Saturday, August 8, 2015

ANAK NABI YA'QUB JAUH LEBIH BERMARUAH DARI SESETENGAH PEMIMPIN ISLAM YANG KORUP

ANAK NABI YA’QUB JAUH LEBIH BERMARUAH DARI SESETENGAH PEMIMPIN ISLAM YANG KORUP

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Bukan salah si Ruwaybil, Yahuza atau Syam’un pun. Penahanan Bunyamin di Mesir dalam lawatan mereka kali kedua itu sudah menjadi taqdir Allah. Mereka sudah merancang rapi untuk menjaga keselamatan Bunyamin sebagaimana janji mereka kepada ayah mereka iaitu nabi Ya’qub AS, namun Allah mahukan perkara lain berlaku:

قَالَ لَنْ أُرْسِلَهُ مَعَكُمْ حَتَّى تُؤْتُونِ مَوْثِقًا مِنَ اللَّهِ لَتَأْتُنَّنِي بِهِ إِلَّا أَنْ يُحَاطَ بِكُمْ فَلَمَّا آَتَوْهُ مَوْثِقَهُمْ قَالَ اللَّهُ عَلَى مَا نَقُولُ وَكِيلٌ

Ertinya: Bapa mereka (nabi Ya’qub) berkata:" Aku tidak sekali-kali akan melepaskan dia (Bunyamin) pergi bersama-sama kamu, SEHINGGA KAMU MEMBERI KEPADAKU SATU PERJANJIAN YANG TEGUH (BERSUMPAH) DENGAN NAMA ALLAH, BAHAWA KAMU AKAN MEMBAWANYA KEMBALI KEPADAKU DENGAN SELAMAT, KECUALI JIKA KAMU SEMUA DIKEPONG DAN DIKALAHKAN OLEH MUSUH". Maka ketika mereka memberikan perjanjian yang teguh (bersumpah) kepadanya, berkatalah ia: "Allah jualah yang menjadi Saksi dan Pengawas atas apa yang kita semua katakan itu." (Yusuf [12:66]).

Para ulama Tafsir berselisih pendapat tentang siapakah nama anak nabi Ya’qub antara Ruwaybil, Yahuza atau Syam’un. Walau bagaimanapun, antara mereka ada yang paling bijaksana dan didengar cakapnya sebagai “KETUA.” (Tafsir al-Tabari, Ibn Kathir, al-Razi). Perhatikan dialog penuh tanggungjawab si “ketua” di kalangan anak nabi Ya’qub AS dalam ayat ini ketika berhadapan dengan “KRISIS KEPERCAYAAN AYAHANDA MEREKA”:

فَلَمَّا اسْتَيْئَسُوا مِنْهُ خَلَصُوا نَجِيًّا قَالَ كَبِيرُهُمْ أَلَمْ تَعْلَمُوا أَنَّ أَبَاكُمْ قَدْ أَخَذَ عَلَيْكُمْ مَوْثِقًا مِنَ اللَّهِ وَمِنْ قَبْلُ مَا فَرَّطْتُمْ فِي يُوسُفَ فَلَنْ أَبْرَحَ الْأَرْضَ حَتَّى يَأْذَنَ لِي أَبِي أَوْ يَحْكُمَ اللَّهُ لِي وَهُوَ خَيْرُ الْحَاكِمِينَ

Ertinya: Maka apabila mereka berputus asa daripada mendapat pertolongannya, merekapun mengasingkan diri lalu bermesyuarat tentang hal itu. BERKATALAH KETUA MEREKA (SAUDARANYA YANG PALING BERUSIA ATAU PALING BIJAKSANA): "TIDAKKAH KAMU KETAHUI BAHAWA BAPA KITA TELAH MENGAMBIL JANJI DARI KAMU YANG DIKUATKAN DENGAN NAMA ALLAH, DAN DAHULU PUN KAMU TELAH MENCUAIKAN JANJI DAN SUMPAH KAMU DALAM PERKARA MENJAGA KESELAMATAN YUSUF? OLEH ITU, AKU TIDAK SEKALI-KALI AKAN MENINGGALKAN NEGERI (MESIR) INI SEHINGGA BAPAKU IZINKAN AKU (KEMBALI ATAU SEHINGGA ALLAH MENGHUKUM BAGIKU (UNTUK MENINGGALKAN NEGERI INI), dan Dia lah Hakim yang seadil-adilnya (Yusuf [12:80]).

Subhanallah! Sungguh tinggi "INTEGRITI" beliau. Beliau begitu bertanggungjawab sehingga sanggup kekal di Mesir untuk memantau keadaan Bunyamin yang berada dalam tahanan. Beliau juga malu untuk pulang ke Kan’an bertemu ayahanda mereka kerana gagal menjalankan tanggungjawab menjaga keselamatan Bunyamin. Tambahan pula tanggungjawab itu bukan calang-calang kesannya. Ia sudah diikat dengan “SUMPAH DAN AKU JANJI” yang menggunakan nama Allah sebagai Tuhan semesta alam.

Alangkah baiknya jika sikap bertanggungjawab sebegini dimiliki oleh “SESETENGAH PEMIMPIN” negara Islam. Mereka yang dilantik rakyat melalui proses pilihanraya pastinya memegang aku janji serta sumpah setia untuk menjalankan tugas dengan amanah. Apabila gagal atau tidak mampu menjalankan tugas dengan amanah, mereka sepatutnya segera berhenti dan memberikan laluan kepada yang lain. Malangnya, “SESETENGAH PEMIMPIN” negara Islam begitu culas dan bersikap seperti "PELEPAH PISANG" SEAKAN MEREKA ADALAH PEMIMPIN LANTIKAN ALLAH, hanya akan meninggalkan jawatan setelah disentap keras.

Ingatlah! Usahkan kita sebagai orang Islam biasa, nabi Dawud AS pun diberikan amaran keras agar memimpin dengan adil dan saksama:

يَا دَاوُودُ إِنَّا جَعَلْنَاكَ خَلِيفَةً فِي الْأَرْضِ فَاحْكُمْ بَيْنَ النَّاسِ بِالْحَقِّ وَلَا تَتَّبِعِ الْهَوَى فَيُضِلَّكَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ إِنَّ الَّذِينَ يَضِلُّونَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ لَهُمْ عَذَابٌ شَدِيدٌ بِمَا نَسُوا يَوْمَ الْحِسَابِ

Ertinya: Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, MAKA JALANKANLAH HUKUM DI ANTARA MANUSIA DENGAN (HUKUM SYARIAT) YANG BENAR (YANG DIWAHYUKAN KEPADAMU); DAN JANGANLAH ENGKAU MENURUT HAWA NAFSU, KERANA YANG DEMIKIAN ITU AKAN MENYESATKANMU DARI JALAN ALLAH. SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG SESAT DARI JALAN ALLAH, AKAN BEROLEH AZAB YANG BERAT PADA HARI HITUNGAN AMAL, DISEBABKAN MEREKA MELUPAKAN (JALAN ALLAH) ITU (Sad [38:26]).

Lain pula halnya dengan sesetengah pemimpin bukan Islam. Mereka secara terbuka mengumumkan perletakan jawatan apabila gagal berkhidmat dengan adil dan amanah. Nampaknya nilai murni Islam sudah berpindah ke negara bukan Islam, manakala sifat Fasiq pula semakin menebal pada hati SESETENGAH PEMIMPIN YANG MENGAKU BERAGAMA ISLAM.

Ya Allah! PadaMu kami mohon perlindungan dari para pemimpin fasiq yang mampu menjahanamkan negara.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...