Tuesday, September 6, 2016

KONGSI SEPARUH GAJI BULANAN DENGAN ORANG GAJI

KONGSI SEPARUH GAJI BULANAN DENGAN ORANG GAJI

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Dhuha Selasa (al-Rum [30:28]) pada 13 Januari 2013 di Masjid Ibnu Sina, Taman Tasik Titiwangsa, KL. Antara isunya logik yang Allah gunakan untuk menafikan persekutuan Allah sebagai Tuhan alam dengan makhlukNya.

Pada suatu hari seorang majikan yang gajinya mencecah RM 30 ribu pulang ke rumah dengan wajah penuh ceria. Sesampainya di rumah, si majikan terus ke bahagian dapur rumah dengan sampul surat berisi wang ringgit RM 15 ribu iaitu separuh dari duit gaji yang baru diperolehnya pada hari itu. Dengan tenang si majikan menghulurkan sampul tersebut kepada orang gajinya seraya berkata:

“Siti! Mulai hari ini saya akan bahagikan separuh duit gaji saya kepada kamu. Mulai hari ini juga kamu boleh pakai apa sahaja kemudahan di rumah ini secara sama rata dengan saya. Kamu juga boleh guna semua kereta saya secara sama rata. Usah takut, usah risau kerana mulai hari ini “KITA BERSEKUTU dalam pemilikan harta saya.”

Setelah mendengar cakap si majikan, orang gajinya “WAJIB SANGSI” sama ada majikannya ada agenda jahat tersembunyi atau sedang mengalami gangguan mental yang kronik. Lalu segera si orang gaji melaporkan “KEPELIKAN” itu kepada isteri majikannya agar mengawasi atau membawa suaminya segera ke Hospital untuk rawatan.

Cerita di atas sangat tidak logik dan nampak bodoh. Begitulah juga hakikat “BODOHNYA” manusia yang cuba menyekutukan Allah dengan sebarang sembahan lain seperti tindakan Musyrikin Quraysh pada zaman Rasulullah dan semua Musyrikin sepanjang zaman. Tuntas sekali Allah menempelak mereka:

ضَرَبَ لَكُمْ مَثَلًا مِنْ أَنْفُسِكُمْ هَلْ لَكُمْ مِنْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ مِنْ شُرَكَاءَ فِي مَا رَزَقْنَاكُمْ فَأَنْتُمْ فِيهِ سَوَاءٌ تَخَافُونَهُمْ كَخِيفَتِكُمْ أَنْفُسَكُمْ كَذَلِكَ نُفَصِّلُ الْآَيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْقِلُونَ

Ertinya: Ia mengemukakan kepada kamu satu misal perbandingan dari keadaan diri kamu sendiri, iaitu: RELAKAH KAMU MENERIMA SEBAHAGIAN DARI HAMBA ABDI YANG KAMU MILIKI ITU MENJADI RAKAN KONGSI KAMU PADA HARTA BENDA YANG KAMI TELAH KURNIAKAN KEPADA KAMU, SUPAYA DENGAN PENERIMAAN KAMU ITU, MEREKA DENGAN KAMU MENJADI SAMA-SAMA BERHAK PADANYA, SEHINGGA KAMU PUN TIDAK BERANI (MENGURUSKAN HARTA BENDA ITU DENGAN TIADA PERSETUJUAN) MEREKA, SEBAGAIMANA KAMU TIDAK BERANI (BERBUAT DEMIKIAN DENGAN ORANG YANG BERKONGSI DENGAN KAMU - YANG SETARAF DENGAN) DIRI KAMU? Demikianlah Kami menjelaskan keterangan-keterangan satu persatu bagi orang yang menggunakan akal untuk memahaminya (al-Rum[30:28]).

Dalam ayat lain, Allah mengulang logik yang sama agar si bodoh penyembah berhala faham dan benar-benar hadam isu Tawhid:

وَاللَّهُ فَضَّلَ بَعْضَكُمْ عَلَى بَعْضٍ فِي الرِّزْقِ فَمَا الَّذِينَ فُضِّلُوا بِرَادِّي رِزْقِهِمْ عَلَى مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَهُمْ فِيهِ سَوَاءٌ أَفَبِنِعْمَةِ اللَّهِ يَجْحَدُونَ

Ertinya: Dan Allah telah melebihkan sebahagian dari kamu atas sebahagian yang lain pada rezeki yang dikurniakanNya; DALAM PADA ITU, ORANG YANG DIBERI KELEBIHAN ITU TIDAK MAHU MEMBERIKAN SEBAHAGIAN DARI KELEBIHAN HARTANYA KEPADA HAMBA-HAMBA MEREKA, SUPAYA ORANG ITU DAPAT SAMA MEMPUNYAI HARTA. Maka mengapa mereka tergamak mengingkari nikmat Allah itu dengan perbuatan syirik? (al-Nahl [16:71]).

Tempelak Allah dalam ayat di atas sangat logik bagi menafikan persekutuanNya dengan mana-mana makhluk. Jika sesama makhluk pun sudah ada rasa “KEAKUAN” dan enggan berkongsi harta atau kuasa dengan orang lain lebih-lebih lagi dengan orang bawahan, bayangkan pula Keagungan Allah sebagai satu-satunya Tuhan alam semesta.

Kebebalan Musyrikin sezaman Rasulullah SAW tampak seakan mustahil berlaku kepada kita yang sudah bergelar Muslim pada hari ini. Tapi ia sebenarnya masih wujud tanpa disedari oleh sesetengah Muslim yang kurang cermat dek kejahilan mereka. Bagaimana? Lihat sahaja kepada orang yang terlalu percayakan “TULAH DAULAT” sesetengah manusia berpangkat, atau orang yang terlalu beriman kepada “KUASA AJAIB” sesetengah tangkal azimat.

Juga sesetengah orang yang “BERTUHANKAN KERJA DAN MAJIKAN” sehingga sebarang desakan kerja atau perintah si majikan yang bercanggah langsung dengan kehendak Allah pantang dilanggar. Jika dilanggar maka hilanglah pemberi rezeki. Teguhkan iman dan Tawhid anda. Janganlah musibah kebodohan musyrikin Mekah turut melanda anda.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...