Friday, July 31, 2015

Tazkirah Tafsir "bermaafan di bulan Syawal"

Tazkirah Tafsir "bermaafan di bulan syawwal ☺ "

YUSUF MEMANG HEBAT KERANA MEMAAFKAN TANPA SYARAT

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Penderitaan Yusuf bukan sikit. Ia melibatkan derita fizikal dan luka jiwa. Hanya kerana “hasad cinta” ayahanda mereka, Yusuf diperlakukan sedemikian rupa. Jika tidak kerana abangnya mengorak langkah membuangnya ke dalam perigi, pastinya Yusuf tidak akan merana tubuh dan hati terpisah dari ayah tercinta selama puluhan tahun. Yusuf pasti tidak derita malu dijual sebagai hamba. Yusuf pasti tidak akan derita digoda wanita Mesir. Paling perit sekali, Yusuf pasti tidak akan derita dikurung seperti haiwan dalam penjara Mesir tanpa apa kesalahan.

Nah! Pada hari itu, Yusuf berdiri tegak di hadapan para penzalimnya. Kuasa penuh di tangan baginda. Boleh sahaja mereka itu dihumban tersungkur ke dalam perigi, kemudian mereka dijual penuh hina sebagai hamba. Tidak cukup dengan itu, Yusuf juga boleh memenjarakan mereka selama mungkin sehingga mereput dalam penjara tanpa khabar berita. Tapi bukan begitu lakunya Yusuf. Allah merekodkan “kisah agung sikap pemaaf” yang sangat indah di akhir surah Yusuf:

قَالَ هَلْ عَلِمْتُمْ مَا فَعَلْتُمْ بِيُوسُفَ وَأَخِيهِ إِذْ أَنْتُمْ جَاهِلُونَ (89) قَالُوا أَئِنَّكَ لَأَنْتَ يُوسُفُ قَالَ أَنَا يُوسُفُ وَهَذَا أَخِي قَدْ مَنَّ اللَّهُ عَلَيْنَا إِنَّهُ مَنْ يَتَّقِ وَيَصْبِرْ فَإِنَّ اللَّهَ لَا يُضِيعُ أَجْرَ الْمُحْسِنِينَ (90)

Ertinya: Yusuf berkata: "Tahukah kamu (betapa buruknya) apa yang kamu telah lakukan kepada Yusuf dan adiknya, semasa kamu masih jahil (tentang buruknya perbuatan yang demikian)?" Mereka bertanya (dengan hairan): "Engkau ini Yusufkah? " Ia menjawab: "Akulah Yusuf dan ini adikku (Bunyamin). Sesungguhnya Allah telah mengurniakan nikmatNya kepada kami. Sebenarnya sesiapa yang bertaqwa dan bersabar, maka sesungguhnya Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan (Yusuf [12:89-90]).

Taqwa dan sabar! Itulah 2 kunci yang membantu Yusuf bertahan dan bebas dari segala ujian dunia yang dihadapinya selama ini. Setelah identiti Yusuf terdedah, rasa bersalah mulai menerjah masuk hati abang baginda, lalu dengan malu dan insaf mereka memohon maaf. Membalas dendam ketika kuasa penuh di tangan? Tidak sama sekali! Subhanallah! Memang Yusuf manusia kuat yang sangat hebat kerana mampu memaafkan kesilapan saudaranya ketika “MAMPU MEMBALAS DENGAN PENUH KUASA.” Bahkan baginda tanpa bertangguh terus memaafkan mereka:

قَالُوا تَاللَّهِ لَقَدْ آَثَرَكَ اللَّهُ عَلَيْنَا وَإِنْ كُنَّا لَخَاطِئِينَ (91) قَالَ لَا تَثْرِيبَ عَلَيْكُمُ الْيَوْمَ يَغْفِرُ اللَّهُ لَكُمْ وَهُوَ أَرْحَمُ الرَّاحِمِينَ (92)

Ertinya: Mereka berkata: "Demi Allah! Sesungguhnya Allah telah melebihkan dan memuliakan engkau daripada kami (disebabkan taqwa dan kesabaranmu); dan sesungguhnya kami adalah orang-orang yang bersalah". “YUSUF BERKATA: "KAMU PADA HARI INI TIDAK AKAN DITEMPELAK ATAU DISALAHKAN (TENTANG PERBUATAN KAMU YANG TELAH TERLANJUR ITU), SEMOGA ALLAH MENGAMPUNKAN DOSA KAMU, DAN DIA LAH JUA YANG MAHA MENGASIHANI DARIPADA SEGALA YANG LAIN YANG MENGASIHANI” (Yusuf[12:91-92]).

Sejurus selepas pembukaan kota Mekah, para Musyrikin Quraysh yang dahulunya banyak menyakiti Rasulullah SAW tunduk kehinaan berbaris di hadapan baginda. Hati mereka gentar menanti apakah hukuman yang bakal dijatuhkan kepada mereka. Lantas jiwa mereka digegarkan dengan sikap pemaaf baginda:

أقول كما قال يوسف : لا تثريب عليكم اليوم يغفر الله لكم وهو أرحم الراحمين

Ertinya: “Aku berkata (kepada kamu semua wahai penduduk Mekah) sebagaimana ucapan (saudaraku nabi) Yusuf: “KAMU PADA HARI INI TIDAK AKAN DITEMPELAK ATAU DISALAHKAN (TENTANG PERBUATAN KAMU YANG TELAH TERLANJUR ITU), SEMOGA ALLAH MENGAMPUNKAN DOSA KAMU, DAN DIA LAH JUA YANG MAHA MENGASIHANI DARIPADA SEGALA YANG LAIN YANG MENGASIHANI” (Dala’il a-Nubuwwah Imam al-Bayhaqi).

Mustahil untuk kita dilantik menjadi nabi selepas Yusuf AS dan Muhammad SAW, namun kita mampu memiliki akhlak “PEMAAF KETIKA MAMPU MEMBALAS” seperti mereka. Insya Allah, akhlak itu akan menjadi punca pengampunan dosa kita yang bertimbun dan menjadi sebab kita dikumpulkan bersama para nabi di akhirat kelak:

وَلَا يَأْتَلِ أُولُو الْفَضْلِ مِنْكُمْ وَالسَّعَةِ أَنْ يُؤْتُوا أُولِي الْقُرْبَى وَالْمَسَاكِينَ وَالْمُهَاجِرِينَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلْيَعْفُوا وَلْيَصْفَحُوا أَلَا تُحِبُّونَ أَنْ يَغْفِرَ اللَّهُ لَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ

Ertinya: Dan janganlah orang-orang yang berharta serta lapang hidupnya dari kalangan kamu, bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum kerabat dan orang-orang miskin serta orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah; “DAN (SEBALIKNYA) HENDAKLAH MEREKA MEMAAFKAN SERTA MELUPAKAN KESALAHAN ORANG-ORANG ITU; TIDAKKAH KAMU SUKA SUPAYA ALLAH MENGAMPUNKAN DOSA KAMU? DAN (INGATLAH) ALLAH MAHA PENGAMPUN LAGI MAHA MENGASIHANI” (al-Nur[24:22]).

Memaafkan kesilapan orang memang sukar dan pahit, manakala membiarkan hati dilamun benci dendam pula sangat enak rasanya kerana ia sudah direncahkan “perisa aji-no-moto” adunan syaitan. Walaupun sedap rasanya, kesan sampingan kepada jiwa juga parah sepertimana parahnya kesan sampingan perisa tersebut kepada fizikal. Memaafkan manusia memang pahit, namun percayalah ianya adalah ubat berkesan untuk menenangkan jiwa dan mendapat rahmat Allah. Pilihlah yang pahit lagi menyihatkan hati dan tinggalkanlah yang sedap tapi bakal merosakkan jiwa.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...