Wednesday, March 18, 2015

9 JAHANAM KAMPONG THAMUD

9 JAHANAM KAMPONG THAMUD

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Selasa (al-Syu’ara’ [26:150-152]) pada 17 Mac 2015. Antara isunya adalah penentangan kaum Thamud terhadap dakwah nabi Saleh AS yang dipelopori 9 watak antagonis yang licik.

“Sarip Dol samseng kampong Dusun dan 6 Jahanam,” itu adalah 2 watak antagonis yang pernah dipaparkan dalam karya seni Tan Sri P.Ramlee. Nampak seakan fiksyen, namun itulah hakikat manusia. Di mana ada Ibrahim, Namrudhnya pasti muncul. Apabila Musa datang, Fir’awn pasti menentang. Ketika Muhammad SAW tiba, Abu Jahal dan al-Walid ibn al-Mughirah pasti terancam dan mengancam. Samalah juga kisah nabi Saleh AS. Dakwah baginda ditentang keras kaumnya. Kaumnya pula sudah sekian lama bernaung di bawah jajahan takluk “9 JAHANAM” kaum Thamud sehingga nabi Saleh berpesan pada mereka:

فَاتَّقُوا اللَّهَ وَأَطِيعُونِ (150) وَلَا تُطِيعُوا أَمْرَ الْمُسْرِفِينَ (151) الَّذِينَ يُفْسِدُونَ فِي الْأَرْضِ وَلَا يُصْلِحُونَ (152)

Ertinya: "Oleh itu, takutilah kamu akan (kemurkaan) Allah, dan taatlah kepadaku; "Dan janganlah kamu taati perintah orang-orang yang melampaui batas, - "IAITU ORANG-ORANG YANG MELAKUKAN KEROSAKAN DI BUMI DAN TIDAK MEMBUAT KEBAIKAN" (al-Syu’ara’ [26:150-152]).

Dalam ayat lain Allah menyebut jumlah mereka agar jelas kepada kita bahawa penjahat juga ada persatuannya yang saling bergandingan dalam kegiatan jahat mereka:

وَكَانَ فِي الْمَدِينَةِ تِسْعَةُ رَهْطٍ يُفْسِدُونَ فِي الْأَرْضِ وَلَا يُصْلِحُونَ (48) قَالُوا تَقَاسَمُوا بِاللَّهِ لَنُبَيِّتَنَّهُ وَأَهْلَهُ ثُمَّ لَنَقُولَنَّ لِوَلِيِّهِ مَا شَهِدْنَا مَهْلِكَ أَهْلِهِ وَإِنَّا لَصَادِقُونَ (49) وَمَكَرُوا مَكْرًا وَمَكَرْنَا مَكْرًا وَهُمْ لَا يَشْعُرُونَ (50)

Ertinya: Dan di bandar (tempat tinggal kaum Thamud) itu, “ADA SEMBILAN ORANG YANG SEMATA-MATA MELAKUKAN KEROSAKAN DI BUMI (DENGAN BERBAGAI-BAGAI MAKSIAT) DAN TIDAK MELAKUKAN KEBAIKAN SEDIKITPUN.” Mereka berkata (sesama sendiri): "Hendaklah kamu masing-masing bersumpah dengan nama Allah, bahawa sesungguhnya kita akan membunuh Soleh dan pengikut-pengikutnya secara mengejut pada waktu malam, kemudian kita akan berkata kepada warisnya: ` Kami tidak hadir (di tempat) pembunuhan (Soleh apalagi membunuhnya atau membunuh) pengikut-pengikutnya, dan sesungguhnya kami adalah berkata benar '. Dan (dengan demikian) mereka telah merancangkan rancangan jahat, dan Kami pula rancangkan balasannya dengan seburuk-buruk balasan, sedang mereka tidak menyedarinya (al-Naml [27:48-50]).

Kedua ayat bersatu pada satu kenyataan iaitu mereka ini sangat jahat “MELAKUKAN KEROSAKAN DI BUMI (DENGAN BERBAGAI-BAGAI MAKSIAT) DAN TIDAK MELAKUKAN KEBAIKAN SEDIKITPUN. Mengapakah Allah menggandingkan keduanya? Sedangkan jika disebut mereka melakukan kerosakan di bumi sudah cukup bagi menggambarkan kejahatan mereka. Tidak lain, ia adalah cara Allah menggambarkan kemuncak kejahatan mereka yang langsung tiada sifat baik kerana sesetengah manusia jahat masih ada sikap baiknya (Tafsir al-Razi). Sifat baik 9 Jahanam Kaum Thamud ini hilang langsung ditelan sifat jahat mereka. Apa yang keluar dari mereka hanyalah tingkah laku yang teramat jahat. Pendek kata, mereka adalah antara “produk Iblis dan nafsu” yang sangat berjaya.

Perhatikan juga strategi 9 Jahanam ini pada ayat 49 surah al-Naml, “MEREKA BERKATA (SESAMA SENDIRI): "HENDAKLAH KAMU MASING-MASING BERSUMPAH DENGAN NAMA ALLAH, BAHAWA SESUNGGUHNYA KITA AKAN MEMBUNUH SOLEH DAN PENGIKUT-PENGIKUTNYA SECARA MENGEJUT PADA WAKTU MALAM, KEMUDIAN KITA AKAN BERKATA KEPADA WARISNYA: ` KAMI TIDAK HADIR (DI TEMPAT) PEMBUNUHAN (SOLEH APALAGI MEMBUNUHNYA ATAU MEMBUNUH) PENGIKUT-PENGIKUTNYA, DAN SESUNGGUHNYA KAMI ADALAH BERKATA BENAR.”

Memang ia sangat mirip dengan kejahatan agensi perisikan sesetengah Negara besar dunia. Mereka merancang untuk menjahanamkan orang lain, mereka membunuh, mereka menutup kesan jenayah dan kemudiannya mereka menafikan sebarang penglibatan.

Kisah nabi Saleh dan 9 Jahanam Thamud ini bukan sekadar kisah pengulit tidur, tetapi mengajar kepada kita agar jangan jahat, jangan zalim dan jangan cenderung kepada kezaliman. Jenayah mereka inilah yang mengundang musibah dan bencana dari Allah. Sabda Rasulullah SAW:

مَا مِنْ ذَنْبٍ أَجْدَرُ أَنْ يُعَجِّلَ اللَّهُ تَعَالَى لِصَاحِبِهِ الْعُقُوبَةَ فِي الدُّنْيَا مَعَ مَا يَدَّخِرُ لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِثْلُ الْبَغْيِ وَقَطِيعَةِ الرَّحِمِ

Ertinya: Tiada dosa yang layak disegerakan azabnya oleh Allah kepada pelakunya semasa di dunia lagi bersama azab yang turut disediakan di akhirat seperti dosa (melakukan) KEZALIMAN dan memutuskan hubungan keluarga (Sunan Abu Dawud).

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...