Monday, May 18, 2015

BAHANA BERTANGGUH-TAUBAT 3 KALI FIR'AWN TETAP DITOLAK

BAHANA BERTANGGUH-TAUBAT 3 KALI FIR’AWN TETAP DITOLAK

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Rabu (Yunus [10:90-91]) pada 13 Mei 2015. Antara isunya adalah penolakan taubat yang dibuat Fir’awn.

Besar sekali bahana angkuh dan bertangguh. Jika kena pada masa dan tempatnya, sekali taubat sudah cukup untuk mendapat rahmat Allah kerana rahmatNya jauh lebih luas dan banyak berbanding murkaNya. Malangnya keangkuhan Fir’awn menghalang taubat dipohon lebih awal. Pada saat genting nyawa sampai ke kerongkong, barulah taubat dan syahadah mahu dilafazkan, namun apa gunanya nasi sudah menjadi bubur dan harapan juga sudah berkubur:

وَجَاوَزْنَا بِبَنِي إِسْرَائِيلَ الْبَحْرَ فَأَتْبَعَهُمْ فِرْعَوْنُ وَجُنُودُهُ بَغْيًا وَعَدْوًا حَتَّى إِذَا أَدْرَكَهُ الْغَرَقُ قَالَ آَمَنْتُ أَنَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا الَّذِي آَمَنَتْ بِهِ بَنُو إِسْرَائِيلَ وَأَنَا مِنَ الْمُسْلِمِينَ (90) آَلْآَنَ وَقَدْ عَصَيْتَ قَبْلُ وَكُنْتَ مِنَ الْمُفْسِدِينَ (91)

Ertinya: Dan Kami bawakan Bani Israil ke seberang Laut Merah, lalu dikejar oleh Firaun dan tenteranya, dengan tujuan melakukan kezaliman dan pencerobohan, sehingga apabila Firaun hampir tenggelam berkatalah ia (pada saat yang genting itu): (1) "AKU PERCAYA, BAHAWA (2) TIADA TUHAN MELAINKAN YANG DIPERCAYAI OLEH BANI ISRAIL, DAN (3) AKU ADALAH DARI ORANG-ORANG YANG BERSERAH DIRI (MENURUT PERINTAH)". (Allah berfirman): "Adakah sekarang (baharu engkau beriman), padahal sesungguhnya engkau dari dahulu telah kufur derhaka, dan engkau telahpun menjadi dari orang-orang yang melakukan kerosakan? (Yunus [10:90-91]).

Mengapa Allah menolak taubat dan syahadah Fir’awn yang berganda tiga itu? Sedang dalam banyak ayat lain Allah menyebut pintu taubatnya senantiasa terbuka luas. Bagai dikata, inilah akibatnya jika lambat memohon. Umpamanya, usahlah berangan permohonan bakal dilulus jika borangnya dihantar selepas tarikh tutup. Taubat dan syahadah di ambang maut si Fir’awn ditolak kerana permohonannya sudah melepasi “masa kecederaan” taubat manusia:

هَلْ يَنْظُرُونَ إِلَّا أَنْ تَأْتِيَهُمُ الْمَلَائِكَةُ أَوْ يَأْتِيَ رَبُّكَ أَوْ يَأْتِيَ بَعْضُ آَيَاتِ رَبِّكَ يَوْمَ يَأْتِي بَعْضُ آَيَاتِ رَبِّكَ لَا يَنْفَعُ نَفْسًا إِيمَانُهَا لَمْ تَكُنْ آَمَنَتْ مِنْ قَبْلُ أَوْ كَسَبَتْ فِي إِيمَانِهَا خَيْرًا قُلِ انْتَظِرُوا إِنَّا مُنْتَظِرُونَ

Ertinya: Apakah (yang ditunggu-tunggu oleh mereka yang tidak beriman itu?) mereka tidak menunggu melainkan kedatangan malaikat (yang mencabut nyawa mereka), atau kedatangan (azab) Tuhanmu, atau kedatangan sebahagian dari tanda-tanda Tuhanmu (yang menjadi alamat hari kiamat). Pada hari datangnya sebahagian dari tanda-tanda Tuhanmu itu, tidak berfaedah lagi iman seseorang yang tidak beriman sebelum itu, atau yang tidak berusaha mengerjakan kebaikan mengenai imannya. Katakanlah: "Tunggulah kamu (akan apa yang kamu berhak mendapatnya), dan kami pun sebenarnya menunggu (akan apa yang telah dijanjikan oleh Tuhan kepada kami)" (al-An’am[6.158]).

Ayat ini menyebut waktu PERTAMA pintu taubat ditutup. Ia disokong sebuah hadith:

لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ مِنْ مَغْرِبِهَا فَإِذَا رَآهَا النَّاسُ آمَنَ مَنْ عَلَيْهَا فَذَاكَ حِينَ { لَا يَنْفَعُ نَفْسًا إِيمَانُهَا لَمْ تَكُنْ آمَنَتْ مِنْ قَبْلُ }

Ertinya: Kiamat tidak akan berlaku sehinggalah matahari terbit dari Barat. Apabila manusia melihat kejadian itu, semua yang berada di bumi akan beriman. Akan tetapi itulah saatnya  yang {tidak berfaedah lagi iman seseorang yang tidak beriman sebelum itu, atau yang tidak berusaha mengerjakan kebaikan mengenai imannya (Sahih al-Bukhari & Muslim).

Juga hadith Rasulullah SAW yang menyebut waktu KEDUA pintu taubat ditutup. Kesilapan Fir’awn adalah taubatnya dipohon pada saat ini:

إِنَّ اللَّهَ يَقْبَلُ تَوْبَةَ الْعَبْدِ مَا لَمْ يُغَرْغِرْ

Ertinya: Sesungguhnya Allah akan menerima taubat seorang hamba selagi rohnya belum sampai ke kerongkong (Sunan al-Tirmidhi &Ibn Majah).

Penyesalan dan penolakan 3 kali taubat Fir’awn ini sepatutnya menjadi pengajaran kepada saya dan anda semua agar jangan menangguhkan taubat. Angkuh dan bertangguh taubat adalah kembar yang sangat bahaya jika ia bertapak dalam hati. Kita perlu mengesan kedua sifat ini segera agar ia tidak menjadi karat yang menyukarkan kita melihat kelemahan diri dan keagungan Allah.

Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...