Tuesday, December 19, 2017

TEBOK HAFAZAN AL-QURAN DAPAT TELEFON PINTAR?

TEBOK HAFAZAN AL-QURAN DAPAT TELEFON PINTAR?

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

“Ini buku sirah Rasulullah! Ayah nak kamu habiskan baca buku ini. Bila sudah habis, ayah akan soal kamu tentang isinya bagi memastikan kamu benar-benar baca dan faham isinya.”

Pada awalnya Hilal agak kecut perut dengan arahan ayahnya itu. Namun begitu dek kerana risau gagal menjawab soalan ayahnya, Hilal memberikan perhatian yang serius terhadap buku tersebut. Selepas tamat membaca, dan menghadam isinya, Hilal dipanggil menghadap ayahnya persis seorang professor yang akan menguji pelajarnya. Alhamdulilah semua soalan berkaitan peristiwa penting sirah Rasulullah SAW mampu dijawabnya dengan baik. Selepas selesai sesi “viva” sirah Rasulullah, Hilal menerima RM 100 daripada ayahnya. Apa lagi! Hilal melonjak gembira dan peristiwa itu menjadi titik lonjak hidupnya. Minatnya kepada buku menjulang tinggi dan ketika usianya masih muda Hilal sudah menghasilkan banyak buku dan menjadi seorang tokoh muda yang sangat berilmu.

Itu satu kisah kawan saya. Tarbiah anak kecil dan anak remaja kadang kala memerlukan insentif sama ad berbentuk pujian, penghargaan atau wang ringgit (bagi yang mampu). Segar lagi dalam ingatan, ketika kecil saya dan adik beradik lelaki diwajibkan solat terawih berjemaah di rumah datuk kami Haji Hussain bin Said. Beliau adalah seorang pesara guru yang tegas. Terawihnya 23 rakaat tidak berkurang. Pada waktu itu saya yang berusia 7 atau 8 tahun sangat tersiksa menahan mengantuk menghabiskan solat. Pun begitu, sesuatu yang menggembirakan kami adalah insentif duit terawih yang Ayah Hussain beri setiap kali masuk pertengahan Ramadhan. Seterusnya kenangan itu menjadi rasa manis yang kekal sehingga dewasa.

Kawan saya bernama Ustaz Marzuki Kadir pernah menceritakan tarbiah ayahnya ketika beliau kecil. Apabila dia meminta aksesori kanak-kanak daripada ayahnya seperti basikal atau permainan, ia hanya akan tercapai jika dia berjaya menghafaz surah pilihan seperti al-Sajdah, al-Mulk dan sebagainya.

Baru-baru ini saya cuba praktikkan tarbiah ini kepada anak sulong saya, Ahmad Mujtaba yang baru habis SPM di Maahad Integrasi Tahfiz Selangor di Alam Impian, Shah Alam. Semasa SPM hampir berakhir, dia bercerita kawan-kawannya diberikan telefon pintar oleh ibu bapa mereka. Kami sebagai ibu bapa faham benar “apa mahunya” Mujtaba sebagai anak remaja tapi biarlah hadiah telefon pintar diperolehinya secara pintar juga, sesuai dengan al-Quran yang dihafaznya.

Pada pagi selasa 28 November 2017, Mujtaba mengikut saya ke kelas tafsir di Masjid Ibnu Sina, Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur. Selesai kelas, ada murid dewasa saya memberikan Mujtaba RM 30 sebagai hadiah. Ketika sampai Universiti Islam Antarabangsa Malaysia kami singgah di kedai telefon untuk melihat telefon pintar yang sesuai untuk Mujtaba. Mujtaba kelihatan teruja dan sanggup membayar harganya.

Kemudiannya, ketika makan tengahari di UIAM saya “meminta” Mujtaba membayar makan saya dan seorang murid saya sebagai “sedekah paksa.” Selepas peristiwa itu saya “menebuk” sepotong ayat berkaitan sedekah dengan harapan Mujtaba akan belajar untuk yakin tentang jaminan gantian Allah setelah bersedekah. Firman Allah:

قُلْ إِنَّ رَبِّي يَبْسُطُ الرِّزْقَ لِمَنْ يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ وَيَقْدِرُ لَهُ وَمَا أَنْفَقْتُمْ مِنْ شَيْءٍ فَهُوَ يُخْلِفُهُ وَهُوَ خَيْرُ الرَّازِقِينَ

Ertinya: Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-Nya, dan Ia juga yang menyempitkan baginya; “DAN APA SAHAJA YANG KAMU DERMAKAN MAKA ALLAH AKAN MENGGANTIKANNYA; DAN DIA LAH JUA SEBAIK-BAIK PEMBERI REZEKI" (Saba’, 34:39).

Saya kemudiannya “menebuk” Mujtaba satu lagi ayat al-Quran tentang gandaan sedekah bersama Tafsirannya:

مَثَلُ الَّذِينَ يُنْفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنْبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنْبُلَةٍ مِئَةُ حَبَّةٍ وَاللَّهُ يُضَاعِفُ لِمَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Ertinya: Bandingan (derma) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti “SEBIJI BENIH YANG TUMBUH MENERBITKAN TUJUH TANGKAI; SETIAP TANGKAI ITU PULA MENGANDUNGI SERATUS BIJI. DAN (INGATLAH), ALLAH AKAN MELIPAT GANDAKAN PAHALA BAGI SESIAPA YANG DIKEHENDAKI-NYA,” dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi Meliputi ilmu pengetahuan-Nya (al-Baqarah, 2:261).

Selepas itu saya menghulurkan sejumlah wang kepada Mujtaba untuk harga telefon pintar yang dikehendakinya sambil berkata:

“Lihat! Baru sekejap Mujtaba belanja Walid RM 10 untuk makan tengahari, sekarang Allah dah ganti sedekah Mujtaba dengan nilai berganda. Betul kata Allah sedekah kita dapat gantian berganda daripada 10, 700 sehingga infiniti:

مَنْ جَاءَ بِالْحَسَنَةِ فَلَهُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا وَمَنْ جَاءَ بِالسَّيِّئَةِ فَلَا يُجْزَى إِلَّا مِثْلَهَا وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ

Ertinya: Sesiapa yang membawa amal kebaikan (pada hari kiamat), MAKA BAGINYA (GANJARAN) 10 KALI GANDA (DARI KEBAIKAN) YANG SAMA DENGANNYA; dan sesiapa yang membawa amal kejahatan, maka dia tidak dibalas melainkan (kejahatan) yang sama dengannya; sedang mereka tidak dianiaya (sedikitpun) (al-An’am, 6:160).

Semoga tarbiah sebegini menjadi motivasi untuk anak-anak kita sebagaimana motivasi Rasulullah SAW kepada sahabat muda seperti Abdullah bin ‘Umar yang menjadikan beliau kaki solat malam sehingga akhir hayatnya, Ikuti kisah ini:

عَنْ ابْنِ عُمَرَ قَالَ كَانَ الرَّجُلُ فِي حَيَاةِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا رَأَى رُؤْيَا قَصَّهَا عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَتَمَنَّيْتُ أَنْ أَرَى رُؤْيَا أَقُصُّهَا عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ وَكُنْتُ غُلَامًا شَابًّا عَزَبًا وَكُنْتُ أَنَامُ فِي الْمَسْجِدِ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَرَأَيْتُ فِي النَّوْمِ كَأَنَّ مَلَكَيْنِ أَخَذَانِي فَذَهَبَا بِي إِلَى النَّارِ فَإِذَا هِيَ مَطْوِيَّةٌ كَطَيِّ الْبِئْرِ وَإِذَا لَهَا قَرْنَانِ كَقَرْنَيْ الْبِئْرِ وَإِذَا فِيهَا نَاسٌ قَدْ عَرَفْتُهُمْ فَجَعَلْتُ أَقُولُ أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْ النَّارِ أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْ النَّارِ أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْ النَّارِ قَالَ فَلَقِيَهُمَا مَلَكٌ فَقَالَ لِي لَمْ تُرَعْ فَقَصَصْتُهَا عَلَى حَفْصَةَ فَقَصَّتْهَا حَفْصَةُ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نِعْمَ الرَّجُلُ عَبْدُ اللَّهِ لَوْ كَانَ يُصَلِّي مِنْ اللَّيْلِ - قَالَ سَالِمٌ فَكَانَ عَبْدُ اللَّهِ لَا يَنَامُ مِنْ اللَّيْلِ إِلَّا قَلِيلًا

Ertinya: Abdullah Ibn ‘Umar RA dia berkata: Pada zaman Rasulullah, jika ada seseorang bermimpi dia akan menceritakan mimpi itu kepada Rasulullah SAW (untuk ditakbir). Aku amat berharap agar bermimpi (sesuatu) supaya boleh aku ceritakan pada baginda. Pada waktu itu aku adalah remaja yang masih muda dan bujang. Aku selalu tidur dalam Masjid, lalu pada suatu hari aku bermimpi dibawa oleh 2 malaikat ke neraka. Aku lihat neraka dibina seperti sebuah perigi. Padanya ada 2 tiang (dari kedua tepinya seperti 2 tiang pada kebanyakan perigi). Dalam perigi tersebut ada beberapa orang yang aku kenal dan segera aku ucapkan (sampai 3 kali): “Aku berlindung kepada Allah dari siksa neraka!” Tak lama kemudian, kedua malaikat tersebut bertemu dengan satu malaikat lain. Malaikat itu berkata kepadaku; Janganlah kamu takut! (kamu akan selamat). Aku lalu menceritakan mimpi itu kepada Hafsah RA. Hafsah kemudiannya menceritakan mimpi itu pada Rasulullah. Berikutan itu baginda bersabda: “ABDULLAH (BIN ‘UMAR) ADALAH SEBAIK-BAIK LELAKI JIKA DIA SENTIASA MENUNAIKAN SOLAT MALAM.” Salim berkata: (Selepas pujian nabi itu) Abdullah selalu solat malam dan tidak tidur melainkan sedikit sahaja (Sahih al-Bukhari  dan Muslim).

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...