Thursday, August 27, 2015

IBU MUSA AS MENDIDIK BAGINDA MENJADI RASUL

IBU MUSA AS MENDIDIK BAGINDA MENJADI RASUL

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Selasa (al-Qasas [28:7]) pada  25 Ogos 2015. Antara isunya adalah ilham Allah kepada ibu nabi Musa AS tentang kerasulan baginda pada masa hadapan.

Mustahil seorang ibu sanggup menghanyutkan bayi kesayangannya ke sungai demi menyelamatkannya dari dibaham “binatang gila lagi buas” bertubuh manusia seperti Fir’awn. Ia seumpama melepaskan diri dari mulut harimau untuk dimasukkan ke dalam mulut buaya. Pastinya sungai Nil dipenuhi berbagai buaya yang jauh lebih berbahaya dari Fir’awn.

Itulah nasib yang menimpa Bani Isra’il, kerisauan tentang keruntuhan empayarnya di tangan seorang bayi Bani Isra’il yang bakal lahir mendorong Fir’awn bertindak zalim membunuh semua bayi yang baru lahir. Allah lalu mengilhamkan ibu Musa agar menghanyutkan baginda yang masih bayi ke dalam sungai Nil. Ilham itu boleh jadi melalui mimpi atau perkhabaran malaikat yang datang bertemunya seperti JIbril pernah mendatangi Maryam AS (Maryam[19:17-21]) (Tafsir al-Nasafi):

وَأَوْحَيْنَا إِلَى أُمِّ مُوسَى أَنْ أَرْضِعِيهِ فَإِذَا خِفْتِ عَلَيْهِ فَأَلْقِيهِ فِي الْيَمِّ وَلَا تَخَافِي وَلَا تَحْزَنِي إِنَّا رَادُّوهُ إِلَيْكِ وَجَاعِلُوهُ مِنَ الْمُرْسَلِينَ

Ertinya: Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa:" Susukanlah dia; dalam pada itu, jika engkau takutkan sesuatu bahaya mengenainya (dari angkara Firaun), maka (letakkanlah dia di dalam peti dan) lepaskanlah dia ke laut; dan janganlah engkau merasa bimbang dan jangan pula berdukacita; “SESUNGGUHNYA KAMI AKAN MENGEMBALIKANNYA KEPADAMU, DAN KAMI AKAN MELANTIKNYA MENJADI SALAH SEORANG DARI RASUL KAMI” (al-Qasas [28:7]).

Dalam ilham yang dinyatakan ayat di atas, Allah menyebut 2 jaminan luar biasa kepada ibu Musa iaitu (1) Musa akan selamat pulang kepada beliau walaupun setelah dihanyutkan ke sungai dan (2) Musa bakal dilantik menjadi seorang Rasul pada masa hadapan.

Kedua ilham ini memang tidak mampu dicapai akal manusia yang waras, namun apa lagi pilihan yang tinggal buat ibu Musa? Demi keselamatan anaknya, beliau melaksanakan arahan ilham tersebut. Subhanallah! Kuasa Allah sangat luar biasa. Peti yang mengandungi Musa dibawa oleh tentera Allah yang bernama sungai Nil mudik ke istana Fir’awn. Pada saat itu, Allah melimpahkan kasih sayangNya kepada Musa. Sesiapa sahaja yang memandang Musa pasti jatuh cinta:

إِذْ أَوْحَيْنَا إِلَى أُمِّكَ مَا يُوحَى (38) أَنِ اقْذِفِيهِ فِي التَّابُوتِ فَاقْذِفِيهِ فِي الْيَمِّ فَلْيُلْقِهِ الْيَمُّ بِالسَّاحِلِ يَأْخُذْهُ عَدُوٌّ لِي وَعَدُوٌّ لَهُ وَأَلْقَيْتُ عَلَيْكَ مَحَبَّةً مِنِّي وَلِتُصْنَعَ عَلَى عَيْنِي (39)

Ertinya: "Ketika Kami ilhamkan kepada ibumu, dengan memberitahu kepadanya:  "Letakkanlah anakmu di dalam peti, kemudian lepaskanlah peti itu ke laut, maka biarlah laut itu membawanya terdampar ke pantai, supaya dipungut oleh musuhKu dan musuhnya; “DAN AKU TELAH TANAMKAN DARI KEMURAHANKU PERASAAN KASIH SAYANG ORANG TERHADAPMU; DAN SUPAYA ENGKAU DIBELA DAN DIPELIHARA DENGAN PENGAWASANKU” (Taha[20:38-39]).

Asiyah Binti Muzahim RA, isteri Fir’awn langsung terkena panahan kasih sayang yang Allah limpahkan pada Musa. Lantas dia memujuk Fir’awn:

وَقَالَتِ امْرَأَةُ فِرْعَوْنَ قُرَّةُ عَيْنٍ لِي وَلَكَ لَا تَقْتُلُوهُ عَسَى أَنْ يَنْفَعَنَا أَوْ نَتَّخِذَهُ وَلَدًا وَهُمْ لَا يَشْعُرُونَ

Ertinya: Dan (ketika melihat kanak-kanak itu) berkatalah isteri Firaun: "(Semoga ia menjadi) cahaya mata bagiku dan bagimu; janganlah kamu membunuhnya; mudah-mudahan ia berguna kepada kita, atau kita jadikan dia anak". Padahal mereka tidak menyedari (kesudahannya) (al-Qasas [28:9]).

Allah menjayakan tindakanNya dengan menutup rasa dan lidah Musa dari menerima susu wanita selain ibu asalnya. Pada saat itu, terbuktilah kebenaran ilham ibu Musa AS:

وَحَرَّمْنَا عَلَيْهِ الْمَرَاضِعَ مِنْ قَبْلُ فَقَالَتْ هَلْ أَدُلُّكُمْ عَلَى أَهْلِ بَيْتٍ يَكْفُلُونَهُ لَكُمْ وَهُمْ لَهُ نَاصِحُونَ (12) فَرَدَدْنَاهُ إِلَى أُمِّهِ كَيْ تَقَرَّ عَيْنُهَا وَلَا تَحْزَنَ وَلِتَعْلَمَ أَنَّ وَعْدَ اللَّهِ حَقٌّ وَلَكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لَا يَعْلَمُونَ (13)

Ertinya: Dan Kami jadikan dia dari mulanya enggan menyusu kepada perempuan-perempuan yang hendak menyusukannya; (melihatkan halnya itu), kakaknya berkata: "Mahukah, aku tunjukkan kamu kepada penduduk sebuah rumah yang dapat memeliharanya untuk kamu, serta mereka tulus ikhlas kepadanya?"  MAKA (DENGAN JALAN ITU) KAMI KEMBALIKAN DIA KEPADA IBUNYA SUPAYA TENANG TENTERAM HATINYA DAN TIDAK BERDUKACITA (DISEBABKAN BERCERAI DENGANNYA); DAN SUPAYA IA MENGETAHUI BAHAWA JANJI ALLAH (UNTUK MENYELAMATKANNYA) ADALAH BENAR; AKAN TETAPI KEBANYAKAN MEREKA TIDAK MENGETAHUI (YANG DEMIKIAN ITU)” (al-Qasas[28:12-13]).

Iman ibu Musa AS kepada Allah terus melonjak naik kerana “SATU” daripada “DUA” janji Allah kepadanya telah terlaksana dengan ajaib iaitu “MUSA TELAH KEMBALI KEPADANYA SELEPAS DIHANYUTKAN KE SUNGAI.”  Janji kedua pula bakal terlaksana selepas puluhan tahun iaitu, “MUSA BAKAL MENJADI RASUL.” Bermula dari saat itu, ibunya mulai merintis jalan mendidik Musa sebaik mungkin sebagai langkah persediaan MENYEDIAKAN MUSA SEBAGAI BAKAL RASUL BANI ISRA’IL (Tafsir Ibn Kathir).

Subhanallah! Pengajaran utama dari kisah ibu Musa AS ini untuk kita semua adalah, jika mahu anak kita menjadi seorang yang hebat lagi berguna untuk agama dan bangsa pada masa hadapan, mulailah mendidiknya sejak dari kecil. Sesungguhnya kelahiran tokoh hebat dunia seperti Imam al-Syafie, Sultan Muhammad al-Fatih, Prof Yusuf al-Qaradawi dan sebagainya pastinya bermula dari wawasan dan persiapan tapak yang disediakan oleh ibu bapa mereka.

Ayuh gerakkan usaha, bentuk anak kita ke laluan yang betul. Semoga anak kita juga mampu menggegar dunia seperti ramai tokoh Muslim yang lain.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...