Saturday, March 21, 2020

"SABAR JARI" KETIKA KRISIS COVID 19

"SABAR JARI" KETIKA KRISIS COVID 19

Memang tabiat manusia mahu jadi yang pertama dalam segalanya walaupun tak semestinya yang pertama itu baik dan terpuji. “Fitrah ini” ada baik dan buruknya. Ketika ketegangan COVID 19 ini, semangat ini semakin menjadi-jadi sehingga media social (facebook dan whats app) dibanjiri berbagai mesej yang bercampur baur.

Ayuh kita lihat apa panduan al-Quran tentang “semangat berkongsi” yang kadang-kala menyusahkan pihak berkuasa dan merisaukan orang awam. Apa tidaknya, sekali kongsi kemudian dinafikan. Tambah parah apabila yang tidak betul terus dikongsi-panjang oleh orang lain.

Dahulu Rasulullah SAW pernah mengasingkan diri daripada semua isteri baginda hampir sebulan. Para ulama’ berselisih pandangan tentang  punca baginda marahkan isterinya. Ada yang mengatakan kerana Hafsah mendedahkan rahsia baginda pada Aishah dan ada yang mengatakan kerana tindakan para isteri baginda meminta nafkah lebih (Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari).

Berikutan itu, tersebar khabar angin mengatakan Rasulullah SAW SUDAH MENCERAIKAN SEMUA ISTERINYA. ‘Umar bn al-Khattab RA segera mencari kebenaran berita itu dan bertemu baginda SAW. Dengan tegas baginda menafikan khabar angin itu (Sahih al-Bukhari dan Muslim). Berikutan itu, turunlah ayat ini:

وَإِذَا جَاءَهُمْ أَمْرٌ مِنَ الْأَمْنِ أَوِ الْخَوْفِ أَذَاعُوا بِهِ وَلَوْ رَدُّوهُ إِلَى الرَّسُولِ وَإِلَى أُولِي الْأَمْرِ مِنْهُمْ لَعَلِمَهُ الَّذِينَ يَسْتَنْبِطُونَهُ مِنْهُمْ وَلَوْلَا فَضْلُ اللَّهِ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَتُهُ لَاتَّبَعْتُمُ الشَّيْطَانَ إِلَّا قَلِيلًا

Ertinya: Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau kecemasan, mereka terus menghebahkannya; padahal kalau mereka kembalikan sahaja hal itu kepada Rasulullah dan kepada - "Ulil-Amri" (orang yang berkuasa) di antara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang yang layak mengambil keputusan mengenainya di antara mereka; dan jika tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihan-Nya kepada kamu, tentulah kamu (terbabas) menurut Syaitan kecuali sedikit sahaja (iaitu orang yang teguh imannya dan luas ilmunya di antara kamu) (al-Nisa’ 4:83).

Selain makna hadith di atas, para ulama’ Tafsir mengatakan ayat ini menegur sikap sesetengah umat Islam yang suka menyebarkan berita sama ada yang buruk atau yang baik tanpa usul periksa. Alangkah lebih baik jika mereka merujuk kebenaran itu kepada pihak berautoriti terlebih dahulu (Tafsir al-Jalalayn).

Dalam kes COVID 19 dan semua krisis lain di Malaysia, kita sepatutnya lebih sabar dan berhati-hati. Bukan semua maklumat yang “berdecit” masuk telefon kita perlu dikongsi-panjang kepada yang lain. Ingat amaran nabi SAW ini:

كَفَى بِالْمَرْءِ كَذِبًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ

Ertinya: Cukuplah seseorang itu digelar pendusta jika dia berbicara dengan apa sahaja yang didengarnya (Sahih Muslim).

Sabar dalam krisis COVID 19 sangat diperlukan. Ia merangkumi sabar bertahan TIDAK KELUAR RUMAH, SABAR JAGA KEBERSIHAN dan sabar jangan terus sebar semua mesej yang masuk ke dalam telefon pintar.

Abdullah Bukhari bin Abdul rahim
20 Mac 2020.

No comments:

Post a Comment