Sunday, September 13, 2015

MUSAYLAMAH AL-KAZZAB MODEN DI MEDIA SOSIAL

MUSAYLAMAH AL-KAZZAB MODEN DI MEDIA SOSIAL

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

“Saudara! Tazkirah yang saudara sebarkan melalui “what’s app group” kita tu adalah “hadith palsu.” Harap hentikan sebarannya!”

“Alah apa salahnya? Kita kongsi benda baik. Ada yang akan dapat pengajarannya.”

Mesej di atas sangat biasa kita lihat. Bagi orang yang jahil disiplin ilmu Islam tiada salahnya menyebar sebarang peringatan palsu asal sahaja ia mengandungi pengajaran. Umpamanya apa salahnya mencuri dari kedai runcit bukan Islam demi membantu kos pembinaan sebuah masjid. Mereka lupa bahawa “Rasulullah SAW bukanlah manusia biasa” yang boleh direka cakap dan sabdanya.”

Sungguh zaman moden adalah zaman fitnah. Pahala dan dosa mengalir mudah dari hujung jari melalui media sosial. Banyak sekali tazkirah tanpa selidik dikongsi sehingga melibatkan hadith palsu. Sebelum sibuk menyebar sebarang tazkirah atas nama Rasulullah SAW ingatlah watak jahat yang dicemuh hebat oleh al-Quran:

وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنِ افْتَرَىٰ عَلَى اللَّهِ كَذِبًا أَوْ قَالَ أُوحِيَ إِلَيَّ وَلَمْ يُوحَ إِلَيْهِ شَيْءٌ وَمَنْ قَالَ سَأُنْزِلُ مِثْلَ مَا أَنْزَلَ اللَّهُ ۗ وَلَوْ تَرَىٰ إِذِ الظَّالِمُونَ فِي غَمَرَاتِ الْمَوْتِ وَالْمَلَائِكَةُ بَاسِطُو أَيْدِيهِمْ أَخْرِجُوا أَنْفُسَكُمُ ۖ الْيَوْمَ تُجْزَوْنَ عَذَابَ الْهُونِ بِمَا كُنْتُمْ تَقُولُونَ عَلَى اللَّهِ غَيْرَ الْحَقِّ وَكُنْتُمْ عَنْ آيَاتِهِ تَسْتَكْبِرُونَ

Ertinya: Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mereka-reka perkara yang dusta terhadap Allah, atau orang yang berkata: "Telah diberi wahyu kepadaku", padahal tidak diberikan sesuatu wahyupunr kepadanya; dan orang yang berkata: "Aku akan menurunkan seperti apa yang diturunkan Allah". Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang zalim itu dalam penderitaan "sakratul-maut" (ketika hendak putus nyawa), sedang malaikat-malaikat pula menghulurkan tangan mereka (memukul dan menyeksa orang-orang itu) sambil berkata (dengan menengking dan mengejek): "Keluarkanlah nyawa kamu (dari tubuh kamu sendiri); pada hari ini kamu dibalas dengan azab seksa yang menghina (kamu) sehina-hinanya, disebabkan apa yang telah kamu katakan terhadap Allah dengan tidak benar, dan kamu pula (menolak dengan) sombong takbur akan ayat-ayat keteranganNya" (al-An’am [6:93]).

Siapa lelaki yang dicela hebat sebagai “si penipu besar paling jahat lagi zalim” dalam ayat ini? Apa jenayahnya? Dia adalah Musaylamah al-Kazzab si nabi palsu yang pernah berdusta atas nama Allah (Tafsir Ibn Kathir).

Mungkin ada yang kata, tersilap menyebar Hadith palsu tidaklah begitu bahaya berbanding berdusta atas nama Allah. Perlu diingat bahawa kalam baginda SAW juga termasuk dalam lingkungan wahyu kerana lidah baginda tidak berbicara dengan nafsu:

وَمَا يَنْطِقُ عَنِ الْهَوَى (3) إِنْ هُوَ إِلَّا وَحْيٌ يُوحَى (4)

Ertinya: Dan dia (Rasulullah SAW) tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan ugama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakannya itu (sama ada Al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya (al-Najm [53:3-4]).

Rasulullah SAW juga pernah memberi amaran:

إِنَّ كَذِبًا عَلَيَّ لَيْسَ كَكَذِبٍ عَلَى أَحَدٍ مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنْ النَّارِ

Ertinya: Sesungguhnya berdusta atas namaku tidak sama seperti berdusta kepada orang lain. Sesiapa yang sengaja berdusta atas namaku maka hendaknya dia (bersedia untuk) mengambil tempat duduknya dalam neraka.” (Sahih al-Bukhari dan Muslim).

Cukuplah Musaylamah al-Kazzab lampau mati dibunuh oleh sahabat Rasulullah SAW yang bernama Wahsyi (Sahih al-Bukhari). Jangan pula kita cuba menjadi anak cucunya dengan galak menyebar sebarang dakwaan hadith tanpa semak. Jika tidak pasti kesahihan atau kebenaran sesuatu hadith usahlah sebar. Ia lebih selamat!

Berpada-pada dalam berkongsi. Bukan semua yang tampak baik pada isinya baik untuk dikongsi. Kita pasti dimarahi atau disaman jika salah menyandarkan kenyataan kepada seseorang yang tidak pernah diucapnya. Pihak yang terfitnah kerana sandaran palsu kita pasti bertindak menyaman jutaan ringgit. BAYANGKAN PULA AKIBAT MENYANDARKAN PENIPUAN ATAS NAMA ALLAH DAN RASULULLAH. Saman Allah bukan hanya berbentuk hilangnya keberkatan hidup di dunia, tetapi azab akhirat yang maha pedih.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...