Wednesday, April 8, 2015

AZAN, MIMPI DAN BILAL

AZAN, MIMPI DAN BILAL

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

Setiap pagi bila keluar seawal jam 6:30 pagi untuk ke pejabat, biasa kedengaran bunyi loceng dari sebuah kuil berhampiran rumah. Bunyinya kosong tak berjiwa, jauh sekali jika mahu dibandingkan dengan laungan azan. Sungguh azan itu laungan fitrah yang menyentuh hati nurani insan. Pun begitu, ahli kitab dan manusia munafiq sezaman Rasulullah SAW memang buta hatinya kerana menjadikan azan sebagai ejekan dan gurauan:

وَإِذَا نَادَيْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ اتَّخَذُوهَا هُزُوًا وَلَعِبًا ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ قَوْمٌ لَا يَعْقِلُونَ

Ertinya: Dan apabila kamu menyeru (azan) untuk mengerjakan sembahyang, mereka menjadikan sembahyang itu sebagai ejek-ejekan dan permainan. Yang demikian itu ialah kerana mereka suatu kaum yang tidak berakal (al-Ma’idah [5:58]).

Mengejek dan gentar takutkan azan seiring dengan sifat syaitan sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ أَدْبَرَ الشَّيْطَانُ وَلَهُ ضُرَاطٌ حَتَّى لَا يَسْمَعَ التَّأْذِينَ…

Ertinya: Apabila dilaungkan azan untuk solat, syaitan lari terkentut-kentut sehingga tidak didengarinya laungan azan (Sahih al-Bukhari & Muslim).

Walaupun solat diwajibkan di Mekah selepas peristiwa Israk Mikraj, azan belum disyariatkan lagi kerana keadaan belum sesuai. Ketika di Mekah, usahkan azan yang nyaring sifatnya, solat pun sudah mengundang cemuhan Musyrikin Quraysh sehingga mendorong turunnya ayat ini (Sahih al-Bukhari & Muslim):

قُلِ ادْعُوا اللَّهَ أَوِ ادْعُوا الرَّحْمَنَ أَيًّا مَا تَدْعُوا فَلَهُ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَى وَلَا تَجْهَرْ بِصَلَاتِكَ وَلَا تُخَافِتْ بِهَا وَابْتَغِ بَيْنَ ذَلِكَ سَبِيلًا

Ertinya: Katakanlah (wahai Muhammad): "Serulah nama " Allah" atau nama "Ar-Rahman", yang mana sahaja kamu serukan (dari kedua-dua nama itu adalah baik belaka); kerana Allah mempunyai banyak nama-nama yang baik serta mulia". DAN JANGANLAH ENGKAU NYARINGKAN BACAAN DOA ATAU SEMBAHYANGMU (BIMBANG DIDENGAR MUSYRIKIN LALU DICEMUH), JUGA JANGANLAH ENGKAU PERLAHANKANNYA (BIMBANG UMAT ISLAM TAK MENDENGAR LALU TIDAK DAPAT BELAJAR), DAN GUNAKANLAH SAHAJA SATU CARA YANG SEDERHANA ANTARA ITU (al-Isra’[17:110]).

Setelah Hijrah, umat Islam memerlukan suatu mekanisme khusus untuk mengisytiharkan masuknya waktu solat. Ada yang mencadangkan agar ditiup tanduk atau trompet sebagaimana yang dilakukan oleh orang Yahudi. Ada juga yang mencadangkan agar diketuk beduk kayu sebagaimana dilakukan orang Nasrani. Akhirnya semua cadangan tersebut tidak diterima kerana mempunyai persamaan dengan agama Yahudi dan Nasrani.

Pada suatu hari, Abdullah bin Zayd RA bermimpi berjalan di sebuah pasar. Beliau bertemu seorang lelaki berbaju hijau membawa bersamanya beduk kayu. Abdullah mahu membeli beduk tersebut untuk memanggil manusia kepada solat. Lelaki berbaju hijau itu kemudiannya mengajarkan Abdullah lafaz azan. Pada paginya, beliau menceritakan mimpinya kepada Rasulullah SAW dan baginda meminta agar Abdullah mengajar Bilal bin Rabah lafaz tersebut. Bilal RA pun memulakan lafaz azan pertama dalam sejarah manusia. Rupanya, Umar bin al-Khattab juga bermimpi dengan mimpi yang sama (Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abu Dawud, Sunan al-Tirmidhi).

Soalannya, adakah mimpi boleh menjadi hujah dan syariat dalam Islam? Benar, mimpi tidak boleh menjadi sumber syariat dalam Islam melainkan mimpi para Rasul seperti mimpi nabi Ibrahim (al-Saffat[37:102]) dan mimpi Rasulullah SAW yang melihatnya menunaikan umrah (al-Fath[48:27]).

Jawabnya mudah sahaja, mimpi Abdullah bin Zayd RA itu sudah disahkan oleh baginda Rasulullah SAW. Dengan pengesahan itu, ia sudah termasuk dalam pengertian Sunnah Rasulullah SAW.

Ada juga yang bertanya, mengapa Bilal bin Rabah dipilih sebagai muazzin pertama Islam? Ada 2 sebab utama iaitu; (1) Bilal memiliki suara yang kuat (Disebut dalam hadith sama di atas), dan (2) penghormatan khusus oleh Allah untuknya. Semasa awal Islam, Bilal diseksa teruk oleh tuannya agar kembali murtad, sebaliknya beliau melafazkan kalimah Tawhid “Ahad! Ahad! Atau (Allah) Yang Esa” dengan nyaring berulang kali bagi menyakitkan hati tuannya yang musyrik dan meninggikan kalimah Tawhid. Berikutan pengorbanannya itu, Allah memberikan pernghormatan kepadanya menjadi manusia pertama melaungkan lafaz azan yang juga terkandung dalamnya lafaz Tawhid pada awal dan akhirnya. Subhanallah!  (Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari). Bukan setakat itu, langsung namanya ABADI SEBAGAI BILAL SELURUH DUNIA SEHINGGA KIAMAT.

Subhanallah! Mulia sungguh insan ini, walau asalnya bekas hamba tapi mulianya kekal sehingga ke akhir zaman.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...