Sunday, October 25, 2015

JADILAH KETUA DAN INSAN YANG BIJAK, KALIS AMPU DAN TIPU

JADILAH KETUA DAN INSAN YANG BIJAK, KALIS AMPU DAN TIPU

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Selasa (al-Naml [27:27-28]) pada 12 Mei 2015. Antara isunya adalah kebijaksaan nabi Sulayman AS menyiasat kebenaran laporan Hud-hud.

“Aduhai sedihnya hati. Aku tidak memiliki bakat mengampu, merampas dan menipu. Sudahnya aku mengigit jari. Hati mana tidak sakit, setelah lama bertungkus lumus menyiapkan kerja ini, tiba-tiba ia diculik di tengah jalan oleh si fulan pakar ampu. Sudahnya dia mendapat nama, aku mendapat hampa.”

Itu dialog yang banyak didengari di alam perkerjaan. Kemahiran mengampu dan menculik hasil kerja orang lain boleh membantu kenaikan “pangkat haram” di tempat kerja. Oleh sebab itu, pemimpin atau ketua yang baik lagi bijaksana adalah yang memiliki kanta mata hati “KALIS AMPU DAN TIPU.” Allah memberikan kita contoh pemimpin yang baik dalam kisah laporan Hud-hud kepada nabi Sulayman. Baginda tidak terus menerima laporan Hud-hud tapi menyemak kesahihannya terlebih dahulu:

قَالَ سَنَنْظُرُ أَصَدَقْتَ أَمْ كُنْتَ مِنَ الْكَاذِبِينَ (27) اذْهَبْ بِكِتَابِي هَذَا فَأَلْقِهِ إِلَيْهِمْ ثُمَّ تَوَلَّ عَنْهُمْ فَانْظُرْ مَاذَا يَرْجِعُونَ (28)

 
Ertinya: Nabi Sulaiman berkata: “KAMI AKAN FIKIRKAN DENGAN SEHALUS-HALUSNYA, ADAKAH BENAR APA YANG ENGKAU KATAKAN ITU, ATAUPUN ENGKAU DARI GOLONGAN YANG BERDUSTA.” "Pergilah bawa suratku ini, serta campakkanlah kepada mereka, kemudian berundurlah dari mereka; dalam pada itu perhatikanlah apa tindak balas mereka" (al-Naml[27:27

Ketelitian nabi Sulayman ini bukan sahaja elok untuk seorang raja seperti baginda, bahkan sangat perlu bagi seorang Rasul yang  maksum. Lihat sahaja bagaimana celaan orang ramai jika seorang pemimpin tersilap langkah. Langsung hilang hormat dan karismanya. Selain itu, semangat teliti nabi Sulayman ini diulang sebut Allah dalam ayat lain:
 

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

Ertinya: Wahai orang-orang yang beriman! “JIKA DATANG KEPADA KAMU SEORANG FASIK MEMBAWA SESUATU BERITA, MAKA SELIDIKILAH (UNTUK MENENTUKAN) KEBENARANNYA, SUPAYA KAMU TIDAK MENIMPAKAN SESUATU KAUM DENGAN PERKARA YANG TIDAK DIINGINI - DENGAN SEBAB KEJAHILAN KAMU (MENGENAINYA) - SEHINGGA MENJADIKAN KAMU MENYESALI APA YANG KAMU TELAH LAKUKAN” (al-Hujurat[49:6]).

 

Benar firman Allah ini, kesilapan menerima sesuatu berita tanpa semak bakal memangsakan pihak lain secara zalim. Bayangkan apa akan jadi kepada empayar Saba’ sekiranya Hud-hud berdusta demi menyelamatkan lehernya dari disembelih kerana lewat sampai ke majlis Sulayman AS. Ketelitian Sulayman juga akhirnya melimpahkan rahmat Allah kepada empayar Saba’ yang menerima Islam.

Mata zahir dan mata hati pemimpin perlu cekap memerhatikan orang bawahan agar tiada yang dizalimi. Jangan hanya tahu menghukum tanpa mengambil kira alasan dan sebab orang bawahan.  Jangan juga cuai bersulam malas kerana keduanya boleh menyebabkan “orang yang berhak hilang haknya dan orang yang tidak berhak bebas mencuri hak orang lain.” Impak akhirnya turut terpalit pada kita sebagai ketua. Kelak kita akan dikenal sebagai ketua yang dungu dan senang percaya tanpa semak.

 

Itu pada tahap pemimpin organisasi, pada tahap pemimpin dalam diri sendiri kebijaksanan kita berfikir seperti nabi Sulayman akan menyelamatkan kita dari dosa terutama sekali doa moden di media sosial. Jangan terus telan sebarang mesej dan berita yang dikongsi. Semak dahulu kerana ia adalah lambang kebijaksaan. Ya Allah! Kurniakan kami kebijaksanaan seperti nabi Sulayman AS.

 

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-
dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...