Thursday, March 26, 2015

"KUMAN MADYAN DAN AYKAH MODEN" DI MALAYSIA

"KUMAN MADYAN DAN AYKAH MODEN" DI MALAYSIA

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Selasa (al-Syu’ara’ [31:27]) pada 24 Mac 2015. Antara isunya adalah kisah kejahatan kaum Madyan yang mengundang kemurkaan Allah.

Bukan kecil jenayah mereka. Pantang lepa, ada sahaja hak orang yang mahu dirampas. Apa sahaja urusan yang mereka ceburi pasti ada “untung haram” yang diambil. Ada sahaja mangsa yang menepuk dahi kerugian. Dalam apa sahaja urusan, “MEREKA PASTI DAPAT LEBIH DAN PASTI ADA PIHAK YANG HILANG HAK.” Jika tidak ditegur atau dirawat, kepercayaan dalam masyarakat beransur hilang. Inilah kisah kaum Madyan dan Aykah. Nama mereka kekal busuk sehingga kiamat. Apabila membaca kisah mereka, seakan Allah berkata kepada kita “KAMU JANGAN JADI SEPERTI MEREKA”:

كَذَّبَ أَصْحَابُ الْأَيْكَةِ الْمُرْسَلِينَ (176) إِذْ قَالَ لَهُمْ شُعَيْبٌ أَلَا تَتَّقُونَ (177) إِنِّي لَكُمْ رَسُولٌ أَمِينٌ (178) فَاتَّقُوا اللَّهَ وَأَطِيعُونِ (179) وَمَا أَسْأَلُكُمْ عَلَيْهِ مِنْ أَجْرٍ إِنْ أَجْرِيَ إِلَّا عَلَى رَبِّ الْعَالَمِينَ (180) أَوْفُوا الْكَيْلَ وَلَا تَكُونُوا مِنَ الْمُخْسِرِينَ (181) وَزِنُوا بِالْقِسْطَاسِ الْمُسْتَقِيمِ (182) وَلَا تَبْخَسُوا النَّاسَ أَشْيَاءَهُمْ وَلَا تَعْثَوْا فِي الْأَرْضِ مُفْسِدِينَ (183)

Ertinya: (Demikian juga) penduduk "Aikah" telah mendustakan Rasul-rasul (yang diutus kepada mereka).  Ketika Nabi Syuaib berkata kepada mereka: "Hendaknya kamu mematuhi perintah Allah dan menjauhi laranganNya. "Sesungguhnya aku ini Rasul yang amanah, (yang diutus oleh Allah) kepada kamu. "Oleh itu, takutilah kamu akan (kemurkaan) Allah, dan taatlah kepadaku. "Dan aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah mengenai apa yang aku sampaikan (dari Tuhanku); balasanku hanyalah terserah kepada Allah Tuhan sekalian alam. "HENDAKLAH KAMU MENYEMPURNAKAN SUKATAN CUPAK-GANTANG, DAN JANGANLAH KAMU MENJADI GOLONGAN YANG MERUGIKAN ORANG LAIN. "DAN TIMBANGLAH DENGAN NERACA YANG BETUL TIMBANGANNYA. "DAN JANGANLAH KAMU MENGURANGI HAK-HAK ORANG RAMAI, DAN JANGANLAH KAMU BERMAHARAJALELA MELAKUKAN KEROSAKAN DI BUMI (al-Syu’ara’[26:176-183]).

Para ulama Tafsir berselisih pendapat. Ada yang mengatakan Madyan dan Aykah adalah umat yang sama. Rasul mereka adalah nabi Syu’ayb AS (Tafsir Ibn Kathir). Ada juga yang mengatakan Aykah adalah negeri bersebelahan Madyan. Mereka berkongsi tabiat buruk yang sama. Oleh kerana itu, nabi Su’ayb diberi 2 misi kepada 2 negeri (Tafsir al-Munir).

Jenayah mereka adalah dosa besar kerana jalan putus untuk mereka hanya azab yang keras. Sedar atau tidak, kuman “bengkok dan penipu” kaum Madyan ini kekal sehingga sekarang dan turut menjangkiti sesetengah Muslim Malaysia.

Lihat sahaja berapa ramai pekerja yang kurang jam kerjanya walau kontrak gajinya menuntut sebaliknya. Makan pagi dan minum petang sengaja dipanjangkan agar beberapa minit waktu kerja dapat ditiriskan. Jam kerjanya tak cukup, tapi gajinya mahu lebih. Itu belum lagi dikira aspek penyalahgunaan kemudahan pejabat untuk kepentingan peribadi. Sungguh! Ini adalah kuman kaum Madyan.

Berapa banyak pula tuntutan yang ditipu oleh sesetengah pekerja. Perjalanannya singkat tapi borang tuntutannya lebih berjela. Sungguh! Ini adalah kuman kaum Madyan.

Berapa banyak pula projek kerajaan yang hilang nilainya kerana bahan binaannya tidak mencapai “standard selamat.” ADA SAHAJA NILAI SEBENAR PROJEK DITARIK KELUAR BAGI MENYUMBAT MULUT MANUSIA JAHAT YANG RAKUS BAK “DUBUK.” SUDAHNYA PROJEK SIAP, TAPI PAHAT BERBUNYI. "TAMBAH MALANG RAKYAT JUGA AKHIRNYA YANG PERLU MENGELUARKAN BIAYA MEMBELI PAHATNYA." Sudahnya rakyat cuma "mendapat tulang," manakala "isi ikannya dibaham rakus kucing haram" yang semakin buncit perutnya. Sungguh! Ini adalah kuman kaum Madyan.

Dalam ayat lain Allah menegaskan tabiat “suka haram” adalah dosa besar yang sering dipandang remeh. Beringatlah, jangan sampai mengambil hak orang lain walaupun cuma "satu sen." Apa gunanya “kaya atau senang sekejap di dunia tapi kayap dan merana di akhirat kelak.” Firman Allah:

وَيْلٌ لِلْمُطَفِّفِينَ (1) الَّذِينَ إِذَا اكْتَالُوا عَلَى النَّاسِ يَسْتَوْفُونَ (2) وَإِذَا كَالُوهُمْ أَوْ وَزَنُوهُمْ يُخْسِرُونَ (3) أَلَا يَظُنُّ أُولَئِكَ أَنَّهُمْ مَبْعُوثُونَ (4) لِيَوْمٍ عَظِيمٍ (5) يَوْمَ يَقُومُ النَّاسُ لِرَبِّ الْعَالَمِينَ (6) 

Ertinya: Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan), Iaitu mereka yang apabila menerima sukatan (gantang cupak) dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup, Dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi. Tidakkah mereka menyangka bahawa mereka akan dibangkitkan (hidup semula sesudah mati)? Pada hari (kiamat) yang amat besar (huru-haranya), Hari berdiri manusia untuk mengadap Tuhan sekalian alam? (al-Mutaffifin [83:1-6]).

Sifat ini adalah kuman yang "SANGAT BAHAYA", bukan setakat iman di dada, negara dan empayar pun mampu diruntuhkannya. Nabi Syu'ayb AS dahulu dan al-Quran adalah Doktor yang dihantar untuk mematikannya. Ya Allah! Selamatkan kami dari “kuman Madyan dan Aykah” dalam semua urusan kami, kerana kuman ini adalah adunan Iblis yang menjadi magnet menarik hambaMu ke neraka.
* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...