Sunday, October 18, 2015

KISAH ORANG MENGANTUK DALAM PERANG BADAR DAN UHUD

KISAH  ORANG MENGANTUK DALAM PERANG BADAR DAN UHUD

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Jumaat 16 Oktober 2015 dalam Masjid Nabawi, Madinah.

"Mengantuk dalam kegawatan perang adalah tentera Allah."

Ziarah ke Medan perang Uhud semalam mengingatkan saya tentang makhluk Allah yang sangat kuat tetapi sering dipandang remeh oleh kebanyakan manusia.

Saya agak terkejut ketika kali pertama membaca ayat al-Quran berkaitan rasa "mengantuk" dalam perang Badar dan Uhud. Hati tertanya-tanya, masakan rasa mengantuk boleh muncul dalam kegawatan perang?  Ketika pedang dilibas kencang, panah terbang bersimpang siur, keringat mengalir deras di badan, masih ada yang mengantuk?

Walaupun pelik, itulah hakikat yang berlaku dalam kedua perang tersebut. Rasa mengantuk dalam perang rupanya suatu bantuan Allah kepada tentera Muslimin. Dalam perang Badar,  rasa mengantuk menimpa sebelum perang, manakala dalam perang Uhud ia menimpa ketika kegawatan perang sedang berlaku.

Pada malam sebelum berlakunya perang Badar, tentera Muslimin dirahmati hujan yang mencetuskan suasana nyaman. Elok sekali, badan sudah keletihan berjalan meninggalkan Madinah, ditambah air yang cukup, pasir tempat berpijak juga sudah padat lagi kukuh tidak menyakitkan kaki dan rasa mengantuk yang melegakan mata. Lalu tidurlah para sahabat dengan nyenyak mendapat rehat secukupnya untuk bertempur dengan musuh pada esok harinya:

إِذْ يُغَشِّيكُمُ النُّعَاسَ أَمَنَةً مِنْهُ وَيُنَزِّلُ عَلَيْكُمْ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً لِيُطَهِّرَكُمْ بِهِ وَيُذْهِبَ عَنْكُمْ رِجْزَ الشَّيْطَانِ وَلِيَرْبِطَ عَلَىٰ قُلُوبِكُمْ وَيُثَبِّتَ بِهِ الْأَقْدَامَ

Ertinya: (Ingatlah) KETIKA KAMU DILIPUTI PERASAAN MENGANTUK SEBAGAI SATU (PEMBERIAN) AMAN DARI ALLAH (UNTUK MENGHAPUSKAN KECEMASAN KAMU). Dan (ingatlah ketika) Ia menurunkan kepada kamu hujan dari langit untuk mensucikan kamu dengannya dan menghapuskan dari kamu gangguan Syaitan, dan juga untuk menguatkan hati kamu dan menetapkan dengannya tapak pendirian (kamu di medan perjuangan) (al-Anfal [8:11]).

Ketika menceritakan keajaiban tentera mengantuk ini, Ali bin Abi Talib RA menceritakan:

عن علي رضي الله عنه قال: ما كان فينا فارس يوم بدر غير المقداد ولقد رأيتنا وما فينا إلا نائم إلا رسول الله صلى الله عليه وسلم يصلي تحت شجرة ويبكي حتى أصبح.

Ertinya: Kami tidak mempunyai kuda selain milik al-Miqdad. Kami semua tidur kecuali Rasulullah SAW sedang asyik bersolat sambil menangis sehingga subuh (Tafsir Ibn Kathir).

Dalam perang Uhud pula, rasa mengantuk muncul sebagai ubat penenang sesetengah sahabat yang gawat diserang oleh tentera Musyrikin pimpinan Khalid bin al-Walid pada pusingan kedua. Ketika gawat dan cemas biasanya hati akan berdebar tanpa henti. Fikiran jahat mendorong untuk lari dari medan perang juga bertunda-tunda datangnya. Dalam keadaan ini, sentuhan rasa mengantuk memang berkesan menyerap serta menghambat pergi segala rasa cemas, ragu dan takut:

ثُمَّ أَنْزَلَ عَلَيْكُمْ مِنْ بَعْدِ الْغَمِّ أَمَنَةً نُعَاسًا يَغْشَىٰ طَائِفَةً مِنْكُمْ ۖ

Ertinya: Kemudian sesudah (kamu mengalami kejadian) yang mendukacitakan itu (kekalahan dalam perang Uhud pada pusingan kedua), Allah menurunkan kepada kamu perasaan aman tenteram, iaitu rasa mengantuk yang meliputi segolongan dari kamu (yang teguh imannya lagi ikhlas), (Ali 'Imran [4:134]).

Tentera mengantuk yang diutus Allah tahu benar siapa yang benar imannya. Hanya yang ikhlas berjuang mendapat rasa mengantuk. Abu Talhah al-Ansari menceritakan:

كنت فيمن تغشاه النعاس يوم أحد حتى سقط سيفي من يدي مرارا يسقط وآخذه ويسقط فآخذه

Ertinya: Aku antara yang ditimpa rasa mengantuk dalam perang Uhud sehingga pedangku jatuh berkali-kali lalu aku mengutipnya, dan ia jatuh lagi lalu aku mengutipnya lagi (Sahih al-Bukhari).

Tentera mengantuk juga pernah memainkan peranan membantu Rasulullah ketika rumah baginda SAW dikepung pemuda Quraysh yang cuba membunuh baginda dalam peristiwa hijrah.

Allah tak perlu menghantar segerombolan tentera malaikat dari langit bagi menghabiskan pemuda Quraysh. Cukup sekadar rasa mengantuk. Ketika tentera mengantuk kiriman Allah menyelinap masuk ke dalam otak dan mata mereka, Rasulullah berjaya keluar tanpa mereka sedari (Sirah ibn Ishaq). Inilah kehebatan tentera halimunan Allah ini.

Rasa mengantuk juga cara termudah Allah menunjukkan kehebatanNya dan kelemahan makhluk. Sekuat mana pun seorang manusia, apabila rasa mengantuk datang hilanglah segala keperkasaannya.  Lihat bicara Allah pada ayat Kursi. Ayat ini adalah ayat paling agung dan sesuai dengan status keagungannya, Allah menyentuh juga isu mengantuk dan tidur:

اللَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ ۚ لَا تَأْخُذُهُ سِنَةٌ وَلَا نَوْمٌ

Ertinya; Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). "YANG TIDAK MENGANTUK USAHKAN TIDUR" (al-Baqarah [2:255]).

Akhirnya perlu diingat, mengantuk positif adalah ketika berlaku perang melawan musuh dan bukannya rasa mengantuk ketika menuntut ilmu atau beribadah kepada Allah. Kata Abdullah ibn Mas'ud:

النعاس في القتال أمنة من الله وفي الصلاة من الشيطان

Ertinya: Rasa mengantuk dalam perang adalah (anugerah) ketenangan dari Allah, manakala mengantuk dalam solat (berpunca) dari syaitan (Tafsir Ibn Kathir).

Selepas ini, apabila rasa mengantuk melanda mata dan minda, segeralah sedar bahawa ia tanda kuasa Allah yang Maha Hebat dan bukti lemahnya manusia.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...