Monday, February 5, 2018

KISAH SI BUTA YANG BERGEGAS KE MAJLIS ILMU

KISAH SI BUTA YANG BERGEGAS KE MAJLIS ILMU

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

“Itu suara Rasulullah SAW! Itu suara yang menghidupkan jiwa! Itu suara yang menyeru kami kepada Allah! Aku wajib segera ke arah suara itu!”

Barangkali itulah “rasa hati” Abdullah ibn Umm Maktum sejurus mendengar suara Rasulullah SAW berbicara dengan para pembesar Quraysh. Sungguh! Suara Allah serta suara Rasulullah SAW yang muncul atas nama al-Quran dan al-Sunnah adalah 2 suara yang wajib segera disahut. Tindakan Abdullah Ibn Umm Maktum atau sahabat nabi yang buta itu sebenarnya terbit dari pantulan iman yang sarat dalam jiwanya. Seakan dia sangat menghayati firman Allah ini:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اسْتَجِيبُوا لِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ إِذَا دَعَاكُمْ لِمَا يُحْيِيكُمْ

Ertinya: Wahai orang yang beriman, SAHUT DAN SAMBUTLAH SERUAN ALLAH DAN SERUAN RASULNYA APABILA KEDUANYA MENYERU KAMU KEPADA PERKARA YANG MENJADIKAN KAMU HIDUP (SEMPURNA) (al-Anfal [8.24]).

Kisah Abdullah yang “bergegas” menuju ke arah suara Rasulullah SAW disebut khusus dalam al-Quran. Kisah beliau ini wajib kita fahami sebagai suatu pujian berkekalan yang menjadi dendangan seluruh manusia yang membaca al-Quran sehingga kiamat. Perhatikan firman Allah ini:

وَأَمَّا مَنْ جَاءَكَ يَسْعَى (8) وَهُوَ يَخْشَى (9) فَأَنْتَ عَنْهُ تَلَهَّى (10)

Ertinya: Adapun orang yang “SEGERA BERGEGAS-GEGAS” datang kepadamu, Dengan perasaan takutnya (melanggar perintah Allah), Maka engkau berlengah-lengah melayaninya (‘Abasa [80:8-10]).

Topik perbincangan kita dalam nota kali ini adalah perkataan – يسعى – yang bermaksud “BERGEGAS-GEGAS.” Sebelum itu, perlu kita fahami prinsip mudah berinteraksi dengan al-Quran iaitu; “ALLAH SEBAGAI TUHAN YANG MAHA BIJAKSANA TIDAK AKAN MENGGUNAKAN SEBARANG PERKATAAN TANPA SEBAB. SETIAP PATAH AYAT AL-QURAN MEMILIKI SIGNIFIKAN YANG WAJIB KITA PERHATIKAN!

Orang yang biasa membaca kisah para sahabat sedia maklum bahawa surah ‘Abasa diturunkan menegur Rasulullah SAW yang berpaling seketika dari panggilan sahabat baginda yang buta kerana sibuk berdakwah kepada para pembesar Quraysh. Pada pandangan baginda, Abdullah sudah sihat dalam naungan Tawhid, manakala para pembesar Quraysh ini sedang sakit tenat dirasuk “syaitan syirik.” Keutamaan perlu diberikan untuk merawat yang sakit bukan yang sudah sihat. Tambahan pula pengaruh para pembesar Quraysh ini sangat berguna untuk perkembangan Islam di Mekah. Rupanya kemuliaan sahabat yang buta ini jauh lebih tinggi berbanding sikap ekslusif para pembesar Quraysh.

Isu teguran kepada baginda itu bukanlah isu utama yang mahu saya utarakan dalam nota ini, sebaliknya kemuliaan sahabat Rasulullah ini. Soalannya, mengapa Allah menggunakan perkataan – يسعى – BERGEGAS-GEGAS ketika menggambarkan kedatangannya? Tidak lain ia bagi menggambarkan kesungguhannya mencari hidayah dan berdamping dengan agama. Amat malu sekali jika sesetengah kita yang celik mata tetapi liat untuk mengatur langkah apatah lagi BERGEGAS mencari ilmu pengetahuan.

Rupanya bukan sekali ini sahaja Abdullah dipuji Allah dalam al-Quran. Ayat 95 surah al-Nisa’ pernah diulang turun kerana soalan Abdullah. Subhanallah! Marilah kita baca kisah tersebut:

لَا يَسْتَوِي الْقَاعِدُونَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ غَيْرُ أُولِي الضَّرَرِ وَالْمُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ فَضَّلَ اللَّهُ الْمُجَاهِدِينَ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ عَلَى الْقَاعِدِينَ دَرَجَةً وَكُلًّا وَعَدَ اللَّهُ الْحُسْنَى وَفَضَّلَ اللَّهُ الْمُجَاهِدِينَ عَلَى الْقَاعِدِينَ أَجْرًا عَظِيمً

Ertinya: Tidaklah sama keadaan orang yang duduk (tidak turut berperang) dari kalangan orang yang beriman - SELAIN DARIPADA ORANG YANG ADA KEUZURAN - dengan orang yang berjihad (berjuang) pada jalan Allah (untuk membela Islam) dengan harta dan jiwanya. Allah melebihkan orang yang berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka atas orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang kerana uzur) dengan kelebihan satu darjat. Dan setiap satu (dari dua golongan itu) Allah menjanjikan dengan balasan yang baik (Syurga), dan Allah melebihkan orang yang berjuang atas orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang dan tidak ada sesuatu uzur) dengan pahala yang amat besar; (al-Nisa’ [4:95]).

Pada awalnya ayat ini diturunkan tanpa perkataan - غَيْرُ أُولِي الضَّرَرِ – SELAIN DARIPADA ORANG YANG ADA KEUZURAN – pada pangkalnya. Selepas ayat ini diturunkan, Rasulullah SAW mengarahkan seorang sahabat menulisnya. Abdullah ibn Umm Maktum lalu mengadu kepada Rasulullah:
يَا رَسُولَ اللَّهِ لَوْ أَسْتَطِيعُ الْجِهَادَ لَجَاهَدْتُ
Ertinya: “Wahai Rasulullah SAW, jika mampu pasti aku akan turut berjihad, (namun apakan daya, aku seorang yang buta!)”

Setelah itu, ayat di atas diulang turun oleh Allah dengan penambahan perkataan PENGECUALIAN غَيْرُ أُولِي الضَّرَرِ (Sahih al-Bukhari).

Subhanallah! Hebat sekali sahabat nabi yang buta ini, berulang kali kisahnya disebut Allah dalam al-Quran. Selepas ini, saya dan anda semua wajib menilai diri sendiri. Jika beliau yang buta pun segera BERGEGAS-GEGAS menuju majlis ilmu, sepatutnya kita yang CELIK MATA ini berlari selaju mungkin mengejar majlis ilmu. Jangan sampai mata zahir ini yang tidak digunakan sebaiknya menjadi musibah di akhirat kelak sebagaimana kisah akhirat dalam ayat ini:

وَمَنْ أَعْرَضَ عَنْ ذِكْرِي فَإِنَّ لَهُ مَعِيشَةً ضَنْكًا وَنَحْشُرُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَعْمَى (124) قَالَ رَبِّ لِمَ حَشَرْتَنِي أَعْمَى وَقَدْ كُنْتُ بَصِيرًا (125) قَالَ كَذَلِكَ أَتَتْكَ آيَاتُنَا فَنَسِيتَهَا وَكَذَلِكَ الْيَوْمَ تُنْسَى (126) وَكَذَلِكَ نَجْزِي مَنْ أَسْرَفَ وَلَمْ يُؤْمِنْ بِآيَاتِ رَبِّهِ وَلَعَذَابُ الْآخِرَةِ أَشَدُّ وَأَبْقَى (127)

Ertinya: "Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya (dijadikan) baginya kehidupan yang sempit, dan KAMI AKAN HIMPUNKAN DIA PADA HARI KIAMAT DALAM KEADAAN BUTA". DIA AKAN BERKATA: "WAHAI TUHANKU, MENGAPA ENGKAU HIMPUNKAN AKU DALAM KEADAAN BUTA, PADAHAL AKU DAHULU MAMPU MELIHAT?" Allah berfirman: "Demikianlah keadaannya! Telah datang ayat keterangan Kami kepadamu, lalu engkau melupakan serta meninggalkannya, dan demikianlah engkau pada hari ini dilupakan serta ditinggalkan". Dan demikianlah Kami membalas orang yang melampaui batas dan tidak beriman kepada ayat keterangan Tuhannya; dan demi sesungguhnya azab akhirat itu lebih berat dan lebih kekal (Taha [20:124-127]).

Ya Allah! Terangkan mata hati dan mata zahir kami dengan iman dan ilmu sebagaimana pernah Engkau sinar-terangkan mata hati sahabat Rasulullah itu.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...