Friday, November 28, 2014

Nabi Lut AS berasa sempit dada dengan kehadiran "lelaki sempurna" itu

NABI LUT AS BERASA SEMPIT DADA DENGAN KEHADIRAN “LELAKI SEMPURNA” ITU

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Dhuha Selasa (al-‘Ankabut [26:]) pada 25 November 2014. Antara isunya adalah keresahan nabi Lut AS berikutan kedatangan tetamu “LELAKI SEMPURNA” ke rumahnya.

Sempit dada Lut AS apabila sekumpulan tetamu lelaki datang menjengahnya di rumah. Susuk tubuh serta rupa paras mereka yang sempurna pasti akan menggoda nafsu kaumnya yang songsang. Pelik sungguh, sepatutnya ketibaan tetamu menggembirakan Lut, namun lain pula jadinya: 

وَلَمَّا أَنْ جَاءَتْ رُسُلُنَا لُوطًا سِيءَ بِهِمْ وَضَاقَ بِهِمْ ذَرْعًا وَقَالُوا لَا تَخَفْ وَلَا تَحْزَنْ إِنَّا مُنَجُّوكَ وَأَهْلَكَ إِلَّا امْرَأَتَكَ كَانَتْ مِنَ الْغَابِرِينَ

Ertinya: Dan ketika datang utusan-utusan Kami kepada Nabi Lut, ia merasa dukacita dengan kedatangan mereka, dan merasa tidak terdaya untuk mengawal mereka (dari gangguan kaumnya); dan (setelah melihatkan halnya yang demikian), utusan-utusan itu berkata: "Janganlah engkau takut dan janganlah berdukacita, sesungguhnya kami akan menyelamatkanmu dan keluargamu (serta pengikut-pengikutmu) - kecuali isterimu, ia adalah dari orang-orang yang dibinasakan (al-‘Ankabut [29:33]).

Sebenarnya tetamu itu adalah para malaikat yang bakal memusnahkan penduduk Sadum yang mengamalkan seks songsang. Sebaik mendapat berita ketibaan tetamu sasa kacak di rumah Lut, kaumnya “TERLECUR AIR LIURNYA” dan segera “BERGEGAS MELURU” ke rumah Lut.

وَلَمَّا جَاءَتْ رُسُلُنَا لُوطًا سِيءَ بِهِمْ وَضَاقَ بِهِمْ ذَرْعًا وَقَالَ هَذَا يَوْمٌ عَصِيبٌ (77) وَجَاءَهُ قَوْمُهُ يُهْرَعُونَ إِلَيْهِ وَمِنْ قَبْلُ كَانُوا يَعْمَلُونَ السَّيِّئَاتِ قَالَ يَا قَوْمِ هَؤُلَاءِ بَنَاتِي هُنَّ أَطْهَرُ لَكُمْ فَاتَّقُوا اللَّهَ وَلَا تُخْزُونِ فِي ضَيْفِي أَلَيْسَ مِنْكُمْ رَجُلٌ رَشِيدٌ (78)

Ertinya: Dan apabila datang utusan-utusan Kami kepada Nabi Lut ia merasa dukacita dengan kedatangan mereka, dan merasa tidak terdaya untuk mengawal mereka (dari gangguan kaumnya), sambil berkata: "Ini adalah hari yang amat mencemaskan". Dan kaumnya pun datang “BERGEGAS MELURU” kepadanya (dengan tujuan hendak mengganggu tetamunya), sedang mereka sebelum itu sudah biasa melakukan kejahatan. Nabi Lut berkata: "Wahai kaumku! Di sini ada anak-anak perempuanku mereka lebih suci bagi kamu (maka berkahwinlah dengan mereka). Oleh itu takutlah kamu kepada Allah, dan janganlah kamu memberi malu kepadaku mengenai tetamu-tetamuku. Tidakkah ada di antara kamu seorang lelaki yang bijak berakal (yang dapat memberi nasihat)?" (Hud[11:77-78]).

Allah sengaja menggunakan perkataan “BERGEGAS MELURU” bagi menunjukkan betapa GILA dan MENJIJIKKAN NAFSU kaum Lut. Mereka bergegas agar daging baru yang segar di rumah Lut itu dapat mereka kecap sebelum yang lain. Mereka seakan sudah bosan menjamu nafsu sesama sendiri dalam hubungan seks luar tabi’i sesama jantina. Tetamu Lut yang sasa dan kacak ini perlu segera diterkam, biar aku dahulu yang MENJAMAH atau “MELIWATNYA” sebelum orang lain.

Serbuan mereka memang menyempitkan dada nabi Lut AS. Kehormatan tetamunya wajib dipertahankan, namun apakan daya Lut gelojak gila nafsu songsang kaumnya sangat ganas. Mereka dengan selamba tanpa tahu hormat kepada seorang utusan Allah meminta JALAN TERKAMAN dibuka segera oleh baginda AS:

قَالُوا لَقَدْ عَلِمْتَ مَا لَنَا فِي بَنَاتِكَ مِنْ حَقٍّ وَإِنَّكَ لَتَعْلَمُ مَا نُرِيدُ

Ertinya: Mereka menjawab: "Sesungguhnya engkau telahpun mengetahui bahawa kami tidak ada sebarang hajat kepada anak-anak perempuanmu, dan SEBENARNYA ENGKAU SEDIA MENGETAHUI AKAN APA YANG KAMI KEHENDAKI (MELIWAT LELAKI)." (Hud[11:79]).

Lut As terpaksa menutup pintu demi kehormatan para tetamu malaikatnya. Kaumnya naik gila segila nafsu mereka, lalu menerkam ganas cuba memecahkan pintu dan dinding rumah nabi Lut AS. Di tengah kegentingan itu, Allah lalu menutup mata mereka dengan libasan sayap Jibril AS yang langsung membutakan mata mereka. Kisah ini diperincikan Imam Ibn Kathir ketika menghuraikan ayat ini:

وَلَقَدْ أَنْذَرَهُمْ بَطْشَتَنَا فَتَمَارَوْا بِالنُّذُرِ (36) وَلَقَدْ رَاوَدُوهُ عَنْ ضَيْفِهِ فَطَمَسْنَا أَعْيُنَهُمْ فَذُوقُوا عَذَابِي وَنُذُرِ (37) وَلَقَدْ صَبَّحَهُمْ بُكْرَةً عَذَابٌ مُسْتَقِرٌّ (38)

Ertinya: Dan demi sesungguhnya! Nabi Lut telah memberi amaran kepada mereka mengenai azab seksa Kami; dalam pada itu, mereka tetap mendustakan amaran-amaran itu.  Dan demi sesungguhnya! MEREKA TELAH MEMUJUK NABI LUT MENGENAI TETAMUNYA, LALU KAMI HAPUSKAN BIJI MATA MEREKA, serta (dikatakan kepada mereka): Rasalah azabKu dan kesan amaran-amaranKu! Dan demi sesungguhnya! Mereka telah ditimpa azab yang kekal pada pagi-pagi hari (esoknya) (al-Qamar[54:36]).

Sudahnya manusia keji bernafsu songsang di SADUM - سدوم (negeri nabi Lut) dimusnahkan langsung dari muka bumi oleh Allah. Nafsu mereka sungguh buruk sehingga Allah tidak meninggalkan zuriat mereka hidup di bumi. Bahkan perkataan keji “LIWAT” atau dalam bahasa Inggerisnya “SODOMY” disempenakan nama tempat asal negeri nabi Lut AS – “SADUM.”

Marilah kita berdoa supaya umat Islam diselamatkan dari bencana nafsu songsang ini agar kemurkaan Allah seperti yang berlaku kepada kaum Lut tidak berulang di tempat kita.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...