Tuesday, March 24, 2015

"TAYAR BOTAK KEHAUSAN BUNGA" MAMPU BERTUKAR MENJADI MAKHLUK ALLAH YANG BAHAYA

"TAYAR BOTAK KEHAUSAN BUNGA" MAMPU BERTUKAR MENJADI MAKHLUK ALLAH YANG BAHAYA

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

“Pang!” Kuat sekali bunyi letupan itu membingitkan telinga. Sejurus itu terlihat sebuah lori terhuyung hayang geraknya menghampiri pinggir jalan. Tiada pilihan lain, saya terpaksa segera berundur ke belakang mengelak dari dirempuh lori. Mujur jaraknya agak jauh kira-kira 50 meter, namun hati masih bergentar. Tambah bergetar apabila mendengar banyak sekali nyawa melayang akibat impak tayar lori yang pecah.

Tengahari ini (23 Mac 2015), saya bersama isteri singgah di sebuah restoran di Platinum Victory, Taman Melati. Ketika sedang membeli tiket parking pada mesin parking di tepi jalan, saya terserempak dengan lori yang pecah tayarnya. Mungkin kerana tayarnya sudah kehausan bunga. Mujur tiada kereta di belakangnya yang menjadi mangsa.

Sungguh “TAYAR LORI YANG KEHAUSAN BUNGA ADALAH SEJENIS MAKHLUK ALLAH YANG JAHAT LAGI BAHAYA.” Jahat atau bahaya kerana mampu memberi mudarat kepada semua yang berhampiran. Inilah sebabnya Allah menyuruh manusia berlindung dari semua makhlukNya yang jahat lagi bahaya:

قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ (1) مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ (2)

Ertinya: Katakanlah (wahai Muhammad); "Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk, "DARI (BENCANA) BAHAYA MAKHLUK YANG DIA CIPTAKAN; (al-Falaq [113:1-2]).

Sebut sahaja makhluk, ia merujuk kepada segala sesuatu selain Allah atau al-KHALIQ. Huraian Buya Hamka dalam Tafsir al-Azhar sangat bagus memahamkan kita maksud “BAHAYA ATAU KEJAHATAN MAKHLUK CIPTAAN ALLAH.”

"Segala makhluk ada unsur jahat dan bahayanya. Hujan yang lebat mencipta banjir sehingga melemaskan manusia dan merosakkan harta benda adalah makhluk yang bahaya dan jahat. Laut yang bergelora sehingga menenggelamkan kapal adalah makhluk yang bahaya dan jahat. Panas terik yang membakar juga makhluk yang  bahaya dan jahat. Pokok besar yang tumbang menghempap manusia adalah makhluk yang bahaya dan jahat. Kereta yang hilang kawalan sehingga meragut nyawa pemandunya adalah makhluk yang bahaya dan jahat. Gas dapur yang bocor dan membakar wanita yang memasak adalah makhluk yang bahaya dan jahat. Paku karat yang tertanggal dari terompah lalu dipijak seseorang yang mengakibatkan luka yang dalam juga makhluk yang bahaya dan jahat" (Tafsir al-Azhar).

Bagi konteks zaman kita, segala macam penyakit yang baru lahir tapi sukar dikawal seperti H1N1, ebola dan denggi juga mahkluk yang bahaya  dan jahat. Segala macam bencana seperti Tsunami, gempa bumi, puting beliung, kejatuhan ringgit dan sebagainya juga antara makhluk Allah yang harus kita mohon perlindungan dari bahayanya. Inilah sebabnya Allah selaku Pemilik segala yang  bahaya dan jahat meminta agar kita senantiasa berlindung kepadaNya. Inilah intisari akhir ayat al-Kursi yang mesti kita wiridkan selesai sahaja setiap solat:

وَسِعَ كُرْسِيُّهُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ وَلَا يَئُودُهُ حِفْظُهُمَا وَهُوَ الْعَلِيُّ الْعَظِيمُ

Ertinya: “LUASNYA KURSI ALLAH (ILMUNYA DAN KEKUASAANNYA) MELIPUTI LANGIT DAN BUMI; DAN TIADALAH MENJADI KEBERATAN KEPADA ALLAH MENJAGA SERTA MEMELIHARA KEDUANYA.” Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya) (al-Baqarah [2:255]).

Sungguh! Jika seluas alam mampu dijaga oleh Allah, maka apalah sangat bagi Allah menjaga diri kita, anak isteri, keluarga dan harta benda kita dari dimudaratkan oleh mana-mana makhluk yang bertukar menjadi bahaya dan jahat.

Menyedari hakikat kewujudan makhluk biasa yang mampu bertukar menjadi bahaya dan jahat ini, Rasulullah juga menyarankan kita berlindung dengan Pemilik semua makhluk agar selamat senantiasa:

مَنْ قَالَ بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ لَمْ تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلَاءٍ حَتَّى يُصْبِحَ وَمَنْ قَالَهَا حِينَ يُصْبِحُ ثَلَاثُ مَرَّاتٍ لَمْ تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلَاءٍ حَتَّى يُمْسِيَ

Ertinya: Sesiapa yang berdoa “DENGAN NAMA ALLAH YANG TIDAK AKAN MEMBERI MUDARAT BERSAMA NAMANYA SEUATU APA PUN BAIK DI BUMI ATAU DI LANGIT, DAN DIALAH YANG MAHA MENDENGAR LAGI MAHA MENGETAHUI,” sebanyak 3 kali (pada waktu petang) tidak akan ditimpa musibah secara mengejut sehingga pagi, dan sesiapa yang berdoa dengannya pada waktu pagi sebanyak 3 kali tidak akan ditimpa musibah secara mengejut sehingga petang (Sunan Abu Dawud dan Sunan al-Tirmidhi).

Hidup pastinya kita bukan dalam kawalan kita. Jika mampu mengawalnya sekalipun, keputusan akhir tetap pada Allah. Oleh itu lebih mudah jika kita minta Allah sahaja mengawal hidup kita agar senantiasa selamat dari segala bahaya dan kejahatan makhlukNya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...