Saturday, March 28, 2015

BARU BERGURAU SENDA - IMAM AHMAD BIN HANBAL SUDAH MENGUNDUR DIRI...

BARU BERGURAU SENDA - IMAM AHMAD BIN HANBAL SUDAH MENGUNDUR DIRI...

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Ini pastinya sangat sukar dibuat...Ilmu bersalut adab. Antara adab menuntut ilmu agama adalah FOKUS dan SERIUS...

Khalaf bin Salim bercerita, pada suatu hari kami berada dalam majlis ilmu bersama Yazid bin Harun (salah seorang guru Imam Ahmad bin Hanbal), Yazid pun bergurau ringan dengan para muridnya. Tiba-tiba Imam Ahmad mulai berdehem. Yazid segera menepuk pahanya seraya berkata:

"Mengapakah kamu semua tidak memberitahuku yang Ahmad bin Hanbal ada bersama kita. Jika ku tahu, pasti aku tidak akan bergurau senda dalam Majlis ini".

Begitulah gambarannya betapa serius dan waraknya Imam Ahmad Ibn Hanbal dalam majlis ilmu. Bayangkan apa tindakan beliau jika berada dalam ceramah ilmu sesetengah ustaz yang "MUQADDIMAHNYA, TENGAHNYA DAN PENUTUPNYA DIPENUHI BINGIT GELAK KETAWA DAN SENDA GURAU."

(Dipetik dari buku "Manaqib Imam Ahmad Ibn Hanbal susunan Imam Ibn al-Jawzi" halaman 95).

Menyedihkan sekali, ada sesetengah penganjur sengaja mencari penceramah yang banyak lawaknya untuk menarik pendengar. Renung firman Allah ini:

وَذَرِ الَّذِينَ اتَّخَذُوا دِينَهُمْ لَعِبًا وَلَهْوًا وَغَرَّتْهُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا

Ertinya: Dan jauhkanlah diri dari orang-orang yang menjadikan ugama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia (al-An'am[6:70])..

Ayat ini masih panjang. Konteks asalnya pun menegur Musyrikin Quraysh yang sungguh pelik amalan agamanya, namun ia sangat sesuai dijadikan peringatan agar jangan TERLEBIH BERGURAU DAN MELAWAK dalam pengajaran agama.

Contoh Imam Ahmad nampak agak ekstrem, namun ia sesuai untuk manusia hebat sepertinya. Jika mahu jadi hebat, contohilah cara orang hebat. Jika mahu jadi biasa, ikutlah cara orang biasa dan anda pun hanya akan jadi biasa. Tabiat manusia, jika menyentuh bab ilmu atau rohani pasti akan ber-ala kadar dan berkata: "Apa salahnya melawak sampai pecah perut, SEKURANGNYA dengar juga ceramah."

Bila membabitkan bab material pula, tak mahu pula berkurang atau ber-ala kadar. Kalau boleh gaji mahu maksima, segalanya mahu maksima.

Bagi saya, gurau senda dan lawak seperti aji-no-moto. Tiada dalam masakan, perut tetap kenyang. Jika ada dalam kadar sedikit, sudah memadai kerana lidah mahu juga merasa "sesuatu." Jika terlebih masuk, ia membahayakan kesihatan tubuh.

Kita mahu pendengar pulang sambil berkata:

"Alhamdulillah! Menarik sekali kupasan penceramah tadi, mudah difaham dan mudah dihadam."

Jangan begini pula komen pendengar:

"Aku tak tahan mendengar lawak si penceramah. Kalau masuk Maharaja Lawak pasti menang. Eh Apa isu yang dibincang tadi? Aku lupa sebab sakit perut menahan tawa."

Ya Allah! Selamatkan agama kami. Jadikan kami sealim dan sewarak Imam Ahmad.

☆ Dapatkan nota-nota tafsir yang terdahulu di

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...