Saturday, November 21, 2015

TUNGGANG LANGGANG DUNIA APABILA NAFSU MENJADI AGAMA

TUNGGANG LANGGANG DUNIA APABILA NAFSU MENJADI AGAMA

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Selasa (al-Qasas [28:49-50]) pada 17 November 2015. Antara isunya fungsi nafsu manusia yang menjadi tunggangan syaitan.

Nampak sahaja banyak, tapi sebenarnya agama dunia cuma “dua iaitu Islam dan bukan Islam.” Islam ditaja oleh Allah dan disampaikan oleh Rasulullah SAW, manakala bukan islam pula ditaja oleh Iblis dan disampaikan "secara kreatif" oleh berbagai wakilnya dalam berbagai nama agama. Agama nafsu boleh menjadi agama "secukup rasa."

Yang atheis tidak mengakui kewujudan Tuhan sekalipun masih berada dalam agama tajaan Iblis. Slogan Iblis senang sahaja iaitu "ASAL BUKAN ISLAM." Bahkan yang sudah Islam pun masih mampu dirosakkan oleh Iblis sehingga menjadi pelampau yang sanggup menyembelih orang tidak bersalah atas nama agama seperti ISIS dan sebagainya.

Antara salah satu kitab rujukan agama Iblis adalah "NAFSU." Apa istimewanya si nafsu sehingga diangkat sebagai rujukan oleh iblis? Ia dijelaskan Allah dalam sumpahnya:

إِنْ يَدْعُونَ مِنْ دُونِهِ إِلَّا إِنَاثًا وَإِنْ يَدْعُونَ إِلَّا شَيْطَانًا مَرِيدًا (117) لَعَنَهُ اللَّهُ وَقَالَ لَأَتَّخِذَنَّ مِنْ عِبَادِكَ نَصِيبًا مَفْرُوضًا (118)

Ertinya: Apa yang mereka sembah yang lain dari Allah itu, hanyalah berhala-berhala (makhluk-makhluk yang lemah), dan mereka (dengan yang demikian) tidak menyembah melainkan Syaitan yang derhaka; Yang telah dilaknat oleh Allah, dan yang telah mengatakan: "DEMI SESUNGGUHNYA, AKU AKAN MENGAMBIL DARI KALANGAN HAMBAMU, BAHAGIAN YANG TERTENTU (UNTUK MENJADI PENGIKUTKU);” (al-Nisa’ [4:117-118]).

Nafsu manusia yang tidak dipandu agama mampu menumbuhkan sayap untuk terbang jauh tanpa batasan akal. Ia mampu menjadi kenderaan untuk merentas alam tanpa sempadan halal atau haram. Ia mampu menjadi "steroid" lalu mendorong manusia untuk menjadi makhluk paling jahat jauh lebih jahat dari Iblis. Seakan Iblis pun bangun berdiri untuk tabik hormat pada manusia yang buas dalam nafsunya.

Orang Mekah dahulu menolak al-Quran dan Tawrat mentah-mentah kerana keduanya teguh menyebut isu akhirat. Nafsu para penjahat Mekah pada zaman Rasulullah SAW begitu “alahan” dengan berita akhirat kerana iman kepada akhirat akan mengancam kegiatan jahat mereka. Langkah paling mudah adalah menafikan iman kepada akhirat atau menolak terus al-Quran atau al-Tawrat:

قُلْ فَأْتُوا بِكِتَابٍ مِنْ عِنْدِ اللَّهِ هُوَ أَهْدَى مِنْهُمَا أَتَّبِعْهُ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ (49) فَإِنْ لَمْ يَسْتَجِيبُوا لَكَ فَاعْلَمْ أَنَّمَا يَتَّبِعُونَ أَهْوَاءَهُمْ وَمَنْ أَضَلُّ مِمَّنِ اتَّبَعَ هَوَاهُ بِغَيْرِ هُدًى مِنَ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ (50)

Ertinya: Katakanlah (wahai Muhammad): "Kalau demikianlah sikap kamu (wahai Musyrikin Mekah) maka bawalah sebuah Kitab dari sisi Allah yang dapat memberi panduan lebih daripada keduanya (Tawrat dan al-Quran), supaya aku menurutnya. (Bawalah dia) jika betul kamu orang-orang yang benar ". Kemudian, kalau mereka tidak dapat menerima cabaranmu (wahai Muhammad), “MAKA KETAHUILAH, SESUNGGUHNYA MEREKA HANYALAH MENURUT HAWA NAFSU MEREKA; DAN TIDAK ADA YANG LEBIH SESAT DARIPADA ORANG YANG MENURUT HAWA NAFSUNYA DENGAN TIDAK BERDASARKAN HIDAYAH PETUNJUK DARI ALLAH.” Sesungguhnya Allah tidak memberi pimpinan kepada kaum yang zalim (yang berdegil dalam keingkarannya) (al-Qasas [28:49-50]).

Manusia yang bertuhankan nafsu akan hilang punca. Nafsu buas mampu menggelapkan jiwa. Apabila jiwa sudah gelap tanpa panduan agama, semua larangan Allah mampu dilanggar tanpa resah:

أَفَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَٰهَهُ هَوَاهُ وَأَضَلَّهُ اللَّهُ عَلَىٰ عِلْمٍ وَخَتَمَ عَلَىٰ سَمْعِهِ وَقَلْبِهِ وَجَعَلَ عَلَىٰ بَصَرِهِ غِشَاوَةً فَمَنْ يَهْدِيهِ مِنْ بَعْدِ اللَّهِ ۚ أَفَلَا تَذَكَّرُونَ

Ertinya: Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipatuhinya, dan ia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahuiNya (bahawa ia tetap kufur ingkar), dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf? (al-Jathiyah[45:23]).

Nafsu yang tidak dikekang agama sangat berbahaya. Ia mampu meruntuhkan alam:

وَلَوِ اتَّبَعَ الْحَقُّ أَهْوَاءَهُمْ لَفَسَدَتِ السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ وَمَنْ فِيهِنَّ ۚ بَلْ أَتَيْنَاهُمْ بِذِكْرِهِمْ فَهُمْ عَنْ ذِكْرِهِمْ مُعْرِضُونَ

Ertinya: “DAN KALAULAH KEBENARAN ITU TUNDUK MENURUT HAWA NAFSU MEREKA, NESCAYA ROSAK BINASALAH LANGIT DAN BUMI SERTA SEGALA YANG ADANYA.” (Bukan sahaja Kami memberikan ugama yang tetap benar) bahkan Kami memberi kepada mereka Al-Quran yang menjadi sebutan baik dan mendatangkan kemuliaan kepada mereka; maka Al-Quran yang demikian keadaannya, mereka tidak juga mahu menerimanya (al-Mu'minun [23:71]).

Arahan mengekang nafsu bukan hanya untuk manusia biasa, bahkan turut diberikan kepada para nabi seperti nabi Dawud. Tidak lain, ia menunjukkan betapa beracunnya nafsu yang tidak dikekang:

يَا دَاوُودُ إِنَّا جَعَلْنَاكَ خَلِيفَةً فِي الْأَرْضِ فَاحْكُمْ بَيْنَ النَّاسِ بِالْحَقِّ وَلَا تَتَّبِعِ الْهَوَىٰ فَيُضِلَّكَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ ۚ إِنَّ الَّذِينَ يَضِلُّونَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ لَهُمْ عَذَابٌ شَدِيدٌ بِمَا نَسُوا يَوْمَ الْحِسَابِ

Ertinya: Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu); “DAN JANGANLAH ENGKAU MENURUT HAWA NAFSU, KERANA YANG DEMIKIAN ITU AKAN MENYESATKANMU DARI JALAN ALLAH.” Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu (Sad[38:26]).

Bagi menghalang diri diperkuda atau dirasuk nafsu, taatilah Allah dan Rasulullah:

قُلْ أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ ۖ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَإِنَّمَا عَلَيْهِ مَا حُمِّلَ وَعَلَيْكُمْ مَا حُمِّلْتُمْ ۖ وَإِنْ تُطِيعُوهُ تَهْتَدُوا ۚ وَمَا عَلَى الرَّسُولِ إِلَّا الْبَلَاغُ الْمُبِينُ

Ertinya: Katakanlah lagi (kepada mereka): " Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada Rasul Allah. Kemudian jika kamu berpaling ingkar maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Rasul Allah hanya bertanggungjawab akan apa yang ditugaskan kepadanya, dan kamu pula bertanggungjawab akan apa yang ditugaskan kepada kamu. DAN JIKA KAMU TAAT KEPADANYA NESCAYA KAMU BEROLEH HIDAYAH PETUNJUK; dan (sebenarnya) Rasul Allah hanyalah bertanggungjawab menyampaikan perintah-perintah Allah dengan penjelasan yang terang nyata". (24:54]).

Ketika mengulas ayat ini, Abu ‘Uthman al-Naysaburi menyebut:

من أمر السنة على نفسه قولا وفعلا نطق بالحكمة ، ومن أمر الهوى على نفسه نطق بالبدعة ، قال تعالى : وإن تطيعوه تهتدوا .
Ertinya: Sesiapa yang menghidupkan al-Sunnah ke atas dirinya pada perkataan dan perbuatannya, dia akan berbicara dengan al-Hikmah (bijaksana), MANAKALA SESIAPA YANG MENURUT NAFSUNYA AKAN BERBICARA (HIDUP) DENGAN BID’AH. Ini kerana Allah menyebut: DAN JIKA KAMU TAAT KEPADANYA (RASULULLAH) NESCAYA KAMU BEROLEH HIDAYAH PETUNJUK (Siyar A’lam al-Nubala’).

Semoga usaha kita mendekati al-Quran dan al-Sunnah secara berterusan mampu membantu mengekang gelojak nafsu yang senantiasa dicangkuk oleh Iblis ke arah agamanya yang berbagai. Selamatkan kami dari gelojak nafsu yang buas kerana hanya Engkau Ya Allah mampu selamatkan kami:

اللَّهُمَّ آتِ نَفْسِي تَقْوَاهَا وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلَاهَا

Ertinya: Ya Allah! Berikan hati (jiwa) kami sifat taqwanya. Sucikanlah ia kerana Engkau (Ya Allah) adalah sebaik-baik Zat yang mampu menyucikannya, (kerana) Engkaulah tuan dan pemilikNya (Sahih Muslim).

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...