TAZKIRAH PERLU SENANTIASA DIPERBAHARU
Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.
Nota Kelas Tafsir Selasa (al-Syu'ara" [26:5]) pada 16 Disember 2014. Antara isunya adalah kepentingan Tazkirah al-Quran senantiasa diperbaharui.
Nampak mudah dan remeh, tapi hakikatnya al-Quran adalah satu makanan jiwa yang cukup berkhasiat. Jiwa manusia yang tidak disiram peringatan al-Quran bakal menjadi kering, kontang, keras dan akhirnya membatu. Jika sudah membatu, banyak kerja perlu dilakukan bagi melembutkannya semula. Oleh itu, Allah sengaja menyebut perkataan “BAHARU” dalam firmanNya ini bagi menunjukkan kepentingan peringatan senantiasa diperbaharui bagi mengingatkan manusia yang mudah lupa:
وَمَا يَأْتِيهِمْ مِنْ ذِكْرٍ مِنَ الرَّحْمَنِ مُحْدَثٍ إِلَّا كَانُوا عَنْهُ مُعْرِضِينَ
Ertinya: Dan tidak datang kepada mereka PERINGATAN SERTA PENGAJARAN YANG BAHARU dari (Allah) Ar-Rahman, melainkan mereka tetap berpaling mengingkarinya (al-Syu’ara’[26:5]).
Juga firmanNya:
مَا يَأْتِيهِمْ مِنْ ذِكْرٍ مِنْ رَبِّهِمْ مُحْدَثٍ إِلَّا اسْتَمَعُوهُ وَهُمْ يَلْعَبُونَ
Ertinya: Tidak datang kepada mereka itu sebarang peringatan yang BAHARU diturunkan dari Tuhan mereka lepas satu: satu, melainkan mereka memasang telinga mendengarnya sambil mereka mempermain-mainkannya - (al-Anbiya’[21:2]).
Pernah sekali kelas Tafsir mingguan saya bertembung dengan cuti umum. Ketika para murid rancak berbincang wajarkah kelas kami dibatalkan bagi meraikan cuti tersebut tiba-tiba seorang murid wanita mencelah:
“USTAZ! SAYA RASA ELOK KITA JALANKAN KELAS SEPERTI BIASA. MASA SAYA SEMINGGU DIPENUHI DENGAN URUSAN DUNIAWI DAN KERJA. JIKA TIADA SIRAMAN TAZKIRAH AL-QURAN WALAU SEKALI DALAM SEMINGGU TERASA JIWA SAYA KERING DAN KOSONG USTAZ!”
Saya terpegun dengan “luahan dahaga tazkirah” murid saya ini, tapi ia cukup berkesan mengetuk jiwa saya bahawa siraman Tazkirah al-Quran memang perlu senantiasa diperbaharu agar hati kita tidak kering, kontang dan keras.
Inilah juga sebabnya lelaki Muslim wajib hadir mendengar khutbah Jumaat (yang merukunkan BACAAN AYAT AL-QURAN) secara mingguan. Tidak lain, ia menjadi peringatan al-Quran mingguan yang akan menyegarkan jiwa lelaki. Lelaki inilah kemudiannya menjadi suami, bapa kepada keluarganya. Jika arahan mendengar tazkirah al-Quran secara mingguan ini tidak dapat dipatuhi, maka keringlah jiwa mereka seiring dengan keringnya tarbiah untuk ahli keluarganya.
Oleh itu, tadabbur al-Quran bukan bermusim tetapi perlu dilakukan setiap hari sebagaimana kita bersungguh menjamu tubuh fizikal setiap hari dengan makanan berzat. Jika fizikal kekurangan makanan, tubuh kita akan lesu, tetapi jika rohani yang kekurangan makanan maka iman dan taqwanya pula akan kelesuan. Iman yang lesu mudah dijangkiti serangan nafsu dan senang ditakluki syaitan yang mendorong diri melanggar perintah Allah. Mohon dijauhkan Allah!
No comments:
Post a Comment