Sunday, February 8, 2015

ALLAH PUJI ORANG MUDA

ALLAH PUJI ORANG MUDA

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

Tazkirah maghrib di Masjid Pusat Islam Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan dalam program Kem Tahfiz untuk anak remaja kaki tangan HUSM (11 Dec 2014). Tajuk tazkirah adalah MOTIVASI ORANG MUDA.

Orang muda banyak untung. Badan masih kuat, peluang masih banyak terbuka, otak masih cerdas, minda masih segar bugar. Memori otak mereka masih banyak ruang kosong yang boleh diisi ribuan maklumat berguna. Mereka seumpama pucuk muda yang berterusan menerjah untuk naik menjulang ke atas. Keuntungan mereka akan menjulang naik jika segala aset muda mereka bijak dimanafaat untuk ilmu dan taqwa.

Memang bukan calang-calangnya orang muda yang kenal Allah kerana kisah mereka diabadikan dalam al-Quran. Keharuman nama mereka menjadi bacaan pujian yang kekal sampai kiamat. Allah puji mereka dengan LAFAZ فتى atau ORANG MUDA. Terdapat beberapa ayat yang memuji mereka:

1) Pujian Allah kepada anak muda bernama Ibrahim AS dalam kisah pemusnahan berhala kaumnya:

قَالُوا سَمِعْنَا فَتًى يَذْكُرُهُمْ يُقَالُ لَهُ إِبْرَاهِيمُ

Ertinya: (Setengah dari) mereka berkata: "Kami ada mendengar seorang “ANAK MUDA” bernama Ibrahim, mencacinya" (al-Anbiya'[21:60]).

2) Pujian kepada murid Nabi Musa AS yang mengiringi baginda dalam pengembaraan mencari Khidir:

وَإِذْ قَالَ مُوسَىٰ لِفَتَاهُ لَا أَبْرَحُ حَتَّىٰ أَبْلُغَ مَجْمَعَ الْبَحْرَيْنِ أَوْ أَمْضِيَ حُقُبًا

Ertinya: Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Musa berkata kepada “ANAK MUDANYA” (muridnya yang disebut sebagai Yusyak bin Nun): "Aku tidak akan berhenti berjalan sehingga aku sampai di tempat pertemuan dua laut itu atau aku berjalan terus bertahun-tahun" (al-Kahfi [28:60]).

3) Pujian Allah kepada 7 pemuda gua:

نَحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَأَهُمْ بِالْحَقِّ ۚ إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى

Ertinya: Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu “ANAK MUDA” yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk (al-Kahfi [18:13]).

Orang muda perlu cerdik dan jangan jadi pak turut tau “macai.” Kisah nabi Ibrahim yang kritis, tidak mengikut kaumnya yang membabi buta menganut berbagai agama sangat bagus dijadikan tauladan bagi orang muda. Minda muda baginda sangat hebat. Apa tidaknya, di kala kaumnya rencam menyembah bintang, bulan, matahari dan berhala (al-An'am [6:74-82]), hanya kerana ianya warisan nenek moyang, Nabi Ibrahim mampu berfikir dengan logik betapa semua sembahan kaumnya tidak layak dianggap TUHAN.

Sama juga cerdiknya 7 pemuda gua yang kritis mengkritik kaumnya yang menyembah berhala kaku:

هَٰؤُلَاءِ قَوْمُنَا اتَّخَذُوا مِنْ دُونِهِ آلِهَةً ۖ لَوْلَا يَأْتُونَ عَلَيْهِمْ بِسُلْطَانٍ بَيِّنٍ ۖ فَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنِ افْتَرَىٰ عَلَى اللَّهِ كَذِبًا

Ertinya: (Mereka berkata pula sesama sendiri): "Kaum kita itu, menyembah beberapa tuhan yang lain dari Allah; sepatutnya mereka mengemukakan keterangan yang nyata yang membuktikan ketuhanan makhluk-makhluk yang mereka sembah itu? (Tetapi mereka tidak dapat berbuat demikian); Maka tidak ada yang lebih zalim dari orang-orang yang berdusta terhadap Allah (al-Kahfi [18:15]).

Dengan mata sayang, saya kobarkan semangat peserta kem tahfiz anjuran Pusat Islam HUSM saya berpesan:

"Adik-adik sebagai anak muda perlu cerdik, bijak menilai. Jika kawan kita ajak merempit, merokok, berpakaian tak senonoh (bagi remaja perempuan), kita sebagai ANAK MUDA YANG CERDIK perlu contohi nabi Ibrahim dan 7 pemuda gua. Jangan dengan bodoh mengikut membabi buta. Kalau Adik-adik mahu jadi hebat di usia tua, rebutlah peluang yang SEKALI INI di usia muda."

Tokoh hebat seperti para nabi, orang soleh dan para ulama tidak lahir secara ajaib di usia tua, tetapi tumbuh dengan siraman ilmu dan baja iman di usia muda. Siapa tahu mungkin ada di antara adik-adik yang duduk mendengar tazkirah malam itu bakal menjadi penggegar dunia atau pencetus kemuliaan ummah di masa hadapan. Insya Allah dan Amin!

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...