Wednesday, March 4, 2015

SENANTIASA MENDIDIK MANUSIA SEMASA HIDUP DAN SELEPAS MATI

SENANTIASA MENDIDIK MANUSIA SEMASA HIDUP DAN SELEPAS MATI

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

(3 Mac 2015).

Manusia hebat sebenarnya tidak mati walaupun jasad mereka sudah lama disemadikan dalam bumi. Legasi peninggalan mereka terus hidup kekal. Inilah “karamah” atau kemuliaan kurniaan Allah kepada sesetengah hambaNya yang istimewa seperti para nabi, para sahabat dan para ulama ummah.

Bagi pengalaman saya, lama juga saya dididik di bawah dagu al-Marhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz. Ia berlaku seawal saya berusia 5 tahun (tahun 1980) sehinggalah keluar meninggalkan Kelantan untuk menyambung pelajaran pada tahun 1993. Jarak rumah saya yang hanya kurang lebih sekitar 2 km dari Kg. Pulau Melaka memang memungkinkan pembelajaran secara berterusan. Seingat saya, dalam seminggu kami adik beradik dibawa arwah abah ke kuliah beliau sebanyak 6 kali.

Walau sudah meninggalkan kita hampir sebulan, nama dan legasi soleh peninggalan al-Marhum Tuan Guru masih dituturkan ramai. Di kala mata mendesak ingin meneruskan rehatnya di tengah malam, semangat luar biasa seakan menarik badan agar bangun bermunajat kepada Allah setelah mengingati istiqamahnya al-Marhum Tuan Guru menghidupkan malamnya. Ketika hati ingin mencuaikan tanggungjawab dan amanah dalam kerja, hati berasa malu dengan sikap amanah al-Marhum Tuan Guru yang tidak menyalah gunakan harta kerajaan. Dan banyak lagi kata-kata nasihat beliau yang dikenang dan terpahat kemas dalam hati.

Mengingati sifat soleh al-Marhum Tuan Guru seakan suatu magnet rohani yang menarik jiwa untuk menjadi orang baik. Segala ini tidak berlaku secara kebetulan tetapi suatu rasa yang dicampakkan Allah ke dalam hati kita sebagaimana firmanNya:

إِنَّ الَّذِينَ آَمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ سَيَجْعَلُ لَهُمُ الرَّحْمَنُ وُدًّا

Ertinya: Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, Allah yang melimpah-limpah rahmatnya akan menanamkan bagi mereka dalam hati orang ramai perasaan kasih sayang (Maryam[19:96]).

Ketika mengenang legasi dan kesolehan al-Marhum Tuan Guru, seorang teman saya berkata:

“Subhanallah! Tuan Guru tetap mendidik kita semua walaupun SELEPAS MATINYA.”

Hati saya seakan disambar petir mendengar kata teman sepersekolahan dulu Dr. Rosydi Muhammad (pensyarah Kuliah ICT, UIAM). Lantas kisah Habib al-Najjar menjengah minda saya.

Siapa Habib al-Najjar? Beliau adalah lelaki soleh yang dipuji Allah dalam surah Yasin. Ketika kaumnya degil menolak para Rasul utusan Allah, Habib al-Najjar bangun MENASIHATI KAUMNYA AGAR BERIMAN KEPADA ALLAH. Akibatnya, beliau gugur syahid dibunuh kaumnya. Setelah bahagia di alam barzakh, Habib al-Najjar sangat berharap agar kaumnya tetap beriman kepada Allah. Harapan yang tidak kesampaian ini direkodkan dalam surah Yasin:

قِيلَ ادْخُلِ الْجَنَّةَ قَالَ يَا لَيْتَ قَوْمِي يَعْلَمُونَ (26) بِمَا غَفَرَ لِي رَبِّي وَجَعَلَنِي مِنَ الْمُكْرَمِينَ (27)

Ertinya: (Setelah ia mati) lalu dikatakan kepadanya: "Masuklah ke dalam Syurga". Ia berkata; "Alangkah baiknya kalau kaumku mengetahui - "Tentang perkara yang menyebabkan daku diampunkan oleh Tuhanku, serta dijadikannya daku dari orang-orang yang dimuliakan" (Yasin[36:26-27]).

Ketika mengulas kisah Habib al-Najjar ini, pakar Tafsir al-Quran di kalangan sahabat - ‘Abdullah Ibn ‘Abbas berkata:

“BELIAU TETAP MENASIHATI KAUMNYA KETIKA MASIH HIDUP DAN SELEPAS MATI.” (Tafsir Ibn Kathir).

Sayangnya nasihat beliau selepas matinya tidak sampai kepada kaumnya kerana roh orang yang sudah mati MUSTAHIL dapat kembali ke dunia.

Sebenarnya bukan hanya al-Marhum Tuan Guru, bahkan para Rasul, sahabat dan para ulama sepanjang zaman senantiasa MENASIHATI KITA SEMUA SEMASA HIDUP DAN SELEPAS MATI MEREKA. Nasihat mereka disampaikan Allah kepada kita melalui “legasi peninggalan mereka yang tidak kunjung padam keberkatannya.” Inilah kemuliaan Allah kepada mereka. Semoga hidup kita akan berterusan mendapat keberkatan dengan menjadikan mereka sebagai idola ikutan. Insya Allah!

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...