Saturday, September 10, 2016

SYIRIK ITU BAK BUIH DAN TAWHID ITU BAK AIR

SYIRIK ITU BAK BUIH DAN TAWHID ITU BAK AIR

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Rabu (al-Ra’d [13:17]) pada 18 Ogos 2016. Antara isunya adalah perumpamaan yang tepat dalam bandingan Tawhid dan Syirik.

Buih nampak hebat, gelembungnya naik menjulang sehingga mempesonakan mata yang memandang. Pun begitu ia hanya hiasan mata yang palsu. Luarnya nampak gah tetapi isinya kosong. Kecantikan buih juga tidak kekal, apabila arus berlalu hilanglah ia. Subhanallah! Itulah perumpamaan yang Allah gunakan bagi menggambarkan palsunya Syirik dan aslinya manafaat Tawhid buat manusia. Ayuh kita hayati firman Allah ini:

أَنْزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَسَالَتْ أَوْدِيَةٌ بِقَدَرِهَا فَاحْتَمَلَ السَّيْلُ زَبَدًا رَابِيًا وَمِمَّا يُوقِدُونَ عَلَيْهِ فِي النَّارِ ابْتِغَاءَ حِلْيَةٍ أَوْ مَتَاعٍ زَبَدٌ مِثْلُهُ كَذَلِكَ يَضْرِبُ اللَّهُ الْحَقَّ وَالْبَاطِلَ فَأَمَّا الزَّبَدُ فَيَذْهَبُ جُفَاءً وَأَمَّا مَا يَنْفَعُ النَّاسَ فَيَمْكُثُ فِي الْأَرْضِ كَذَلِكَ يَضْرِبُ اللَّهُ الْأَمْثَالَ

Ertinya: Dia menurunkan air (hujan) dari langit, lalu (air itu) membanjiri tanah lembah menurut kadar yang ditetapkan Tuhan untuk faedah makhlukNya, kemudian banjir itu membawa buih yang terapung-apung. Dan dari benda (logam) yang dibakar dalam api untuk dijadikan barang perhiasan atau perkakas yang diperlukan, juga timbul buih seperti itu. Demikianlah Allah memberi misal perbandingan tentang perkara yang benar dan yang salah. Adapun buih itu maka akan hilang lenyaplah ia hanyut terbuang, manakala benda yang berfaedah kepada manusia maka ia tetap tinggal di bumi. Demikianlah Allah menerangkan misal perbandingan (al-Ra’d [13:17]).

Buih dari aliran deras air hujan atau buih halus yang keluar dari bakaran logam adalah perumpamaan untuk syirik dan kufur, manakala air yang berguna untuk menyuburkan tanah serta logam yang bermanafaat untuk kegunaan manusia pula diumpamakan seperti Tawhid atau pengabdian diri pada Allah yang Satu.

Ayat ini sangat sesuai menegur sesetengah orang Islam moden yang masih berserabut mindanya dengan najis syirik seperti kepercayaan kepada bomoh, tangkal, azimat, hantu dan sebagainya. Jika kita jumpa teman atau saudara mara yang masih kelabu antara syirik dan Tawhid, maka ajaklah dia untuk memerhati hakikat buih. Insya Allah sakit syiriknya akan terubat.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...