Thursday, May 7, 2020

TADABBUR PILIHAN JUZUK 14 – KEKAL TULEN NAMA DAN ISINYA

TADABBUR PILIHAN JUZUK 14 –  KEKAL TULEN NAMA DAN ISINYA

Malam tadi kami Qiyam juzuk 14 seiring dengan malam ke 14 Ramadhan. Antara ayat pilihan yang perlu kita faham dan hayati adalah:

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ

Ertinya: “SESUNGGUHNYA KAMILAH” yang menurunkan Al-Quran, dan “SESUNGGUHNYA KAMILAH JUA YANG MENJAMIN UNTUK MENJAGANYA” (dari sebarang perubahan, penambahan atau pengurangan isinya) (al-Hijr 15:9).

Dalam ayat ini Allah menjamin Dia sendiri yang menjaga al-Quran dari sebarang penyelewengan manusia. Kitab lain seperti Tawrat, Zabur dan Injil hanya kekal hanya nama dan tidak pada isinya. Al-Quran pula kekal pada nama dan isinya.

Banyak cara Allah mengekalkan nama dan isi al-Quran, antaranya:

1) Pengekalan teks Arab bersama apa sahaja terjemahan yang dihasilkan. Syarat ini digariskan oleh para ulama bagi memastikan teks asal al-Quran tidak hilang. Berbanding kita lain seperti Injil, terjemahan berlaku secara berterusan tanpa teks asal. Akibatnya maksud asal Injil semakin jauh terpesong mengikut selera dan kecenderungan penterjemah.

2) Wujudnya ramai ulama yang mengkaji al-Quran sepanjang zaman dalam berbagai bidang ilmu. Al-Quran seumpama lautan luas yang menjanjikan berbagai hasil kajian yang tidak mengenyangkan para ulama’. Makin dikaji “mabuk ilmu” para ulama semakin melonjak.

3) Wujudnya umat Islam yang menghafaz al-Quran secara berterusan. Tiada kitab agama yang dihafaz secara serius seperti al-Quran.

Ketiga-tiga perkara di atas tidak berlaku secara kebetulan, sebaliknya digerakkan Allah yang menjamin sendiri penjagaan al-Quran. Berbeza dengan kitab Tawrat atau Injil, penjagaannya diamanahkan kepada para ulama Yahudi dan Nasrani sebagaimana firman Allah:

إِنَّا أَنْزَلْنَا التَّوْرَاةَ فِيهَا هُدًى وَنُورٌ يَحْكُمُ بِهَا النَّبِيُّونَ الَّذِينَ أَسْلَمُوا لِلَّذِينَ هَادُوا وَالرَّبَّانِيُّونَ وَالْأَحْبَارُ بِمَا اسْتُحْفِظُوا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ…..

Ertinya: Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab Taurat, yang mengandungi petunjuk dan cahaya yang menerangi; dengan Kitab itu para nabi yang menyerah diri (kepada Allah) menetapkan hukum bagi orang Yahudi, dan (dengannya juga) ulama mereka dan para penditanya (menjalankan hukum Allah), “SEBAB MEREKA DIAMANAHKAN MEMELIHARA DAN MENJALANKAN HUKUM DARI KITAB ALLAH (TAURAT) ITU, DAN MEREKA PULA MENJADI PENJAGA DAN PENGAWASNYA (DARI SEBARANG PERUBAHAN) …… (al-Ma’idah 5:44).

Terbukti penjagaan makhluk seperti mereka gagal menjamin kesucian kedua kitab tersebut. Banyak sekali para ulama mereka yang tidak amanah merosakkan isi kitab Allah itu. Ketika mengulas ayat ke 9 surah al-Hijr ini, Imam al-Qurtubi membawa sebuah kisah hebat yang berlaku pada zaman khalifah al-Ma’mun dari kerajaan Bani ‘Abbasiyah. Khalifah al-Ma’mun selalu mengadakan majlis perbincangan berbagai isu dengan rakyatnya. Pada suatu hari seorang lelaki Yahudi yang penuh wibawa menyertai majlis tersebut. Cakap lelaki Yahudi ini juga penuh bijaksana dan mempesonakan semua yang hadir.

Setelah selesai majlis, Khalifah al-Ma’mun bertanya agama anutannya. Lelaki itu menyatakan dia beragama Yahudi. Al-Ma’mun mencadangkan agar dia memeluk Islam dan menjanjikan jawatan yang sesuai dengan kewibawaannya. Lelaki Yahudi itu menolak.

Selepas setahun, lelaki Yahudi itu memeluk Islam dan bertemu kembali dengan Khalifah al-Ma’mun. Bicaranya tentang ilmu fiqh sungguh mempesona dan penuh wibawa. Khalifah agak terkejut dan bertanya apa rahsia pengislamannya. Lelaki Yahudi itu lantas menceritakan:

“Setelah aku keluar dari masjlismu (wahai Khalifah) aku berhasrat menguji agama ini (Yahudi, Nasarani dan Islam). Aku pula memiliki tulisan tangan yang sungguh cantik sebagaimana yang kamu ketahui dan saksikan. Aku menyalin kitab Tawrat dalam 3 salinan berasingan dan pada ketiga salinan itu aku tambah dan kurangkan isi asalnya. Selepas itu aku jual ketiga salinan kitab Tawrat itu kepada rumah ibadat Yahudi. Mereka membeli ketiga salinan tersebut (tanpa soal).”

“Selepas itu aku lakukan perkara yang sama kepada kitab Injil. Ia juga diterima oleh pihak gereja tanpa soal. Kemudian aku tulis pula 3 salinan surah al-Quran bersama penambahan serta pengurangan dan cuba menjualnya kepada seorang tukang kertas (pencetak) untuk dicetak. Setelah melihat salinan al-Quran itu mengandungi penambahan serta pengurangan, dia lantas mencampaknya jauh dan enggan membelinya.” 

“Selepas peristiwa itu, aku sedar bahawa kitab ini (al-Quran) memang terjaga (dari sebarang penrubahan atau pengurangan). Itulah peristiwa yang membawa kepada pengislamanku.” (Tafsir al-Qurtubi ketika mentafsirkan ayat 9 surah al-Hijr).

Subhanallah! Hebat sekali cara Allah menjaga kitabNya ini. Sungguh beruntung orang Islam yang berbangga, mendalami serta mengamalkan kitab yang sungguh istimewa ini. Jika kita masih jauh dari kitab ini, berubahlah segera dan jangan hanya tahu berbangga dengan sesuatu yang jarang kita sentuh. Semoga Allah merahmati kita semua dengan iman yang sebenar kepada al-Quran.

Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

7 Mei 2020, Khamis (14 Ramadhan 1441 H).

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...