi’ah, al-Mursalat, al-Naba’ dan al-Takwir menyebabkan aku beruban (Sunan al-Tirmidhi).
Mengapa sampai beruban? Ia adalah kiasan kepada betapa beratnya isi kandungan semua surah tersebut. Menurut Abdullah Ibn ‘Abbas, ayat yang mengarahkan baginda agar senantiasa istiqamah itu sangat sukar dilaksanakan sehingga seakan ia memutihkan kepala baginda SAW (Tafsir al-Razi).
Dalam sebuah hadith Rasulullah SAW berpesan kepada sahabatnya agar turut istiqamah dalam imannya kepada Allah:
أَنَّ رَجُلًا قَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَخْبِرْنِي أَمْرًا فِي الْإِسْلَامِ لَا أَسْأَلُ عَنْهُ أَحَدًا بَعْدَكَ قَالَ قُلْ آمَنْتُ بِاللَّهِ ثُمَّ اسْتَقِمْ
Ertinya: Seorang lelaki berkata: Wahai Rasulullah beritahu padaku suatu perkara dalam Islam (yang cukup untukku bertanya padamu) tanpa aku perlu bertanya sesiapapun selepasmu. Rasulullah menjawab: Sebutlah aku beriman kepada Allah, kemudian berpegang teguhlah (dengannya) (Musnad Ahmad).
Bukan setakat Rasulullah SAW, nabi Musa dan Harun AS turut diarahkan agar istiqamah dalam perjuangan mereka menentang kezaliman Fir’awn:
قَالَ قَدْ أُجِيبَتْ دَعْوَتُكُمَا فَاسْتَقِيمَا وَلَا تَتَّبِعَانِّ سَبِيلَ الَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ
Ertinya: Allah berfirman: "Sesungguhnya telah dikabulkan doa kamu berdua; “OLEH ITU HENDAKLAH KAMU TETAP (MENJALANKAN PERINTAHKU SETERUSNYA)”, dan janganlah kamu menurut jalan orang yang tidak mengetahui (peraturan janjiKu)" (Yunus [10:89]).
Allah itu Maha Adil. Walau istiqamah sangat sukar dilakukan, namun tuaiannya sangat manis. Ia sudah mula dirasai oleh para pejuang semasa di dunia, setelah melangkah ke alam barzakh dan setelah bangkit di akhirat kelak (Tafsir Ibn Kathir):
إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمُ الْمَلَائِكَةُ أَلَّا تَخَافُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَبْشِرُوا بِالْجَنَّةِ الَّتِي كُنْتُمْ تُوعَدُونَ
Ertinya: Sesungguhnya orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: "Tuhan kami ialah Allah", kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): "Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu (Fussilat [41:30])
* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:
https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari
* Dapatkan buku penulis:
http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/
http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/
http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/
No comments:
Post a Comment