Wednesday, October 21, 2015

CERITA BAWANG DAN ROKOK DI MASJID NABAWI

CERITA BAWANG DAN ROKOK DI MASJID NABAWI

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Rabu, 21 Oktober 2015, Subuh dalam Masjid Nabawi.

"SEBELUM MENYALAKAN BATANG ROKOK ITU, BAYANGKAN RASULULLAH SAW SEDANG BERDIRI MEMERHATIKAN ANDA. MASIH TERGAMAK MENERUSKAN HAJAT ANDA?"

Ketika bersiar di sekeliling Masjid Nabawi, mata mencari-cari lokasi rumah Abu Ayyub al-Ansari RA yang menjadi persinggahan sementara Rasulullah SAW sebelum siap pembinaan Masjid Nabawi dan rumah baginda.

Hampir 7 bulan lamanya rumah Abu Ayyub mendapat limpahan keberkatan Rasulullah SAW. Rumah beliau ada 2 bahagian iaitu tingkat atas dan tingkat bawah. Baginda SAW memilih untuk tinggal di bahagian bawah walaupun Abu Ayyub agak ralat dan suka Rasulullah diam di atas kerana ia lebih selesa dan kurang gangguan.

Setiap hari Abu Ayyub akan menghantar bekas berisi makanan kepada baginda. Setelah bekas tersebut dikembalikan, beliau akan bertanya bahagian mana yang disentuh oleh Rasulullah dan beliau akan makan dari bahagian tersebut  kerana ingin menumpang keberkatan Rasulullah SAW.

"PADA SUATU HARI RASULULLAH SAW TIDAK MAKAN MAKANAN YANG DIHANTAR KERANA IA MENGANDUNGI BAWANG."

Abu Ayyub cemas dan bertanya adakah bawang diharamkan. Baginda menjawab:

إِنِّي وَجَدْتُ فِيهِ رِيحَ هَذِهِ الشَّجَرَةَ وَأَنَا رَجُلٌ أُنَاجِي ، فَأَمَّا أَنْتُمْ فَكُلُوهُ.

Ertinya: Aku dapati padanya bau tanaman ini (bawang), sedang aku adalah seorang yang senantiasa bermunajat (dengan Allah). Bagi kamu semua tidak mengapa, maka makanlah ia (Mustadrak al-Hakim dan ia juga disebut dengan lafaz yang hampir sama dalam al-Sirah al-Nabawiyyah Ibn Kathir, Sahih al-Bukhari & Sahih Muslim)

Dalam hadith lain Rasulullah SAW berpesan:

" مَنْ أَكَلَ مِنْ هَذِهِ الشَّجَرَةِ الْمُنْتِنَةِ فَلا يَقْرَبَنَّ مَسْجِدَنَا ، فَإِنَّ الْمَلائِكَةَ تَتَأَذَّى مِمَّا يَتَأَذَّى مِنْهُ الإِنْسُ " .

Ertinya: Sesiapa yang makan pokok yang tidak elok (baunya) ini (bawang), maka (sebolehnya) jangan dekati masjid kami. Sesungguhnya malaikat terganggu dengan apa yang manusia juga terganggu (baunya yang tidak elok) (Sahih al-Bukhari & Muslim).

Ada para ulama moden mengkiaskan BAU BUSUK BAWANG DENGAN BAU "ROKOK." Walau sama, keduanya tetap berbeza. Bawang baunya tidak elok tetapi  masih berkhasiat untuk badan.  Rokok pula buruk dan bahaya semuanya, bahkan dihukum "HARAM" oleh para ulama moden.

Entah apa yang sudah berlaku kepada sesetengah perokok. Sensitiviti dan akalnya yang waras seakan hilang diselubungi asap yang ditelannya. Bayangkan! Ketika para jemaah sedang bersesak sesudah selesai solat, hidung kami lemas disumbat oleh asap rokok sesetengah "pengunjung" Masjid Nabawi di perkarangan luar masjid.

Jika dipelajari adab solat, doa dan membaca al-Quran, salah satu adab yang ditekankan adalah membersihkan mulut atau bersiwak. Mengapa perlu bersih mulut sebelum melakukan kedua ibadat itu? Tidak lain kerana Tuhan Yang kita tujukan ibadah itu adalah Tuhan semesta alam yang Maha Agung. Bayangkan apa bakal terjadi jika kita datang menghadap sultan atau orang besar dengan badan hapak serta mulut beraroma petai dan rokok?

Mungkin ada yang berseloroh, "kami merokok selepas berdoa, membaca al-Quran dan bersolat. Bukan sebelumnya." Agaknya bagaimana sikap malaikat yang mahu membawa amalan itu naik bertemu Allah? Besar kemungkinan amalan bersulam asap rokok itu dicampak kembali ke muka anda kerana Allah hanya menerima ibadah yang diisi taqwa. Taqwa pula adalah memerhatikan segala hak Allah sebelum dan selepas ibadah dilakukan:

وَاتْلُ عَلَيْهِمْ نَبَأَ ابْنَيْ آدَمَ بِالْحَقِّ إِذْ قَرَّبَا قُرْبَانًا فَتُقُبِّلَ مِنْ أَحَدِهِمَا وَلَمْ يُتَقَبَّلْ مِنَ الْآخَرِ قَالَ لَأَقْتُلَنَّكَ ۖ قَالَ إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ اللَّهُ مِنَ الْمُتَّقِينَ

Ertinya: Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil):" Sesungguhnya aku akan membunuhmu!". (Habil) menjawab: "ALLAH HANYA MENERIMA (KORBAN) DARI ORANG YANG BERTAQWA" (al-Ma'idah [5:27]).

Hadith di atas menyatakan Rasulullah dan malaikat terganggu dengan bau busuk yang keluar dari mulut seseorang. Jika manusia terbaik dan para malaikat pun terganggu dengan bau itu, bagaimana agaknya doa dan solat kita mahu diterima Allah? Bagaimana pula adab kita ketika berkunjung ke bumi Rasulullah SAW ini? Memasuki dan mendiami negeri baginda ini perlu beradab. Cukuplah kisah Rasulullah SAW dan bawang di atas menjadi pedoman kepada kita agar beradab. Jauhilah rokok di Madinah atau di mana sahaja jika benar anda sayangkan Rasulullah SAW.

Pernah terlintas di benak saya, bagaimana agaknya "nasib perokok yang MULUTNYA BERBAU dan selalu menyakitkan hati orang lain" ketika menghampirkan Rasulullah SAW di akhirat kelak? Mungkin lain situasinya di akhirat. Allahu A'lam.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...