Friday, May 8, 2020

TADABBUR PILIHAN JUZUK 15 –WUJUDKAN RANTAIAN KELUARGA SOLEH

TADABBUR PILIHAN JUZUK 15 –WUJUDKAN RANTAIAN KELUARGA SOLEH

Ayat pilihan yang elok kita faham, belajar dan hadam daripada juzuk 15 sempena hari ke 15 Ramadhan adalah:

وَأَمَّا الْجِدَارُ فَكَانَ لِغُلَامَيْنِ يَتِيمَيْنِ فِي الْمَدِينَةِ وَكَانَ تَحْتَهُ كَنْزٌ لَهُمَا وَكَانَ أَبُوهُمَا صَالِحًا فَأَرَادَ رَبُّكَ أَنْ يَبْلُغَا أَشُدَّهُمَا وَيَسْتَخْرِجَا كَنْزَهُمَا رَحْمَةً مِنْ رَبِّكَ وَمَا فَعَلْتُهُ عَنْ أَمْرِي ذَلِكَ تَأْوِيلُ مَا لَمْ تَسْطِعْ عَلَيْهِ صَبْرًا (82)

Ertinya: (Khidhir AS menjelaskan tindakannya seraya berkata) Adapun tembok itu pula, dipunyai dua orang anak yatim di bandar itu; dan di bawahnya ada "harta terpendam" kepunyaan mereka; DAN BAPA MEREKA DAHULU (SEMASA HIDUPNYA) PULA ADALAH ORANG YANG SOLEH. Maka Tuhanmu menghendaki supaya mereka cukup umur dan dapat mengeluarkan harta mereka yang terpendam itu, sebagai satu rahmat dari Tuhanmu (kepada mereka). Dan (ingatlah) aku tidak melakukannya menurut fikiranku sendiri. Demikianlah penjelasan tentang maksud dan tujuan perkara-perkara yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya" (al-Kahfi 18:82).

Ayat di atas menceritakan hujung kisah pengembaraan ilmu Nabi Musa AS dengan Khidhir. Sepanjang perjalanan, Musa AS menegur tindakan Khidhir yang dirasakannya menyanggah syariatnya seperti menebuk perahu orang yang menumpangkan mereka, membunuh anak kecil yang tidak bersalah dan menegakkan dinding rumah yang hampir tumbang sedangkan penduduk negeri tersebut enggan menyantuni mereka berdua sebagai tetamu.

Setelah Musa AS gagal memenuhi syarat berguru yang digariskan Khidihr, mereka akhirnya berpisah. Ini adab berguru yang sangat bagus. Guru berhak meletakkan terma dan syarat pengajian mengikut keselesaannya. Sebelum berpisah, Khidhir menerangkan hikmah semua tindakannya. Ini juga contoh guru yang baik kerana tidak membiarkan si murid tergantung kefahamannya tentang ilmu yang diajar. Ajar biar terang dan jelas, barulah manafaat ilmu yang diajar mampu mencapai nilai maksima.

Ayat di atas menyatakan rahsia Allah mengutus Khdhir bersama Musa ke negeri itu bagi menyelamatkan harta dua anak yatim tersebut. Apa rahsianya? Dapat kita lihat dengan jelas pada frasa ayat – “DAN BAPA MEREKA DAHULU (SEMASA HIDUPNYA) PULA ADALAH ORANG YANG SOLEH.”

Masya-Allah! Tak rugi rupanya menjadi orang soleh kerana Allah sendiri yang akan urus tadbir kehidupan mereka:

إِنَّ وَلِيِّيَ اللَّهُ الَّذِي نَزَّلَ الْكِتَابَ وَهُوَ يَتَوَلَّى الصَّالِحِينَ

Ertinya: Sesungguhnya pelindungku ialah Allah yang telah menurunkan kitab (Al-Quran), dan Dia lah jua yang menolong dan memelihara orang yang berbuat kebaikan" (al-A’raf 7:196).

Berdasarkan ayat al-A’raf ini dan kisah mereka berdua, penjagaan serta urus tadbir Allah kepada orang soleh berlaku semasa hidup dan selepas mereka meninggal dunia. Bukan setakat itu, hubungan ayah dan anak soleh tidak hanya terhenti di dunia bahkan berlanjutan sampai akhirat sebagaimana hadith ini:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ
إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

Ertinya: Apabila seorang manusia meninggal dunia, terputuslah amalannya melainkan tiga perkara; sedekah yang sentiasa berjalan pahalanya, ilmu yang diambil manafaat (oleh sesiapa sahaja) dan doa anak soleh yang sentiasa mendoakannya (Sahih Muslim, hadith no 3084).

Dalam hadith lain, Nabi SAW turut bersabda:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ لَيَرْفَعُ الدَّرَجَةَ لِلْعَبْدِ الصَّالِحِ فِي الْجَنَّةِ فَيَقُولُ يَا رَبِّ أَنَّى لِي هَذِهِ فَيَقُولُ بِاسْتِغْفَارِ وَلَدِكَ لَكَ

Ertinya: Sesungguhnya Allah Azza Wa Jalla akan mengangkat darjat seorang hamba soleh dalam syurga kelak. Lalu orang soleh itu bertanya; “Wahai Tuhanku, bagaimana aku mendapat peningkatan darjat ini?” Allah menjawab: “Ia berikutan doa pengampunan dosa anakmu untukmu” (Musnad Ahmad, hadith no 10,202).

Sebenarnya hubungan anak-ayah adalah suatu hubungan yang bertali arus lagi kekal sifatnya. Kita perlu jadi anak soleh kerana kita pastinya anak kepada ibu bapa kita yang memerlukan doa kita. Pada masa sama kita juga perlu menjadi seorang ayah atau ibu soleh yang mampu mendidik anak cucu menjadi soleh. Jika rantaian sihat ayah-anak yang soleh ini dijaga, Insya-Allah bumi akan sarat dengan orang soleh dan limpahan kebaikan akan kekal berpanjangan walaupun slepas lama kita dijemput Allah ke alam barzakh.

Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

8 Mei 2020, Jumaat (15 Ramadhan 1441 H).

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...