Monday, December 1, 2014

ADUH! KALAU DAWUD AS DIARAH BERAMAL SOLEH DAN BERLAKU ADIL, BAGAIMANA PULA KITA?

ADUH! KALAU DAWUD AS PUN DIARAH BERAMAL SOLEH DAN BERLAKU ADIL, BAGAIMANA PULA KITA?

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Jumaat (Saba’ [34:11]) pada 28 November 2014. Antara isunya adalah arahan Allah kepada nabi Dawud AS agar senantiasa beramal soleh.

Siapalah kita berbanding para Rasul? Jauh panggang dari api, jauh yang bukan sebatu dua tetapi sejauh antara matahari dan bumi. Mustahil sebenarnya nabi Dawud AS malas beribadat atau zalim dalam tindakan baginda, namun baginda tetap diarah agar rajin beramal soleh dan senantiasa adil. Mengapa? Tidak lain demi “UNTUK MENGETUK HATI” kita semua yang terlalu jauh panggang dari api berbanding para Rasul “AGAR SENANTIASA BERAMAL SOLEH DAN TIDAK BERLAKU ZALIM”:

أَنِ اعْمَلْ سَابِغَاتٍ وَقَدِّرْ فِي السَّرْدِ وَاعْمَلُوا صَالِحًا إِنِّي بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

Ertinya: (Serta Kami wahyukan kepada Dawud AS): "Buatlah baju-baju besi yang luas labuh, dan sempurnakanlah jalinannya sekadar yang dikehendaki; DAN KERJAKANLAH KAMU (WAHAI DAUD DAN UMATMU) AMAL-AMAL YANG SOLEH, sesungguhnya Aku Maha Melihat akan segala yang kamu kerjakan" (Saba’[34:11]).

Soleh itu mesti dilengkapi 2 syarat utama iaitu (1) IKHLAS NIATNYA HANYA KEPADA ALLAH dan, (2) BETUL CARANYA MENGIKUT PANDUAN YANG DIAJAR RASULULLAH SAW.

Mustahil juga bagi nabi Dawud AS berlaku zalim, namun baginda tetap diberikan peringatan tersebut:

يَا دَاوُودُ إِنَّا جَعَلْنَاكَ خَلِيفَةً فِي الْأَرْضِ فَاحْكُمْ بَيْنَ النَّاسِ بِالْحَقِّ وَلَا تَتَّبِعِ الْهَوَى فَيُضِلَّكَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ إِنَّ الَّذِينَ يَضِلُّونَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ لَهُمْ عَذَابٌ شَدِيدٌ بِمَا نَسُوا يَوْمَ الْحِسَابِ

Ertinya: Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu); DAN JANGANLAH ENGKAU MENURUT HAWA NAFSU, KERANA YANG DEMIKIAN ITU AKAN MENYESATKANMU DARI JALAN ALLAH. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu (Sad[38:26]).

Ancaman keras itu dikukuhkan lagi dalam firman Allah yang lain:

وَلَا تَرْكَنُوا إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ وَمَا لَكُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ مِنْ أَوْلِيَاءَ ثُمَّ لَا تُنْصَرُونَ

Ertinya: Dan JANGANLAH KAMU CENDERUNG KEPADA ORANG-ORANG YANG BERLAKU ZALIM MAKA (KALAU KAMU BERLAKU DEMIKIAN), API NERAKA AKAN MEMBAKAR KAMU, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan (Hud[11:113]).

Jika condong cenderung untuk bersekongkol dengan si zalim sahaja sudah memungkinkan sambaran api neraka mengenai kita, bayangkan pula akibatnya bagi si zalim?

Marilah kita meningkatkan amal soleh dan menjauhi sebarang sifat zalim dengan mencontohi para Rasul utusan Allah. Arahan ini tidak lain, bakal memberikan manafaat rohani untuk kita sendiri di dunia dan akhirat. Semoga usaha kita dimuliakan dengan penempatan bersama para Rasulullah AS di syurga.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...