Sunday, May 24, 2015

PILIHAN TEPAT PARA ISTERI NABI SAW

PILIHAN TEPAT PARA ISTERI NABI SAW

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

Nota Kelas Tafsir Jumaat (al-Ahzab [33:28-29]) 2 Jun 2015. Antara isunya adalah pilihan yang Allah berikan kepada para isteri Rasulullah SAW antara kemewahan dunia atau kebahagiaan akhirat.

Pilih antara dua! Habuan dunia dengan lafaz cerai yang baik atau kekal dalam kemuliaan naungan suami yang miskin? Kisahnya selepas perang bani Qurayzah, para isteri Rasulullah SAW datang bertemu baginda dan meminta agar diberikan sedikit perhiasan dunia kerana rampasan perang dari perang tersebut agak besar (Tafsir al-Munir). Permintaan para isteri baginda itu tidak salah kerana mereka adalah manusia biasa. Setelah itu Allah memberikan mereka pilihan antara habuan dunia tanpa status isteri Rasulullah SAW atau kekal dengan gelaran termahal di alam semesta “UMMUL MU’MININ.” Gelaran ini pula menjadi tiket untuk mereka kekal sebagai isteri Rasulullah SAW di akhirat kelak:

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لِأَزْوَاجِكَ إِنْ كُنْتُنَّ تُرِدْنَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا وَزِينَتَهَا فَتَعَالَيْنَ أُمَتِّعْكُنَّ وَأُسَرِّحْكُنَّ سَرَاحًا جَمِيلًا (28) وَإِنْ كُنْتُنَّ تُرِدْنَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَالدَّارَ الْآَخِرَةَ فَإِنَّ اللَّهَ أَعَدَّ لِلْمُحْسِنَاتِ مِنْكُنَّ أَجْرًا عَظِيمًا (29)

Ertinya: Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu: "Sekiranya kamu semua mahukan kehidupan dunia (yang mewah) dan perhiasannya (yang indah), maka marilah supaya aku berikan kepada kamu pemberian mut'ah (sagu hati), dan aku lepaskan kamu dengan cara yang sebaik-baiknya. "Dan sekiranya kamu semua mahukan (keredaan) Allah dan RasulNya serta (nikmat kemewahan) di negeri akhirat maka sesungguhnya Allah menyediakan bagi orang-orang yang berbuat baik di antara kamu: pahala yang besar" (al-Ahzab[33:28-29]).

Rasulullah SAW memulakan culaan dengan Aishah diikuti para isteri baginda yang lain:

فَلَا عَلَيْكِ أَنْ لَا تَعْجَلِي حَتَّى تَسْتَأْمِرِي أَبَوَيْكِ

Ertinya: “Usahlah terburu-buru dan bincanglah dahulu dengan kedua ibu bapamu” (Sahih al-Bukhari). 

Bagai diduga mereka adalah wanita mulia yang selayaknya dihormati dan disayangi seluruh orang beriman sampai kiamat. Mereka membuat pilihan tepat untuk kekal sebagai isteri baginda SAW. Sebagai ganjaran kesetiaan mereka itu, Allah membataskan para isteri Rasulullah hanya dengan dengan mereka sahaja (Tafsir al-Tabari). Seakan kesetiaan diganjari kesetiaan. Ia disebut dalam ayat ini:

لَا يَحِلُّ لَكَ النِّسَاءُ مِنْ بَعْدُ وَلَا أَنْ تَبَدَّلَ بِهِنَّ مِنْ أَزْوَاجٍ وَلَوْ أَعْجَبَكَ حُسْنُهُنَّ إِلَّا مَا مَلَكَتْ يَمِينُكَ وَكَانَ اللَّهُ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ رَقِيبًا

Ertinya: Tidak halal bagimu berkahwin dengan perempuan-perempuan yang lain sesudah (isteri-isterimu yang ada) itu, dan engkau juga tidak boleh menggantikan mereka dengan isteri-isteri yang baharu sekalipun engkau tertarik hati kepada kecantikan mereka, kecuali hamba-hamba perempuan yang engkau miliki. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mengawasi tiap-tiap sesuatu (al-Ahzab[33.52]).

Ayat ini juga menjadi dalil Rasulullah bukan berkahwin atas kehendak baginda sebaliknya atas arahan Allah, kerana bila tiba masanya Allah melarang lagi sebarang perkahwinan baru berlaku.

Inilah model rumah tangga terbaik untuk ikutan semua orang beriman. Suami isteri boleh berbincang dengan harmoni. Jika Allah boleh menghargai para isteri Rasulullah SAW, sepatutnya kita para suami yang mengaku ber”nabi”kan baginda SAW juga tidak boleh ketinggalan keretapi menyayangi dan menghargai isteri. Alangkah indahnya rumah tangga yang dibimbing wahyu seperti ini. Suami isteri soleh dan solehah sebeginilah yang bakal melahirkan keluarga bahagia di dunia dan di akhirat kelak bak firman Allah ini:

وَالَّذِينَ آَمَنُوا وَاتَّبَعَتْهُمْ ذُرِّيَّتُهُمْ بِإِيمَانٍ أَلْحَقْنَا بِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَمَا أَلَتْنَاهُمْ مِنْ عَمَلِهِمْ مِنْ شَيْءٍ كُلُّ امْرِئٍ بِمَا كَسَبَ رَهِينٌ

Ertinya: Dan orang-orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam Syurga); dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amal-amal mereka; tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya (al-Tur [52:21]).

Ya Allah! Satukan kami sekeluarga di dalam syurga di akhirat kelak. 

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...