Saturday, May 16, 2015

ITU BUKAN HADIAH TAPI "RASUAH SYIRIK"

ITU BUKAN HADIAH TAPI “RASUAH SYIRIK”

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Selasa (al-Naml [27:35-37]) pada 12 Mei 2015. Antara isunya adalah penolakan tegas nabi Sulayman AS terhadap rasuah syirik ratu Saba’.

Apa salahnya menerima hadiah? Hadiah tanda hormat dan tanda kasih. Alangkah sedihnya hati pemberi hadiah jika hadiah yang dihulur ditolak mentah-mentah. Langsung hilang segala hormat dan kasih. Rasulullah SAW sendiri menggalakkan pertukaran hadiah:

تَهَادَوْا فَإِنَّ الْهَدِيَّةَ تُذْهِبُ وَحَرَ الصَّدْرِ

Ertinya:  Bertukar-tukarlah hadiah kerana ia menghilangkan permusuhan (kemarahan) hati (Sunan al-Tirmidhi).

Tidak salah bagi seorang nabi menerima hadiah kerana hadiah meletakkan penerima dan pemberi pada tahap yang sama. Berbeza dengan sedekah, pemberi berada di atas manakala penerima di bawah. Kerendahan darjat penerima sedekah sangat tidak sesuai dengan darjat seorang Rasul:

الْيَدُ الْعُلْيَا خَيْرٌ مِنْ الْيَدِ السُّفْلَى

Ertinya: Tangan di atas (pemberi sedekah) lebih baik dari tangan di bawah (penerima sedekah) (Sahih al-Bukhari & Muslim).

Para nabi termasuk nabi Sulayman AS haram menerima sedekah tetapi layak menerima hadiah. Persoalannya mengapa hadiah Ratu Saba’ ditolak dengan tegas oleh baginda? Sombongkah baginda?:

وَإِنِّي مُرْسِلَةٌ إِلَيْهِمْ بِهَدِيَّةٍ فَنَاظِرَةٌ بِمَ يَرْجِعُ الْمُرْسَلُونَ (35) فَلَمَّا جَاءَ سُلَيْمَانَ قَالَ أَتُمِدُّونَنِ بِمَالٍ فَمَا آَتَانِيَ اللَّهُ خَيْرٌ مِمَّا آَتَاكُمْ بَلْ أَنْتُمْ بِهَدِيَّتِكُمْ تَفْرَحُونَ (36) ارْجِعْ إِلَيْهِمْ فَلَنَأْتِيَنَّهُمْ بِجُنُودٍ لَا قِبَلَ لَهُمْ بِهَا وَلَنُخْرِجَنَّهُمْ مِنْهَا أَذِلَّةً وَهُمْ صَاغِرُونَ (37)

Ertinya: "(Berkata Balqis) DAN BAHAWA AKU HENDAK MENGHANTARKAN HADIAH KEPADA MEREKA, kemudian aku akan menunggu, apakah balasan yang akan dibawa balik oleh utusan-utusan kita" Maka apabila (utusan pembawa hadiah itu) datang mengadap Nabi Sulaiman, berkatalah Nabi Sulaiman (kepadanya): "TIDAKLAH PATUT KAMU MEMBERIKAN KEPADAKU PEMBERIAN HARTA-BENDA, KERANA APA YANG TELAH DIBERIKAN ALLAH KEPADAKU LEBIH BAIK DARI APA YANG TELAH DIBERIKANNYA KEPADA KAMU; (bukan aku yang memandang kepada pemberian hadiah) bahkan kamulah yang bergembira dengan hanya kekayaan yang dihadiahkan kepada kamu (atau yang kamu hadiahkan dengan perasaan megah). "Kembalilah kepada mereka, (jika mereka tidak juga mahu beriman) maka demi sesungguhnya Kami akan mendatangi mereka dengan angkatan tentera yang mereka tidak terdaya menentangnya, dan kami akan mengeluarkan mereka dari negeri Saba' dengan keadaan hina, menjadi orang-orang tawanan." (al-Naml[27:35-37]).

Walaupun namanya “HADIAH”, nabi Sulayman AS adalah manusia bijak. Mata hati dan ilmu baginda berjaya mencium bau “rasuah syirik” pada hadiah Balqis. Balqis menghulur hadiah itu bagi merasuah baginda AS agar terus membiarkan empayar saba’ bertuhankan matahari. Pemberian itu dianggap Balqis sebagai “UFTI RAJA PENAKLUK atau WANG PERLINDUNGAN GANGSTER.”

Ternyata sangkaan Balqis meleset. Nabi Sulayman AS bukan seperti kebanyakan raja yang langsung terdiam setelah disumbat ke dalam tembolok mereka dengan ufti haram. Bagi nabi Sulayman AS, harta dunia hanya mainan budak kecil. Matlamat utama baginda adalah menegakkan Tawhid di dunia.

Fenomena rasuah seperti tindakan Balqis sebenarnya senantiasa berulang dalam sejarah manusia. Cuma lokasi dan masanya berbeza. Berusahalah untuk menjauhi dosa rasuah sebegini ini samada dalam kasut pemberi atau penerima kerana keduanya bakal menggelapkan hati serta laluan ke syurga Allah kelak. Mohon dijauhkan Allah!

Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...