Friday, August 14, 2015

BICARA SYEIKH DR AL-ARIFI TENTANG SOLAT DALAM MASJID UIAM

[14/08 14:55] Uia ustz abdullah bukhairi: BICARA SYEIKH DR AL-ARIFI TENTANG SOLAT DALAM MASJID UIAM

Disalin semula oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Alhamdulillah tengahari ini, sekali lagi khutbah Jumaat di Masjid UIAM, Gombak disampaikan oleh Syekh Dr. Muhammad Abdul Rahman al-‘Arifi dari Arab Saudi. Kali terakhir beliau berkhutbah di UIAM adalah pada 20 Januari 2012. Dahulu ketika beliau menyampaikan khutbah, saya ada menyalin isinya dan nampaknya isi khutbah pada hari ini (14 Ogos 2015) agak sama dengan sedikit penambahan. Isunya adalah kepentingan solat. Berikut beberapa isinya yang mampu saya ingat:

1) Beliau memulakan khutbahnya dengan kisah pembunuhan Sayyidina Umar oleh Abu Lu’lu’ah al-Majusi. Abu Lu’lu’ah bersembunyi di sebalik tiang masjid ketika Umar mendirikan solat Subuh. Apabila masuk rakaat kedua, dia keluar menerkam dan menikam Umar. Dalam peristiwa itu ramai juga para sahabat Rasulullah SAW yang mati ditikam. Setelah Abu Lu’lu’ah diselubung dengan selimut oleh para sahabat yang cuba menangkapnya, dia membunuh dirinya sendiri. Umar pula jatuh pengsan kerana pendarahan yang teruk. Selepas sedar, perkara pertama yang diminta Umar adalah bekas air untuk dia berwudhuk. Setelah mengetahui pembunuhnya adalah seorang Majusi, Umar mengucapkan pujian kepada Allah kerana orang yang membunuhnya bukanlah seorang Islam yang tentunya bersolat.

2) Baginda Rasulullah ketika akhir hayatnya jatuh sakit dan tidak mampu mengimamkan solat Isyak. Baginda meminta sebekas air untuk disiram ke tubuhnya bagi menyegarkan tubuh baginda agar beliau dapat mengimamkan solat. Setelah cuba bangun baginda SAW jatuh pengsan. Setelah beberapa ketika, baginda tersedar dan terus bertanya : ADAKAH ORANG SUDAH BERSOLAT? Para sahabat mengatakan: Belum lagi wahai Rasulullah kerana mereka sedang menunggumu. Baginda lalu meminta sebekas air dan selepas menyegarkan tubuhnya dengan air tersebut, baginda cuba bangun lagi sekali dan jatuh pengsan sekali lagi. Setelah tersedar Rasulullah terus bertanya: ADAKAH ORANG SUDAH BERSOLAT? Para sahabat menjawab: Belum lagi wahai Rasulullah kerana mereka sedang menunggumu. Baginda lalu meminta sebekas air lagi dan selepas menyegarkan tubuhnya dengan air tersebut, baginda cuba bangun lagi sekali dan jatuh pengsan sekali lagi. Perkara ini berterusan sebanyak tiga kali, dan akhirnya bagind ameminta Abu Bakar menggantinya dalam mengimamkan solat (Sahih al-Bukhari & Muslim).

3) Solat juga menjadi amalan para nabi. Ia diulang sebut berkali-kali dalam al-Quran, antaranya :

- Nabi Ibrahim dalam doanya selepas pembinaan Ka’abah:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِنْ ذُرِّيَّتِي رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Ertinya: Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku(Ibrahim[14:40]).

- Nabi Musa ketika kali pertama mendapat wahyu:

إِنَّنِي أَنَا اللَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنَا فَاعْبُدْنِي وَأَقِمِ الصَّلَاةَ لِذِكْرِي
Ertinya: "Sesungguhnya Akulah Allah; tiada tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku (Taha[20:13]).

- Nabi Isa ketika berbicara dalam buaian: 

قَالَ إِنِّي عَبْدُ اللَّهِ آَتَانِيَ الْكِتَابَ وَجَعَلَنِي نَبِيًّا (30)
وَجَعَلَنِي مُبَارَكًا أَيْنَ مَا كُنْتُ وَأَوْصَانِي بِالصَّلَاةِ وَالزَّكَاةِ مَا دُمْتُ حَيًّا (31)

Ertinya: Sesungguhnya aku ini hamba Allah; Ia telah memberikan kepadaku Kitab (Injil), dan Ia telah menjadikan daku seorang Nabi. Dan Ia menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada, dan diperintahkan daku mengerjakan sembahyang dan memberi zakat selagi aku hidup (Maryam[19:30-31]).

- Nabi Zakariyya ketika diberi khabar gembira tentang kelahiran Yahya:

فَنَادَتْهُ الْمَلَائِكَةُ وَهُوَ قَائِمٌ يُصَلِّي فِي الْمِحْرَابِ أَنَّ اللَّهَ يُبَشِّرُكَ بِيَحْيَى مُصَدِّقًا بِكَلِمَةٍ مِنَ اللَّهِ وَسَيِّدًا وَحَصُورًا وَنَبِيًّا مِنَ الصَّالِحِينَ

Ertinya: Lalu ia diseru oleh malaikat sedang ia berdiri sembahyang di Mihrab, (katanya): "Bahawasanya Allah memberi khabar yang mengembirakanmu, dengan (mengurniakanmu seorang anak lelaki bernama) Yahya, yang akan beriman kepada Kalimah dari Allah, dan akan menjadi ketua, dan juga akan menahan diri dari berkahwin, dan akan menjadi seorang Nabi dari orang-orang yang soleh" (Ali ‘Imran[3:39]).

- Maryam ketika dinobatkan sebagai wanita pilihan:

يَا مَرْيَمُ اقْنُتِي لِرَبِّكِ وَاسْجُدِي وَارْكَعِي مَعَ الرَّاكِعِينَ

Ertinya: "Wahai Maryam! Taatlah kepada Tuhanmu, dan sujudlah serta rukuklah (mengerjakan sembahyang) bersama-sama orang-orang yang rukuk (Ali ‘Imran[3:43]).

- Nabi Syu’aib ketika berdakwah kepada kaumnya:

قَالُوا يَا شُعَيْبُ أَصَلَاتُكَ تَأْمُرُكَ أَنْ نَتْرُكَ مَا يَعْبُدُ آَبَاؤُنَا أَوْ أَنْ نَفْعَلَ فِي أَمْوَالِنَا مَا نَشَاءُ إِنَّكَ لَأَنْتَ الْحَلِيمُ الرَّشِيدُ
Ertinya: Mereka berkata: "Wahai Syuaib! Adakah sembahyangmu (yang banyak itu) menyuruhmu perintahkan kami supaya meninggalkan apa yang disembah oleh datuk nenek kami, atau supaya kami lakukannya apa yang kami suka melakukannya dalam menguruskan harta kami? Sesungguhnya engkau (wahai Syuaib) adalah orang yang penyabar, lagi bijak berakal (maka bagaimana pula engkau menyuruh kami melakukan perkara yang bertentangan dengan kebiasaan kami)?" (Hud[11:87]).

- Nabi Ismail:

وَاذْكُرْ فِي الْكِتَابِ إِسْمَاعِيلَ إِنَّهُ كَانَ صَادِقَ الْوَعْدِ وَكَانَ رَسُولًا نَبِيًّا (54) وَكَانَ يَأْمُرُ أَهْلَهُ بِالصَّلَاةِ وَالزَّكَاةِ وَكَانَ عِنْدَ رَبِّهِ مَرْضِيًّا (55)

Ertinya: Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al-Quran) ini `perihal Nabi Ismail; sesungguhnya ia adalah benar menepati janji dan adalah ia seorang Rasul, lagi berpangkat Nabi. [19.55] Dan adalah ia menyuruh keluarganya mengerjakan sembahyang dan memberi zakat, dan ia pula adalah seorang yang diredhai di sisi Tuhannya! (Maryam[19:54]).

- Nabi Muhammad SAW:

وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلَاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا لَا نَسْأَلُكَ رِزْقًا نَحْنُ نَرْزُقُكَ وَالْعَاقِبَةُ لِلتَّقْوَى

Ertinya: Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa (Taha [20:132]).

4) Seorang bayi yang baru dilahirkan dilaungkan pada telinga mereka dengan AZAN dan tidak dibacakan surah al-Fatihah atau ayat al-Kursi. Mengapa? Ini kerana dalam azan adalah seruan solat ‘HAYYA ALA AL-SOLAH.” Seakan ia akan menjadi peringatan kepada mereka pada kemudian hari untuk menjaga solat.

5) Apabila hidup manusia berakhir, ia juga turut ditutup dengan solat iaitu SOLAT JENAZAH.

6) Solat juga menjadi pintu rezeki kerana apabila berlaku kemarau panjang, umat Islam disunnahkan melakukan SOLAT ISTISQA’ atau solat memohon hujan.

7) Apabila manusia buntu dalam membuat keputusan, Allah memberikan mereka jalan keluar dengan melakukan SOLAT ISTIKHARAH.

8) Apabila manusia berdosa kepada Allah, Allah juga memberikan jalan keluar kepada mereka dengan SOLAT TAUBAT.

9) Manusia yang tidak bersolat akan menghadapi hidup yang sempit dan kehilangan berkat:

وَمَنْ أَعْرَضَ عَنْ ذِكْرِي فَإِنَّ لَهُ مَعِيشَةً ضَنْكًا وَنَحْشُرُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَعْمَى (124) قَالَ رَبِّ لِمَ حَشَرْتَنِي أَعْمَى وَقَدْ كُنْتُ بَصِيرًا (125) قَالَ كَذَلِكَ أَتَتْكَ آَيَاتُنَا فَنَسِيتَهَا وَكَذَلِكَ الْيَوْمَ تُنْسَى (126) وَكَذَلِكَ نَجْزِي مَنْ أَسْرَفَ وَلَمْ يُؤْمِنْ بِآَيَاتِ رَبِّهِ وَلَعَذَابُ الْآَخِرَةِ أَشَدُّ وَأَبْقَى (127) قَالَ كَذَلِكَ أَتَتْكَ آَيَاتُنَا فَنَسِيتَهَا وَكَذَلِكَ الْيَوْمَ تُنْسَى (126) وَكَذَلِكَ نَجْزِي مَنْ أَسْرَفَ وَلَمْ يُؤْمِنْ بِآَيَاتِ رَبِّهِ وَلَعَذَابُ الْآَخِرَةِ أَشَدُّ وَأَبْقَى (127)

Ertinya: "Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta". Ia berkata: "Wahai Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan daku dalam keadaan buta, padahal aku dahulu melihat?"  Allah berfirman: "Demikianlah keadaannya! Telah datang ayat-ayat keterangan Kami kepadamu, lalu engkau melupakan serta meninggalkannya, dan demikianlah engkau pada hari ini dilupakan serta ditinggalkan". Dan demikianlah Kami membalas orang yang melampaui batas dan tidak beriman kepada ayat-ayat keterangan Tuhannya; dan demi sesungguhnya azab akhirat itu lebih berat dan lebih kekal (Taha[20:124-127]).

10)  Akhirnya beliau meminta semua Jemaah agar menjaga solat serta menasihati para sahabat kita yang tidak bersolat agar menunaikan solat kerana ia adalah kabel utama antara manusia dengan Allah. Tanpa solat, hilanglah keberkatan hidup manusia.

Demikianlah antara isi khutbah Jumaat hari ini yang mampu saya ingat dan kongsi bersama.

Dicatat oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim
Pada: Jumaat, 14 Ogos 2015.
[14/08 15:03] Uia ustz abdullah bukhairi: Boleh Google siapa dia..ulama Saudi yang sangat lantang dalam kes syiria

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...