Saturday, April 11, 2015

HINDARKAN DOSA "AKU LEBIH BAIK DARI DIA"

HINDARKAN DOSA “AKU LEBIH BAIK DARI DIA”

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Bergetar hati jantung mendengar khutbah Jumaat dalam masjid Universiti Islam Antarabangsa Malaysia tengahari ini (10 April 2015). Isinya bagai pisau tajam menikam nurani saya yang selalu “perasan baik dan suci.” Rupanya kita banyak sekali melakukan dosa “AKU LEBIH BAIK DARI DIA” tanpa kita sedari. Terdorong oleh rasa dosa ini, sesetengah manusia menjadi lancar lidah dan jemarinya mengutuk para pesalah dengan alasan “demi pengajaran.”

Komentar dan bicaranya tentang kesalahan orang lain itu kemudiannya menjadi dosa berkembang seperti skim pyramid yang mana “pemula bicara kutukan atau butang kongsi” mendapat saham dosa tak terbilang.

Rupanya penyakit “AKU LEBIH BAIK DARI DIA” pertama sekali dihidap oleh Iblis ketika menolak untuk sujud hormat kepada Adam. Apabila disoal Allah mengapa dia enggan sujud, inilah jawapan si Iblis:

قَالَ مَا مَنَعَكَ أَلَّا تَسْجُدَ إِذْ أَمَرْتُكَ قَالَ أَنَا خَيْرٌ مِنْهُ خَلَقْتَنِي مِنْ نَارٍ وَخَلَقْتَهُ مِنْ طِينٍ

Ertinya: Allah berfirman: "Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahmu?" Iblis menjawab: "Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah." (al-A’raf[7:12]).

Khatib hari ini menyebut, pada zaman Rasulullah SAW ada 2 kisah penzina yang dihukum baginda SAW. Kedua penzina ini iaitu Ma’iz bin Malik RA dan wanita dari kabilah Ghamidiyyah datang mengaku salah berzina. Inilah bukti iman sejati kepada Allah. Boleh sahaja keduanya bersembunyi menutup kesalahan mereka tanpa diketahui sesiapa pun, namun iman dan takutnya mereka kepada Allah menggerakkan mereka datang berjumpa Rasulullah SAW. Ringkasnya kedua orang ini dihukum rejam oleh Rasulullah SAW. Setelah selesai hukuman, ada manusia yang berbicara buruk tentang keduanya seakan jenayah mereka tiada haraoan pengampunan dari Allah. Baginda kemudiannya mempertahankan pesalah zina ini dengan sabdanya:

لَقَدْ تَابَ تَوْبَةً لَوْ قُسِمَتْ بَيْنَ أُمَّةٍ لَوَسِعَتْهُمْ

Ertinya: Sesungguhnya taubat (Ma’iz bin Malik) diterima Allah. Jika taubatnya itu dibahagikan antara umat manusia sudah pasti ia akan mencukupi semua (Sahih Muslim).

Walaupun Ma’iz nyata berdosa dan mengaku berzina, Rasulullah SAW tetap mempertahankan beliau setelah ada yang bercakap buruk selepas kewafatan Ma’iz. Subhanallah! Sungguh berbeza sifat Rasulullah SAW berbanding sesetengah kita. Mudah sahaja kita “berlagak Tuhan” menghukum manusia sebagai jahat, buruk, huduh pasti ke neraka kerana kesilapannya yang lalu, sedangkan hanya Allah sahaja Yang Maha Pengampun.

Inilah cabaran semasa yang dihadapi umat Islam. Perkongsian maklumat dan berita dalam media sosial sangat bahaya jika tidak diurus dengan iman, ilmu dan taqwa. Sebelum mulut, lidah, dan tangan mahu memberi pandangan, hayatilah sabda Rasulullah ini:

الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ

Ertinya: Seorang Muslim (sejati) adalah orang yang saudara Muslimnya yang lain terselamat dari (kejahatan) lidah dan TANGANNYA (Sahih al-Bukhari & Muslim).

Cakap dan komentar kutukan kita di media social bakal menjadi “dosa umpatan” jika ia benar sekalipun. Lebih parah ia akan menjadi “dosa fitnah” jika tersasar dari keadaan sebenar. Kita wajib meletakkan waspada dan kebimbangan pada tahap “zon merah”  bimbangkan komentar atau perkongsian kita menjadi sebab musibah akhirat:

إِنَّ الْعَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ يَنْزِلُ بِهَا فِي النَّارِ أَبْعَدَ مَا بَيْنَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ

Ertinya: Sesungguhnya seorang hamba (manusia) boleh sahaja bercakap sesuatu perkara yang tidak dapat dipastikan kebenarannya, lalu (perkara itu) AKAN MENJERUMUSKANNYA SEMAKIN DALAM KE DALAM NERAKA SEJAUH ANTARA TIMUR DAN BARAT (Sahih al-Bukhari & Muslim).

Anda tidak akan menjadi lebih soleh dan darjat syurga anda di akhirat tidak akan meningkat pun dengan berkonsi cerita buruk orang lain. Pahala anda juga tidak akan bertambah jika berjaya memberi komentar “ala-ala malaikat pencatit amalan” dalam media sosial. Oleh itu, jagalah lidah dan “TANGAN” agar kedua amanah Allah ini tidak menjadi sebab kita jatuh tertumus muka ke dalam neraka. Nasihat Rasulullah SAW kepada Mu’adh:

فَأَخَذَ بِلِسَانِهِ قَالَ كُفَّ عَلَيْكَ هَذَا فَقُلْتُ يَا نَبِيَّ اللَّهِ وَإِنَّا لَمُؤَاخَذُونَ بِمَا نَتَكَلَّمُ بِهِ فَقَالَ ثَكِلَتْكَ أُمُّكَ يَا مُعَاذُ وَهَلْ يَكُبُّ النَّاسَ فِي النَّارِ عَلَى وُجُوهِهِمْ أَوْ عَلَى مَنَاخِرِهِمْ إِلَّا حَصَائِدُ أَلْسِنَتِهِمْ

Ertinya: (Dalam nasihat baginda SAW kepada Mu’adh baginda bertindak), menunjukkan lidahnya seraya berkata: “JAGALAH ATAU HALANGLAH (LIDAH) INI.” Aku (Mu’adh) bertanya: Wahai Nabi Allah! Adakah kami akan dihukum kerana apa yang kami bicarakan? Rasulullah menjawab: Wahai Mu’adh, berapa banyak manusia dihumban ke dalam neraka (tertumus) atas muka atau  hidung mereka kerana hasil tuaian (buruk) lidah mereka (Sunan al-Tirmidhi).

Senyap dan diamlah. Itu lebih baik. Kurang salah kita, kurang dosa kita, tambah tinggi iman kita dan tambah mulia nama kita. Insya Allah!

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...