Friday, May 4, 2018

DOA BAGI YANG MASIH BUNTU MEMILIH WARNA

DOA BAGI YANG MASIH BUNTU MEMILIH WARNA

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.
(4 Mei 2018)

Manusia dilahirkan dengan pandangan berbeza. Ada yang sudah jelas sudut pandangnya bak gunung yang teguh berdiri. Walau ribut melanda, pegangan dan “warna” pilihannya sudah terpahat kemas. Ada pula yang buntu dan kelabu. Hari ini “warna” pilihannya lain, esok warnanya bertukar rupa kerana ribut yang melanda atau bumi yang digoncang. Bagi yang sudah jelas warnanya, usah hairan jika teman kita masih kelabu kerana ilmu, tahap pemikiran dan daya fikir berbeza antara kita.

Bagi yang masih buntu dan kelabu, apa yang perlu dibuat? Di sini saya mahu berkongsi sebuah doa yang selalu dibaca Rasulullah SAW dalam solat malam baginda. Bacalah doa ini untuk mencari “warna yang tepat” untuk anda, kerana tiada pembimbing terbaik selain Allah dan Rasulullah:

وَرَبُّكَ يَخْلُقُ مَا يَشَاءُ وَيَخْتَارُ مَا كَانَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ سُبْحَانَ اللَّهِ وَتَعَالَى عَمَّا يُشْرِكُونَ

Ertinya: Dan Tuhanmu menciptakan apa yang dirancangkan berlakunya, dan Dia lah juga yang memilih. Tidaklah layak dan tidaklah berhak bagi sesiapapun memilih (selain daripada pilihan Allah). Maha Suci Allah dan Maha Tinggilah keadaan-Nya dari apa yang mereka sekutukan dengan-Nya (al-Qasas 28:68).

Berikut adalah doa tersebut:

أَبُو سَلَمَةَ بْنُ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ عَوْفٍ قَالَ سَأَلْتُ عَائِشَةَ أُمَّ الْمُؤْمِنِينَ بِأَيِّ شَيْءٍ كَانَ نَبِيُّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَفْتَتِحُ صَلَاتَهُ إِذَا قَامَ مِنْ اللَّيْلِ قَالَتْ كَانَ إِذَا قَامَ مِنْ اللَّيْلِ افْتَتَحَ صَلَاتَهُ:

Ertinya: Abu Salamah bin Abdul Rahman bin ‘Awf berkata: “Aku pernah tanya kepada Ummul Mu’minin Aishah RA apakah doa pembuka Rasulullah SAW dalam solat malam baginda?”  Aishah berkata: “Apabila bangun solat malam, baginda membuka solatnya dengan doa,

 اللَّهُمَّ رَبَّ جَبْرَائِيلَ وَمِيكَائِيلَ وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنِي لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنْ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ
 

“YA ALLAH! TUHAN KEPADA MALAIKAT JIBRIL, MIKA’IL DAN ISRAFIL. PENCIPTA LANGIT DAN BUMI, MAHA MENGETAHUI YANG GHAIB DAN YANG NYATA. ENGKAU MEMUTUSKAN (HUKUMAN YANG ADIL DAN BENAR) ANTARA PARA HAMBA-MU DALAM PERKARA YANG MEREKA PERSELISIHKAN. BERILAH AKU PETUNJUK PADA PERKARA YANG DIPERSELISIHKAN TENTANG KEBENARAN DENGAN IZIN-MU. (INI KERANA) ENGKAU BOLEH MEMBERI PETUNJUK KEPADA SESIAPA SAHAJA YANG ENGKAU MAHU KE JALAN YANG LURUS (BENAR)” (SAHIH MUSLIM).

Doa ini sebenarnya dipetik daripada 2 ayat al-Quran iaitu:

كَانَ النَّاسُ أُمَّةً وَاحِدَةً فَبَعَثَ اللَّهُ النَّبِيِّينَ مُبَشِّرِينَ وَمُنْذِرِينَ وَأَنْزَلَ مَعَهُمُ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِيَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ فِيمَا اخْتَلَفُوا فِيهِ وَمَا اخْتَلَفَ فِيهِ إِلَّا الَّذِينَ أُوتُوهُ مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَتْهُمُ الْبَيِّنَاتُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ فَهَدَى اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا لِمَا اخْتَلَفُوا فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِهِ وَاللَّهُ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ

Ertinya: Pada mulanya manusia itu ialah umat yang satu (menurut agama Allah yang satu, tetapi setelah mereka berselisihan), maka Allah mengutuskan para nabi sebagai pemberi khabar gembira (kepada orang beriman dengan balasan Syurga, dan pemberi amaran (kepada orang ingkar dengan balasan azab neraka); dan Allah menurunkan bersama para nabi itu kitab Suci yang (mengandungi keterangan yang) benar, untuk menjalankan hukum di antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan dan (sebenarnya) tidak ada yang melakukan perselisihan melainkan orang yang telah diberi kepada mereka kitab Suci itu, iaitu sesudah datang kepada mereka keterangan yang jelas nyata, - mereka berselisih semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri. MAKA ALLAH MEMBERI PETUNJUK KEPADA ORANG YANG BERIMAN KE ARAH KEBENARAN YANG DIPERSELISIHKAN OLEH MEREKA (YANG DERHAKA ITU), DENGAN IZIN-NYA. DAN ALLAH SENTIASA MEMBERI PETUNJUK HIDAYAH-NYA KEPADA SESIAPA YANG DIKEHENDAKINYA KE JALAN YANG LURUS (MENURUT UNDANG-UNDANG PERATURAN-NYA) (al-Baqarah 2: 213).

Juga firman-Nya:

قُلِ اللَّهُمَّ فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِي مَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ

Ertinya: Ucapkanlah (wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, Engkaulah jua yang mengadili di antara para hamba-Mu, mengenai apa yang mereka sentiasa berselisihan padanya" (al-Zumar 39:46).

Berdoalah kepada Allah kerana Dia adalah “AL-HADI”  (TUHAN YANG MEMBERI PETUNJUK). Mudah-mudahan dengan petunjuk daripada Allah, anda akan temui “warna” terbaik untuk anda.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...