Sunday, May 10, 2015

PASUKAN ELIT IBLIS DI MEDIA SOSIAL

PASUKAN ELIT IBLIS DI MEDIA SOSIAL

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Sabtu (al-A’raf [7:16-17]) pada 9 Mei 2015. Antara isunya adalah janji Iblis untuk mengerahkan segala pasukan tenteranya untuk memusnahkan manusia.

Mat Zain terpaku melihat kehebatan teknologi dan kecekapan gerak kerja yang dimiliki “Kementerian Teknologi Maklumat” Iblis di lautan Atlantik. “Ini barangkali pusat kawalan Iblis”, getus hati Mat Zain. Lantas dia teringat sebuah hadith:

إِنَّ عَرْشَ إِبْلِيسَ عَلَى الْبَحْرِ فَيَبْعَثُ سَرَايَاهُ فَيَفْتِنُونَ النَّاسَ فَأَعْظَمُهُمْ عِنْدَهُ أَعْظَمُهُمْ فِتْنَةً

Ertinya: SESUNGGUHNYA SINGGAHSANA (PUSAT PEMERINTAHAN) IBLIS BERADA ATAS LAUT, maka dia mengutus pasukan tenteranya yang memfitnah (merosakkan) manusia, syaitan yang paling dekat kedudukan dengannya adalah yang paling banyak kejahatannya (Sahih Muslim).

Kementerian itu pula mempunyai banyak pecahan, terlalu banyak tapi antara yang paling aktif beroperasi selama 24 adalah “Jabatan What’s App, Jabatan Facebook, Jabatan Twitter dan Jabatan Pornografi.”

Pada pintu masuk Kementerian tersebut tertulis banyak sasaran kerja tahunan atau “KPI.” Mat Zain sempat mengingat beberapa sasaran sahaja iaitu; menyalakan api permusuhan, meruntuhkan rumah tangga, melagakan sahabat, menelanjangkan diri, menabur fitnah, mengaibkan orang dan menghanguskan amalan. Sedang asyik Mat Zain meneliti segenap penjuru Kementerian itu, tiba-tiba bahunya digoncang kuat oleh satu lembaga huduh bertanduk yang menjerit padanya: “HOI! APA KAMU BUAT DI SINI?”

Mat Zain tersentak lalu tersedar. Oh! Aku bermimpi rupanya! Peluh jantan membasahi dahinya. Mat Zain berazam untuk mem”viral”kan mimpinya itu di media social, namun bimbang juga dia bakal ditertawakan kerana sibuk berbicara tentang mimpi, tambahan pula “MIMPI TIDAK SAH SEBAGAI HUJAH DALAM AGAMA.”

Kisah mimpi Mat Zain adalah rekaan, namun di sebaliknya ada metafora untuk renungan bersama. Mengapa? Sejurus Iblis dilaknat Allah kerana sombong, dia bersumpah akan melancarkan perang merosakkan manusia dari segenap penjuru:

قَالَ فَبِمَا أَغْوَيْتَنِي لَأَقْعُدَنَّ لَهُمْ صِرَاطَكَ الْمُسْتَقِيمَ (16) ثُمَّ لَآَتِيَنَّهُمْ مِنْ بَيْنِ أَيْدِيهِمْ وَمِنْ خَلْفِهِمْ وَعَنْ أَيْمَانِهِمْ وَعَنْ شَمَائِلِهِمْ وَلَا تَجِدُ أَكْثَرَهُمْ شَاكِرِينَ (17)

Ertinya: Iblis berkata: "Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu yang lurus; "KEMUDIAN AKU AKAN BENAR-BENAR DATANGI MEREKA, DARI HADAPAN MEREKA SERTA DARI BELAKANG MEREKA, DAN DARI KANAN MEREKA SERTA DARI KIRI MEREKA; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur" (al-A’raf [7:16-17]).

Bukan setakat dari empat penjuru, Iblis juga akan menyerang dengan segala bala tenteranya:

قَالَ أَرَأَيْتَكَ هَذَا الَّذِي كَرَّمْتَ عَلَيَّ لَئِنْ أَخَّرْتَنِ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ لَأَحْتَنِكَنَّ ذُرِّيَّتَهُ إِلَّا قَلِيلًا (62) قَالَ اذْهَبْ فَمَنْ تَبِعَكَ مِنْهُمْ فَإِنَّ جَهَنَّمَ جَزَاؤُكُمْ جَزَاءً مَوْفُورًا (63) وَاسْتَفْزِزْ مَنِ اسْتَطَعْتَ مِنْهُمْ بِصَوْتِكَ وَأَجْلِبْ عَلَيْهِمْ بِخَيْلِكَ وَرَجِلِكَ وَشَارِكْهُمْ فِي الْأَمْوَالِ وَالْأَوْلَادِ وَعِدْهُمْ وَمَا يَعِدُهُمُ الشَّيْطَانُ إِلَّا غُرُورًا (64)

Ertinya: Iblis berkata lagi: "Khabarkanlah kepadaku, inikah orangnya yang Engkau muliakan mengatasiku? Jika Engkau beri tempoh kepadaku hingga hari kiamat, tentulah aku akan memancing menyesatkan zuriat keturunannya, kecuali sedikit (di antaranya)". Allah berfirman (kepada iblis): "Pergilah (lakukanlah apa yang engkau rancangkan)! Kemudian siapa yang menurutmu di antara mereka, maka sesungguhnya neraka Jahannamlah balasan kamu semua, sebagai balasan yang cukup. DAN DESAK SERTA PUJUKLAH SESIAPA YANG ENGKAU DAPAT MEMUJUKNYA DENGAN SUARAMU; DAN KERAHLAH PENYOKONG-PENYOKONGMU YANG BERKUDA SERTA YANG BERJALAN KAKI UNTUK MENGALAHKAN MEREKA; DAN TURUT - CAMPURLAH DENGAN MEREKA DALAM MENGURUSKAN HARTA-BENDA DAN ANAK-ANAK (MEREKA); DAN JANJIKANLAH MEREKA (DENGAN JANJI-JANJIMU)". Padahal tidak ada yang dijanjikan oleh Syaitan itu melainkan tipu daya semata-mata (al-Isra’ [17:62-64]).

Subhanallah! Benar sekali firman Allah ini. Bala tentera Iblis sangat ramai, teratur dan sangat “semasa.” Jika keperluan dan obsesi semasa adalah media sosial maka fokus pasukan elit Iblis juga tertumpu untuk merosakkan anak Adam melalui lorong ini. Banyak kali saya mendengar dialog sebegini:

“Encik “K” sudah bercerai dengan isterinya. Ia gara-gara sibuk ber”facebook” kemudian jumpa kekasih lama pada zaman persekolahan. Perang besar dalam rumah tangga mereka akhirnya bercerai. Kesian sekali anak-anak mereka.”

“Ustaz! Boleh tak tolong nasihatkan suami saya. Tak kira masa ber”whats app” dengan wanita asing sehingga ke tengah malam. Bila saya tegur berbagai alasan diberi. Itu pun boleh dikira KHALWAT JUGA KAN?”

“Terkejut saya Ustaz. Sedih pun ada. Gambar ibu saya diubahsuai menjadi poster gurauan lucah malam Jumaat.”

“Kawan saya menangis tak berhenti. Sudahlah baru kematian anak dalam kemalangan ngeri. Ramai pula menyebarkan gambar kematian anaknya melalui media social. Selamba sahaja disebar atas alasan PENGAJARAN.”

Semua dialog di atas hanya sebahagian dosa media sosial yang memang banyak berlaku. Belum lagi dikira dosa memaki hamun dengan jari yang menaip dan sebagainya. Semua dosa itu telah menjadi sebab “ANUGERAH PINGAT EMAS PEROSAK MANUSIA” diberikan kepada Pasukan Elit Media Sosial Iblis kerana berjaya merealisasikan akujanji Iblis untuk merosakkan umat manusia. Beringatlah semua, usahlah terjerumus ke dalam perangkap Iblis:

أَلَمْ أَعْهَدْ إِلَيْكُمْ يَا بَنِي آَدَمَ أَنْ لَا تَعْبُدُوا الشَّيْطَانَ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ (60) وَأَنِ اعْبُدُونِي هَذَا صِرَاطٌ مُسْتَقِيمٌ (61) وَلَقَدْ أَضَلَّ مِنْكُمْ جِبِلًّا كَثِيرًا أَفَلَمْ تَكُونُوا تَعْقِلُونَ (62)

Ertinya: "Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu! "Dan (Aku perintahkan): hendaklah kamu menyembahKu; inilah jalan yang lurus. "Dan sesungguhnya Syaitan itu telah menyesatkan golongan yang ramai di antara kamu; (setelah kamu mengetahui akibat mereka) maka tidakkah sepatutnya kamu berfikir dan insaf? (Yasin[36:60-62]).

Perisainya adalah Iman dan Taqwa. Sebelum berbicara, menyebar, berkongsi, bergurau dan sebagainya ingatlah bahawa segala gerak kita di alam realiti dan di ALAM MAYA ada “audit dan hisabnya” di akhirat kelak. Ya Allah! Selamatkan kami dari musibah dosa media social.

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...