Tuesday, November 21, 2017

ASAL KACAK ATAU CANTIK SAHAJA AKU RELA?

ASAL KACAK ATAU CANTIK SAHAJA AKU RELA?

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

"Saya rela dibidankan DOKTOR LELAKI yang kacak! Ceramah ustaz itu menusuk nurani sebagaimana menggodanya wajah tampan si ustaz. Mata saya tak puas memandang keindahan ciptaan Allah pada ayunya wajah si ustazah. Beruntung sekali bakal suaminya."

Ramai manusia lupa bahawa segala apa yang ada pada dirinya adalah AMANAH dan PINJAMAN. Ia bukan datang percuma tetapi akan diaudit rapi oleh Allah. Jika ada kebocoran pada amanah itu, maka api nerakalah habuannya.

Bayangkan bagaimana rasanya apabila wajah yang senantiasa dijaga rapi semasa di dunia semakin “masak kemerahan” akibat dipanggang atas api yang kepanasan?

يَوْمَ تُقَلَّبُ وُجُوهُهُمْ فِي النَّارِ يَقُولُونَ يَا لَيْتَنَا أَطَعْنَا اللَّهَ وَأَطَعْنَا الرَّسُولَا

Ertinya: PADA MASA MUKA MEREKA DIBALIK-BALIKKAN DALAM NERAKA (UMPAMA DIPANGGANG), mereka berkata (dengan sesalnya): "Alangkah baiknya kalau kami dahulu (semasa di dunia) taat kepada Allah serta taat kepada Rasul Allah.  (al-Ahzab[33:66]).

Dalam al-Quran banyak sekali ayat yang menyebut bagaimana wajah atau muka manusia dijadikan sasaran seksaan. Mengapa agaknya? Rupanya wajah banyak memainkan peranan ketika melanggar arahan Allah.

Apabila manusia mahu menyombong diri, wajah dipalingkan dari manusia yang dipandang rendah. Tindakan ini dilarang keras oleh Allah melalui lidah Luqman al-Hakim ketika beliau menasihati anaknya:

وَلَا تُصَعِّرْ خَدَّكَ لِلنَّاسِ وَلَا تَمْشِ فِي الْأَرْضِ مَرَحًا ۖ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ

Ertinya: (Luqman berkata lagi) "Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada  orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri (Luqman [31:18]).

Musyrikin Quraysh di Mekah dahulu menggunakan bahasa mata pada wajah mereka bagi memperlecehkan orang miskin yang beriman kepada Rasulullah:

إِنَّ الَّذِينَ أَجْرَمُوا كَانُوا مِنَ الَّذِينَ آَمَنُوا يَضْحَكُونَ (29) وَإِذَا مَرُّوا بِهِمْ يَتَغَامَزُونَ (30)

Ertinya: Sesungguhnya orang-orang yang derhaka, mereka selalu tertawakan orang-orang yang beriman. Dan apabila orang-orang yang beriman lalu dekat mereka, “MEREKA MENGERLING DAN MEMEJAM CELIKKAN MATA SESAMA SENDIRI (MENCEMUHNYA)” (al-Mutaffifin [83:29-30]).

Wajah juga "aset" paling mudah menggoda insan berlainan jantina. Berapa ramai gadis atau wanita terkorban "raga" ditipu lelaki kacak berhidung belang? Berapa ramai lelaki dan suami orang dikikis licin hartanya oleh wanita cantik berhati syaitan? Berapa banyak rumah tangga yang tercabut tangganya atau runtuh sama sekali kerana pesona tipu daya wajah si cantik?

Bukan setakat itu, demi wajah yang sekeping itu jugalah manusia sanggup melanggar perintah Allah dengan tabarruj atau berlebih menghias wajah ala-ala pelakon opera cina. Ada yang lebih ekstrem mengubah ciptaan Allah pada wajahnya demi mencari kepuasan kecantikan yang tak ke mana pun. Kegilaan menjaga kecantikan yang tidak kekal itu menjadi lorong syaitan memesongkan matlamat hidup manusia. Hidup mati mereka semata untuk si wajah dan bukan lagi kerana Allah:

وَلَأُضِلَّنَّهُمْ وَلَأُمَنِّيَنَّهُمْ وَلَآَمُرَنَّهُمْ فَلَيُبَتِّكُنَّ آَذَانَ الْأَنْعَامِ وَلَآَمُرَنَّهُمْ فَلَيُغَيِّرُنَّ خَلْقَ اللَّهِ وَمَنْ يَتَّخِذِ الشَّيْطَانَ وَلِيًّا مِنْ دُونِ اللَّهِ فَقَدْ خَسِرَ خُسْرَانًا مُبِينًا

Ertinya: "Dan demi sesungguhnya, aku akan menyesatkan mereka (dari kebenaran), dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak), lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu; DAN AKU AKAN MENYURUH MEREKA MENGUBAH CIPTAAN ALLAH". Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata (al-Nisa’ [4:119]).

Antara maksud “MENGUBAH CIPTAAN ALLAH” dalam ayat in adalah berlebih menjaga kecantikan wajah sehingga mencukur kening atau menjalani pembedahan kosmetik. Kelak wajah yang disalahguna itu bakal menjadi "kaki" untuk berjalan di padang mahsyar atau pada lantai neraka:

الَّذِينَ يُحْشَرُونَ عَلَىٰ وُجُوهِهِمْ إِلَىٰ جَهَنَّمَ أُولَٰئِكَ شَرٌّ مَكَانًا وَأَضَلُّ سَبِيلًا

Ertinya: Orang-orang yang “AKAN DISERET BERAMAI-RAMAI KE NERAKA JAHANNAM (DENGAN TERTIARAP) ATAS MUKANYA,” merekalah orang-orang yang amat buruk keadaannya dan amat sesat jalannya (al-Furqan [25:34]).

Juga firman Allah:

يَوْمَ يُسْحَبُونَ فِي النَّارِ عَلَى وُجُوهِهِمْ ذُوقُوا مَسَّ سَقَرَ

Ertinya: Semasa mereka “DISERET DI DALAM NERAKA (DENGAN TERTIARAP) ATAS MUKA MEREKA”, (serta dikatakan kepada mereka): Rasalah kamu bakaran api Neraka (al-Qamar [54:48]).

Seorang lelaki berasa pelik bagaimana manusia mampu berjalan menggunakan wajah mereka di akhirat kelak. Rasulullah SAW lantas bersabda:

أَلَيْسَ الَّذِي أَمْشَاهُ عَلَى الرِّجْلَيْنِ فِي الدُّنْيَا قَادِرًا عَلَى أَنْ يُمْشِيَهُ عَلَى وَجْهِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Ertinya: Allah yang (mampu) mencipta manusia untuk berjalan menggunakan 2 kaki di dunia, sudah pasti mampu menjadikannya berjalan menggunakan wajah di akhirat kelak (Sahih al-Bukhari).

Di akhirat kelak wajah penderhaka yang sangat cantik di dunia dahulu akan bertukar menjadi HUDUH, HITAM DAN BERDEBU, manakala wajah manusia beriman yang dahulunya tidak kacak atau cantik akan bertukar menjadi sangat CANTIK, KACAK LAGI PUTIH BERSERI:

يَوْمَ تَبْيَضُّ وُجُوهٌ وَتَسْوَدُّ وُجُوهٌ فَأَمَّا الَّذِينَ اسْوَدَّتْ وُجُوهُهُمْ أَكَفَرْتُمْ بَعْدَ إِيمَانِكُمْ فَذُوقُوا الْعَذَابَ بِمَا كُنْتُمْ تَكْفُرُونَ (106) وَأَمَّا الَّذِينَ ابْيَضَّتْ وُجُوهُهُمْ فَفِي رَحْمَةِ اللَّهِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ (107)

Ertinya: (Ingatlah akan) hari (kiamat yang padanya) “ADA MUKA (ORANG) MENJADI PUTIH BERSERI, DAN ADA MUKA (ORANG) MENJADI HITAM LEGAM.” Adapun orang-orang yang telah hitam legam mukanya, (mereka akan ditanya secara menempelak): "Patutkah kamu kufur ingkar sesudah kamu beriman? Oleh itu rasalah azab seksa neraka disebabkan kekufuran kamu itu". Adapun orang-orang yang telah putih berseri mukanya, maka mereka berada dalam limpah rahmat Allah (Syurga), mereka kekal di dalamnya (Ali ‘Imran [3:106-107]).

Kepada si cantik dan si tampan, janganlah dijadikan wajah indah pinjaman Allah di dunia ini sebagai sebab untuk menderhakai Allah. Kekal-lah cantik di dunia dan putih berseri di akhirat seperti nabi Yusuf AS.

Jika hati terpaut dengan kecantikan atau ketampanan seseoran, segeralah ingat ia hanyalah sebuah kanvas hasil seni ZAT PELUKIS ALAM. Jangan dikagumi kanvas yang boleh sahaja dirosakkan dengan kemalangan, simbahan asid, sakit kronik pada wajah dan sebagainya, sebaliknya kembalikan kekaguman itu pada PELUKIS ATAU PENCIPTA KANVAS YANG MAHA SEMPURNA LAGI MAHA CANTIK:

اللَّهُ الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الْأَرْضَ قَرَارًا وَالسَّمَاءَ بِنَاءً وَصَوَّرَكُمْ فَأَحْسَنَ صُوَرَكُمْ وَرَزَقَكُمْ مِنَ الطَّيِّبَاتِ ذَلِكُمُ اللَّهُ رَبُّكُمْ فَتَبَارَكَ اللَّهُ رَبُّ الْعَالَمِينَ

Ertinya: Allah yang menjadikan bumi sebagai tempat penetapan untuk kamu, dan langit sebagai bumbung yang kukuh binaannya; dan DIA MEMBENTUK RUPA KAMU LALU (DIA) MEMPERELOKKAN RUPA KAMU, serta dikurniakan kepada kamu dari benda-benda yang baik lagi halal. Yang demikian (kekuasaanNya dan kemurahanNya) ialah Allah Tuhan kamu; maka nyatalah kelebihan dan kemurahan Allah, Tuhan sekalian alam (Ghafir[40:64]).

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-
dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

Sunday, November 19, 2017

A Grandaughter and a Wedding




Hubby and I visited Kak Ngah and our newest grandaughter at KPJ Kajang Hospital after we attended our friend's daughter's wedding.  

The bride's parents Haji Abu Husin and Hajah Hazimah lived in Kota Kinabalu Sabah, but had their daughter's wedding reception in Kuala Lumpur instead.  Thus we managed to meet up with all our friends, who were in our Hajj group with Andalusia Travel, when we did our Hajj last August/September.














Saturday, November 18, 2017

Fourth Cucu OTW In shaa Allah

Kak ngah called from the hospital informing me that she was in the labour room. Thus she will be delivering her first born anytime today. In shaa Allah.

So I went to the hospital with Sofiyah after completing part of my ironing and after the cookerhood repairman left.

It was raining when we left the house and arrived at the hospital. Alhamdullillah.
Both of us waited at the visitors' lounge just outside the labour and delivery suites. It was here, a year ago that my third cucu, my grandson was born.

I had just completed my solat Maghrib when Amin my SIL called from the labour suite. Kak Ngah wanted to speak to me. She was crying going through her labour pains. I told her to be strong and to remember Allah by reciting zikr and duas.

Kak ngah's SIL then arrived from Melaka with her girlfriends. Then her bffs Nieza, Rita and her husband Jinggo. Later her younger brother Badruzzaman, his wife Maisarah and son Muhammad Zavian too came.

Then at 9.30pm kak ngah delivered her baby, a girl. I now have another grand daughter. Alhamdullillah.







Thursday, November 16, 2017

TINGGALKAN ISLAM SEPERTI PENGEMBARA DISESATKAN HANTU?

TINGGALKAN ISLAM SEPERTI PENGEMBARA DISESATKAN HANTU??

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Sabtu (al-An’am [6:71]) pada 15 November 2014. Antara isunya adalah perumpamaan orang yang meninggalkan Islam seperti si musafir sesat di padang pasir.

Seram dan meremang bulu roma apabila terdengar suara gemulah datuk atau gemulah ayah kita yang sudah lama meninggal memanggil-manggil nama kita dikala kita tersesat dalam hutan. Jika dilayan panggilan tersebut kita mungkin akan semakin sesat jauh ke dalam hutan atau jatuh ke dalam gaung. Hendak dibiarkan, kasihan pula timbul kepada gemulah datuk yang mungkin ikhlas membantu kita keluar dari hutan itu. Memang keliru!

Suara panggilan menggoda sebegini menjadi igauan ngeri para pengembara Arab di padang pasir pada zaman jahiliah. Mereka percaya ia datang dari jembalang atau jin jahat padang pasir yang digelar  الغُول  atau السعلاة .  Perihal dua jenis jembalang ini memang direkod dalam syair Arab jahiliah (Raji al-Asmar, al-Jinn Haqiqatuhum). Mangsa yang diganggu jembalang ini akan tersesat jauh dan akhirnya menemui ajal kekeringan di padang pasir.

Bahkan kewujudan sejenis syaitan bernama Ghul atau al-Ghilan seakan disokong oleh hadith Rasulullah SAW:

وَإِذَا تَغَوَّلَتْ لَكُمْ الْغِيلَانُ فَنَادُوا بِالْأَذَانِ

Ertinya: Apabila jin jahat si penyesat cuba menggangu (menyesatkan perjalananmu), maka segeralah laungkan azan (Musnad Ahmad). (Dinilai Dha’if/lemah oleh al-Albani dalam al-Silsilah al-Da’ifah, hadith no: 1140).

Persoalannya, mengapakah kita berbicara perihal jembalang penyesat pengembara ketika membicarakan tentang Tafsir al-Quran? Perlu difaham bahawa al-Quran diturunkan pada zaman Rasulullah SAW ketika masyarakat Arab masih dibelenggu khurafat zaman jahiliah. Oleh itu, bagi memudahkan mereka memahami isi al-Quran, Allah menggunakan budaya mereka bagi menyerlahkan kebenaran al-Quran. Firman Allah:

قُلْ أَنَدْعُو مِنْ دُونِ اللَّهِ مَا لَا يَنْفَعُنَا وَلَا يَضُرُّنَا وَنُرَدُّ عَلَى أَعْقَابِنَا بَعْدَ إِذْ هَدَانَا اللَّهُ كَالَّذِي اسْتَهْوَتْهُ الشَّيَاطِينُ فِي الْأَرْضِ حَيْرَانَ لَهُ أَصْحَابٌ يَدْعُونَهُ إِلَى الْهُدَى ائْتِنَا قُلْ إِنَّ هُدَى اللَّهِ هُوَ الْهُدَى وَأُمِرْنَا لِنُسْلِمَ لِرَبِّ الْعَالَمِينَ

Ertinya: Katakanlah: "Patutkah kita menyeru serta menyembah yang lain dari Allah, sesuatu yang tidak dapat memberi manfaat kepada kita dan tidak dapat mendatangkan mudarat kepada kita; DAN (PATUTKAH) KITA DIKEMBALIKAN UNDUR KE BELAKANG (MENJADI KAFIR MUSYRIK) SETELAH KITA DIBERI HIDAYAH PETUNJUK OLEH ALLAH (DENGAN UGAMA ISLAM), SEPERTI ORANG YANG TELAH DISESATKAN OLEH SYAITAN DI BUMI (DI TEMPAT YANG LENGANG) DALAM KEADAAN BINGUNG, SEDANG IA PULA MEMPUNYAI SAHABAT-SAHABAT YANG MENGAJAKNYA KE JALAN YANG LURUS (DENGAN BERKATA KEPADANYA): "MARILAH BERSAMA-SAMA KAMI. "Katakanlah: "Sesungguhnya petunjuk Allah itulah sebenar-benar petunjuk, dan kita diperintahkan supaya berserah diri kepada Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam" (al-An’am[6:71]).

Ringkasnya, para penyembah berhala atau penganut agama lain seakan pengembara yang disesatkan jembalang padang pasir sedangkan temannya yang setia (yang sudah menemui hidayah Islam) memanggilnya ke jalan kebenaran. Akibat kebingungan tergoda dengan suara gemulah ayah atau datuk mereka yang dikhayalkan oleh si jembalang, mereka akhirnya tersesat jauh.  Begitulah juga perihalnya Musyrikin Qurasyh yang jauh tersesat dengan penyembahan berhala sedangkan Rasulullah SAW yang “MEMILIKI PETA DAN KOMPAS ISLAM” tidak putus memanggilnya ke jalan kebenaran.

Ya Allah! Selamatkan kami dari musibah kesesatan akibat mengabaikan al-Quran dan al-Sunnah sebagaimana tersesatnya para pengembara di hutan kerana mengabaikan peta dan kompas yang sudah sedia dimilikinya.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

Wednesday, November 15, 2017

HADIAH UNTUK SARAH YANG SETIA BERSAMA IBRAHIM

HADIAH UNTUK SARAH YANG SETIA BERSAMA IBRAHIM

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Tazkirah ringkas pagi Sabtu di Surau Nur al-Syura (al-Dhariyat [51:24-30]) pada 14 November 2015. Nota ini adalah huraian ringkas berdasarkan ayat yang dibaca dalam solat Subuh pagi tersebut.

Sungguh lama! Bukan sehari, bukan setahun, bukan sepuluh tahun, tetapi puluhan tahun sehingga meniti usia tua. Itulah tempoh kesetiaan Sarah bersama nabi Ibrahim AS. Alhamdulillah, kesetiaan yang seumur hidup ini diganjari anugerah terbesar yang diimpikan semua wanita solehah kepada suaminya iaitu rahim yang mengandungkan zuriat si suami. Zuriat ini pula bukan sembarangan, anak yang bakal menjadi bapa kepada “ratusan nabi Bani Isra’il.”

Bagaimana kita tahu beliau setia bersama Ibrahim sehingga usia tua? Allah memuji beliau dalam kisah ini:

هَلْ أَتَاكَ حَدِيثُ ضَيْفِ إِبْرَاهِيمَ الْمُكْرَمِينَ (24) إِذْ دَخَلُوا عَلَيْهِ فَقَالُوا سَلَامًا قَالَ سَلَامٌ قَوْمٌ مُنْكَرُونَ (25) فَرَاغَ إِلَى أَهْلِهِ فَجَاءَ بِعِجْلٍ سَمِينٍ (26) فَقَرَّبَهُ إِلَيْهِمْ قَالَ أَلَا تَأْكُلُونَ (27) فَأَوْجَسَ مِنْهُمْ خِيفَةً قَالُوا لَا تَخَفْ وَبَشَّرُوهُ بِغُلَامٍ عَلِيمٍ (28) فَأَقْبَلَتِ امْرَأَتُهُ فِي صَرَّةٍ فَصَكَّتْ وَجْهَهَا وَقَالَتْ عَجُوزٌ عَقِيمٌ (29) قَالُوا كَذَلِكِ قَالَ رَبُّكِ إِنَّهُ هُوَ الْحَكِيمُ الْعَلِيمُ (30)

Ertinya: Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal tetamu Nabi Ibrahim yang dimuliakan? Ketika mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: "Salam sejahtera kepadamu!" Ia menjawab: Salam sejahtera kepada kamu! "(Sambil berkata dalam hati): mereka ini orang-orang yang tidak dikenal. Kemudian ia masuk mendapatkan Ahli rumahnya serta dibawanya keluar seekor anak lembu gemuk (yang dipanggang). Lalu dihidangkannya kepada mereka sambil berkata: "Silalah makan". (Setelah dilihatnya mereka mereka tidak menjamah makanan itu), maka ia merasa takut dari keadaan mereka. (Melihat kecemasannya), mereka berkata: "Janganlah engkau takut (wahai Ibrahim)". Lalu mereka memberikan berita gembira kepadanya, bahawa ia akan beroleh seorang anak yang berpengetahuan. (Mendengarkan berita yang mengembirakan itu), maka datanglah isterinya sambil menjerit (kehairanan) lalu menepuk mukanya sambil berkata: "AKU SUDAH TUA, LAGI MANDUL, (bagaimana aku boleh mendapat anak)?" Mereka berkata: "Demikianlah Tuhanmu berfirman, (kami hanya menyampaikan sahaja); Sesungguhnya Dia lah Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui" (al-Dhariyat [51.24-30]).

Frasa “AKU SUDAH TUA, LAGI MANDUL” diulang sekali lagi oleh Allah dalam ayat lain. Cuma kali ini ditambah “SUAMIKU JUGA SANGAT TUA”:

قَالَتْ يَا وَيْلَتَا أَأَلِدُ وَأَنَا عَجُوزٌ وَهَذَا بَعْلِي شَيْخًا إِنَّ هَذَا لَشَيْءٌ عَجِيبٌ (72) قَالُوا أَتَعْجَبِينَ مِنْ أَمْرِ اللَّهِ رَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ عَلَيْكُمْ أَهْلَ الْبَيْتِ إِنَّهُ حَمِيدٌ مَجِيدٌ (73)

Ertinya: Isterinya berkata: "Sungguh ajaib keadaanku! Adakah aku akan melahirkan anak “PADAHAL AKU SUDAH TUA DAN SUAMIKU INI JUGA SUDAH TUA?” Sesungguhnya kejadian ini suatu perkara yang menghairankan". Malaikat-malaikat itu berkata: "Patutkah engkau merasa hairan tentang perkara yang telah ditetapkan oleh Allah? Memanglah rahmat Allah dan berkatNya melimpah-limpah kepada kamu, wahai ahli rumah ini. Sesungguhnya Allah Maha terpuji, lagi Maha Melimpah kebaikan dan kemurahanNya" (Hud [11:72-73]).

Soalan yang bagus untuk ditanya, mengapa disebut TUA? Dalam kisah lain pula disebut ketika nabi Ibrahim AS berhadapan kaumnya baginda “MASIH MUDA.” Lihat firman Allah ini:

فَجَعَلَهُمْ جُذَاذًا إِلَّا كَبِيرًا لَهُمْ لَعَلَّهُمْ إِلَيْهِ يَرْجِعُونَ (58) قَالُوا مَنْ فَعَلَ هَذَا بِآَلِهَتِنَا إِنَّهُ لَمِنَ الظَّالِمِينَ (59) قَالُوا سَمِعْنَا فَتًى يَذْكُرُهُمْ يُقَالُ لَهُ إِبْرَاهِيمُ (60)

Ertinya: Lalu ia memecahkan semuanya berketul-ketul, kecuali sebuah berhala mereka yang besar (dibiarkannya), supaya mereka kembali kepadanya. (Setelah melihat kejadian itu) mereka bertanya: "Siapakah yang melakukan perbuatan yang demikian terhadap tuhan-tuhan kami? Sesungguhnya adalah ia dari orang-orang yang zalim". (Setengah dari) mereka berkata: "Kami ada mendengar SEORANG ANAK MUDA BERNAMA IBRAHIM, mencacinya" (al-Anbiya’ [21:58-60]).

Setelah bertindak keras memusnahkan berhala kaumnya ketika MASIH MUDA, nabi Ibrahim AS dibakar dan diusir keluar dari negerinya:

قَالُوا ابْنُوا لَهُ بُنْيَانًا فَأَلْقُوهُ فِي الْجَحِيمِ (97) فَأَرَادُوا بِهِ كَيْدًا فَجَعَلْنَاهُمُ الْأَسْفَلِينَ (98) وَقَالَ إِنِّي ذَاهِبٌ إِلَى رَبِّي سَيَهْدِينِ (99)

Ertinya: (Setelah tak dapat berhujah lagi, ketua) mereka berkata: "Binalah untuk Ibrahim sebuah tempat (untuk membakarnya), kemudian campakkan dia ke dalam api yang menjulang-julang itu". Maka mereka (dengan perbuatan membakar Nabi Ibrahim itu) hendak melakukan angkara yang menyakitinya, lalu Kami jadikan mereka orang-orang yang terkebawah (yang tidak berjaya maksudnya). Dan Nabi Ibrahim pula berkata: "AKU HENDAK (MENINGGALKAN KAMU) PERGI KEPADA TUHANKU, Ia akan memimpinku (ke jalan yang benar) (al-Saffat [37:97-99]).

Nabi Ibrahim AS sangat tabah, baginda sanggup meninggalkan tanah air dan keluarga yang rosak akibat rasukan syaitan berhala. Ketabahan baginda bersama “PENGIKUTNYA” diabadikan al-Quran bagi menjadi suri ikutan untuk kita semua:

قَدْ كَانَتْ لَكُمْ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ فِي إِبْرَاهِيمَ وَالَّذِينَ مَعَهُ إِذْ قَالُوا لِقَوْمِهِمْ إِنَّا بُرَآَءُ مِنْكُمْ وَمِمَّا تَعْبُدُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ كَفَرْنَا بِكُمْ وَبَدَا بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةُ وَالْبَغْضَاءُ أَبَدًا حَتَّى تُؤْمِنُوا بِاللَّهِ وَحْدَهُ

Ertinya: Sesungguhnya adalah bagi kamu pada bawaan “NABI IBRAHIM AS DAN PARA PENGIKUTNYA - CONTOH IKUTAN YANG BAIK”, semasa mereka berkata kepada kaumnya (yang kufur ingkar): "Sesungguhnya kami berlepas diri daripada kamu dan daripada apa yang kamu sembah yang lain dari Allah; kami kufur ingkarkan (segala penyembahan) kamu dan (dengan ini) nyatalah perasaan permusuhan dan kebencian di antara kami dengan kamu selama-lamanya, sehingga kamu menyembah Allah semata-mata" (al-Mumtahanah [60:4]).

PARA PENGIKUTNYA dalam ayat ini merujuk kepada para nabi yang sezaman baginda atau para nabi dari zuriat baginda yang membawa misi Tawhid yang sama (Tafsir al-Tabari dan Tafsir Ibn Kathir). Tapi menurut segelintir para ulama Tafsir, yang bersama Ibrahim ketika baginda diusir keluar hanya isterinya Sarah dan anak saudaranya Lut AS. Ringkasnya, Sarah adalah wanita yang setia beriman kepada nabi Ibrahim sejak “MEREKA MUDA” lagi.

Kesetiaan semenjak muda seperti ini jugalah menjadi sebab dalamnya cinta Rasulullah SAW kepada Khadijah RA. Kasih baginda kepada kesetiaan Khadijah RA mengundang cemburu sayang Aishah AS:

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا ذَكَرَ خَدِيجَةَ أَثْنَى عَلَيْهَا فَأَحْسَنَ الثَّنَاءَ قَالَتْ فَغِرْتُ يَوْمًا فَقُلْتُ مَا أَكْثَرَ مَا تَذْكُرُهَا حَمْرَاءَ الشِّدْقِ قَدْ أَبْدَلَكَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ بِهَا خَيْرًا مِنْهَا قَالَ مَا أَبْدَلَنِي اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ خَيْرًا مِنْهَا قَدْ آمَنَتْ بِي إِذْ كَفَرَ بِي النَّاسُ وَصَدَّقَتْنِي إِذْ كَذَّبَنِي النَّاسُ وَوَاسَتْنِي بِمَالِهَا إِذْ حَرَمَنِي النَّاسُ وَرَزَقَنِي اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ وَلَدَهَا إِذْ حَرَمَنِي أَوْلَادَ النِّسَاءِ

Ertinya: Aisyah RA berkata Rasulullah SAW selalu memuji Khadijah sehingga mengundang cemburu sayang padaku, lalu aku berkata kepada baginda SAW: Alangkah kerapnya engkau menyebut perihal wanita tua itu (Khadijah). Ketahuilah bahawa Allah sudah menggantikan kehilangannya (Khadijah) dengan isteri yang lebih baik darinya. Rasulullah SAW berkata: “SUNGGUH DIA ITU TIADA GANTI.” Dia beriman kepadaku ketika semua manusia mengingkariku, dia membenarkanku ketika semua orang mendustaiku, dia membantuku dengan hartanya ketika manusia menghalangku dan Allah menganugerahkan padaku semua anaknya ketika wanita lain tidak memberikanku anak (Musnad Ahmad).

Subhanallah! Rupanya Sarah yang menjadi TEMAN SETIA kepada Datuk kita semua nabi Ibrahim AS sebenarnya tidak kurang hebat berbanding Khadijah RA.

Jangan pula ada yang emosi menyempitkan”SETIA BERMAKSUD TIDAK BERPOLIGAMI.” Nabi Ibrahim AS dan Rasulullah SAW setia dalam POLIGAMI. Pun begitu, poligami mereka tetap dibimbing agama bukan nafsu semata. Jadilah insan soleh dan setia kepada Allah dan Islam seperti mereka, semoga KESETIAAN bersama pasangan menjadi sebab untuk kita semua bersatu bersama keluarga para nabi di akhirat kelak. Insya Allah!

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

Friday, November 10, 2017

JAGA HATI ISTERI JUGA NAFKAH BATIN

JAGA HATI ISTERI JUGA NAFKAH BATIN

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

Saat itu adalah saat debaran (23 Julai 1999, pagi Jumaat, selepas solat Subuh dalam Masjid Kg Pulau Melaka, Kota Bharu Kelantan). Sebentar lagi Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz akan mengahwinkan saya dengan isteri sebagai wakil wali bakal mentua saya. Sebagaimana lazimnya sebuah perkahwinan, ia akan dimulai dengan khutbah nikah bagi menjentik hati bakal suami tentang tanggungjawab rumahtangga yang akan dipikulnya kelak.

Sambil tangannya memegang borang nikah, Tuan Guru mendongak melihat wajah saya lalu memulakan khutbahnya. Khutbah Tuan Guru ringkas padat. Banyak isinya yang menusuk jiwa, tapi ada “DUA” pesanannya  tersemat kemas dalam jiwa saya sampai hari ini. Ternyata ia sangat berguna bagi suami isteri dalam melayari rumah tangga. Pesannya:

1) Jangan amal tabiat nikah cerai atau tukar pasangan tanpa alasan kukuh. Tuan Guru berpesan:

“Allah tak suka jenis orang yang kahwinnya merata tempat. Atau kahwin cerai, kahwin cerai tanpa alasan kukuh. Ia dipesan Rasulullah:

فَإِنَّ اللَّهَ لا يُحِبُّ الذَّوَّاقِينَ وَلا الذَّوَّاقَاتِ

Ertinya: Sesungguhnya Allah tidak suka (lelaki dan wanita) yang bernikah berganti-ganti (hanya untuk merasai persetubuhan) (al-Mu’jam al-Kabir Imam al-Tabrani) (setakat pembacaan saya, hadith ini lemah darjatnya dan tak boleh dijadikan hujah.  Walaupun begitu, makna hadith ini bagus untuk diperhatikan. Tambahan pula ia menyentuh aspek akhlak dan bukannya perkara pokok dalam Islam).

2) LUASKAN MAKNA NAFKAH BATIN untuk isteri. Tuan Guru turut berpesan:

“Dalam rumah tangga suami wajib memberi nafkah zahir dan batin kepada isteri. Orang kita pula apabila sebut nafkah batin pasti ingat ia sekadar hubungan kelamin atau persetubuhan. Kita kena luaskan makna nafkah batin! IA TURUT MERANGKUMI MENJAGA HATI ISTERI. LAYAN DIA DENGAN BAIK DAN KASIH SAYANG. JANGAN KECILKAN HATI PASANGAN. Kalau kita mahu isteri menjaga hati kita, kita juga perlu menjaga hati mereka.”

Pesanan Tuan Guru itu disebut tegas oleh Allah dalam firmanNya:

وَاعْبُدُوا اللَّهَ وَلَا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا وَبِذِي الْقُرْبَى وَالْيَتَامَى وَالْمَسَاكِينِ وَالْجَارِ ذِي الْقُرْبَى وَالْجَارِ الْجُنُبِ وَالصَّاحِبِ بِالْجَنْبِ وَابْنِ السَّبِيلِ وَمَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ مَنْ كَانَ مُخْتَالًا فَخُورًا

Ertinya: Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; “DAN HENDAKLAH KAMU BERBUAT BAIK” kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak yatim, orang miskin, jiran tetangga yang dekat, jiran tetangga yang jauh, “RAKAN SEJAWAT”, orang musafir yang terlantar dan hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri; (al-Nisa’ [4:36]).

Sebahagian ulama Tafsir mentafsirkan perkataan “TEMAN SEJAWAT” sebagai isteri (Tafsir Ibn Kathir). Dengan makna ini, berbuat baik kepada isteri adalah suatu tuntutan agama yang perlu dilaksanakan suami. Berbuat baik itu pula luas maknanya dan turut merangkumi aspek menjaga hati.

Dalam ayat lain Allah turut berfirman:

وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ فَإِنْ كَرِهْتُمُوهُنَّ فَعَسَى أَنْ تَكْرَهُوا شَيْئًا وَيَجْعَلَ اللَّهُ فِيهِ خَيْرًا كَثِيرًا

Ertinya: Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Jika kamu (berasa) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu) (al-Nisa’ [4:19]).

Menjaga hati atau batin isteri turut ditegaskan oleh Rasulullah SAW:

لَا يَجْلِدُ أَحَدُكُمْ امْرَأَتَهُ جَلْدَ الْعَبْدِ ثُمَّ يُجَامِعُهَا فِي آخِرِ الْيَوْمِ

Ertinya: Janganlah kamu merotan (memukul) isterinya seperti memukul hamba, kemudian menyetubuhinya di akhir hari (malam) (Sahih al-Bukhari).

Hubungan suami isteri dalam rumah tangga bukanlah hubungan hamba (isteri) dan tuan (suami)! Bukan juga hubungan pembekal bahan mentah (suami) dan pengutip hasil (isteri). Ia adalah hubungan kasih sayang yang dihalalkan Allah dengan lafaz akad yang diiktirafNya. Lafaz itu pula sangat mudah, semudah “AKU TERIMA NIKAHNYA.” Pun begitu, tanggungjawab dan kesan lafaz itu akan menjadi sebab penentuan lokasi kita di akhirat kelak syurga atau neraka. Pesanan Tuan Guru Nik Abdul Aziz itu saya gigit kemas dengan geraham sehingga hari ini. Semoga perkongsian ini akan membantu menambah keberkatan rumah tangga kita semua.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

Monday, November 6, 2017

MEREMANG BULU ROMA DENGAR AL-QURAN?

MEREMANG BULU ROMA DENGAR AL-QURAN?

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

 

“Beberapa orang Jepun yang dengar kehebatan al-Quran biasanya akan naik meremang bulu roma mereka.”

 

Saya terkejut besar setelah mendengar pengakuan kawan saya, Zulkarnain Hasan Basri, orang Perak yang sudah 20 tahun tinggal di Kobe, Jepun. Beliau berkahwin dengan orang Jepun dan mendapat status Penduduk Tetap di sana. Antara aktiviti beliau di Jepun adalah membawa dakwah Islam kepada penduduk tempatan. Dalam banyak situasi, orang Islam kalah dengan “akhlak Islam” yang sudah dimiliki orang Jepun dengan budaya tinggi serta disiplin mereka. Oleh itu, para pendakwah di Jepun perlu mencari ramuan lain bagi memperkenalkan Islam kepada mereka. Berdasarkan pengalamannya, Zulkarnain dapati pendekatan paling berkesan dalam dakwah kepada orang Jepun adalah dengan menggunakan al-Quran.

 

Apabila kehebatan isi kandungan al-Quran dibentangkan kepada orang Jepun yang datang menemuinya di Masjid Kobe, bulu roma sesetengah mereka segera tegak berdiri. Mengapa hanya dengan mendengar ayat al-Quran bulu roma manusia mampu tegak berdiri?

 

Fenomena meremang bulu roma biasa berlaku ketika manusia berasa takut atau kagum melampau akan sesuatu. Banyak kita dengar reaksi manusia yang terbakar semangat dengan remangan bulu roma ketika mendengar pidato luar biasa sesetengah tokoh atau dendangan merdu sesetengah penyanyi. Itu baru suara luar biasa manusia! Bayangkan apa akan jadi jika yang berbicara itu adalah Tuhan semesta alam Pemilik segala keagungan?

 

Rupanya fenomena ini adalah tindak balas semulajadi manusia yang tersentuh hati jantungnya dengan isi al-Quran. Ia memang disebut al-Quran:

 

اللَّهُ نَزَّلَ أَحْسَنَ الْحَدِيثِ كِتَابًا مُتَشَابِهًا مَثَانِيَ تَقْشَعِرُّ مِنْهُ جُلُودُ الَّذِينَ يَخْشَوْنَ رَبَّهُمْ ثُمَّ تَلِينُ جُلُودُهُمْ وَقُلُوبُهُمْ إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّهِ ۚ ذَٰلِكَ هُدَى اللَّهِ يَهْدِي بِهِ مَنْ يَشَاءُ ۚ وَمَنْ يُضْلِلِ اللَّهُ فَمَا لَهُ مِنْ هَادٍ

 

Ertinya: Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci Al-Quran yang bersamaan (setara) isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang (keterangannya, dengan berbagai cara); yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) "KULIT BADAN ORANG YANG TAKUT KEPADA TUHAN MEREKA MENJADI SERAM (MEREMANG); KEMUDIAN KULIT BADAN MEREKA MENJADI LEMBUT SERTA TENANG TENTERAM HATI MEREKA MENERIMA AJARAN DAN RAHMAT ALLAH." Kitab Suci itulah hidayah petunjuk Allah; Allah memberi hidayah petunjuk dengan Al-Quran itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan Allah (disebabkan pilihannya yang salah), maka tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya (al-Zumar [39:23]).

 

Subhanallah! Ayat ini selalu saya baca dan ulas Tafsirnya, tapi tak pernah bertemu secara terus orang yang pernah rasai “remangannya.” Pertemuan dengan Encik Zulkarnain pada hari Rabu 25 Oktober 2017 lepas telah membuka satu sudut Tafsir praktikal untuk saya dan kita semua. Inilah bukti kehebatan al-Quran, ia seumpama lautan dalam penuh khazanah berharga dan bermutu tinggi. Para pembaca, pengkaji dan peminat al-Quran pula seumpama sekumpulan nelayan yang memancing isinya. Para pemancing memperolehi hasil laut yang berbeza rupa, jenis dan khasiat.  Bagi menyempurnakan menu yang datang dengan berbagai zat dan vitamin, para pemancing perlu terbuka dan pandai berkongsi hasil tangkapan. Dengan cara ini kehebatan dan manafaat isi laut akan benar-benar memberi manafaat buat semua.

 

Dalam satu sudut lain, kisah remangan bulu roma di atas bagi saya menjadi “tombol pintu hidayah” yang mengingatkan kita semua betapa kita ini sebenarnya pernah berjanji untuk bertuhankan Allah. Apabila telinga atau mata menangkap kalam Tuhan, jiwa segera tersentuh menghasilkan tindak balas pada kulit seraya hati jantung berkata! Inilah dia “Tuhan” yang aku cari selama ini. Perhatikan firman Allah ini:

 

وَإِذْ أَخَذَ رَبُّكَ مِنْ بَنِي آدَمَ مِنْ ظُهُورِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَأَشْهَدَهُمْ عَلَى أَنْفُسِهِمْ أَلَسْتُ بِرَبِّكُمْ قَالُوا بَلَى شَهِدْنَا أَنْ تَقُولُوا يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِنَّا كُنَّا عَنْ هَذَا غَافِلِينَ

 

Ertinya: Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak Adam (turun-temurun) daripada (tulang) belakang mereka, dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Dia bertanya dengan firman-Nya): "Bukankah Aku tuhan kamu?" Mereka semua menjawab: "Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi". Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: "Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini" (al-A’raf [7:172]).

 

Ayat ini mengingatkan kita semua bahawa kita sebenarnya pernah mengikat “janji iman” dengan Allah lama dahulu di alam roh sebelum kita tercampak ke dunia ini.  Semoga kisah dari Jepun ini membuka mata hati kita agar sentiasa berdamping dengan al-Quran dan menggali isinya secara “baca, faham dan amal.” Biar selepas ini kulit dan bulu roma kita segera meremang naik kerana kagum dan takut kepada kehebatan Allah. Mudah-mudahan ia akan menjadi saksi iman kita kepada Allah di akhirat kelak, Insya-Allah!

Sunday, November 5, 2017

SENI DOA UNTUK ANAK-ANAK SPM

SENI DOA UNTUK ANAK-ANAK SPM

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

"Ya Allah! Mudahkan anakku menjawab peperiksaan dan berikanlah dia keputusan cemerlang  SUPAYA KELAK DIA  BOLEH BERBAKTI PADA AGAMA-MU."

Antara seni doa yang berkesan mendapat kemakbulan Allah adalah meletakkan keutamaan pada Allah mengatasi kehendak kita. Perhatikan  doa nabi Ibrahim ini:

رَبَّنَا إِنِّي أَسْكَنْتُ مِنْ ذُرِّيَّتِي بِوَادٍ غَيْرِ ذِي زَرْعٍ عِنْدَ بَيْتِكَ الْمُحَرَّمِ رَبَّنَا لِيُقِيمُوا الصَّلَاةَ فَاجْعَلْ أَفْئِدَةً مِنَ النَّاسِ تَهْوِي إِلَيْهِمْ وَارْزُقْهُمْ مِنَ الثَّمَرَاتِ لَعَلَّهُمْ يَشْكُرُونَ

Ertinya: (Nabi Ibrahim berdoa) "Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian daripada zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Makkah) yang tidak tanaman padanya, di sisi rumah-Mu yang diharamkan mencerobohinya. WAHAI TUHAN KAMI, (MEREKA DITEMPATKAN DI SITU) SUPAYA MEREKA MENDIRIKAN SOLAT (DAN MEMAKMURKANNYA DENGAN IBADAT). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur (Ibrahim  [14:37]).

Sebenarnya baginda mahu agar keluarganya yang ditinggalkan di Mekah sentiasa selamat sejahtera, namun baginda tidak memohon begitu. Sebaliknya baginda memohon supaya hak Allah dilaksanakan ahli keluarganya iaitu "MENDIRIKAN SOLAT." Logiknya, mana mungkin mereka mampu dirikan solat jika mereka tidak dijaga terlebih dahulu oleh Allah!

Ini antara seni doa yang boleh kita lakukan bagi menjamin pemakbulan daripada Allah.

Selain itu, doa kita sebagai ibu bapa mudah menerjah awan naik ke langit, sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

ثَلَاثُ دَعَوَاتٍ مُسْتَجَابَاتٌ لَا شَكَّ فِيهِنَّ دَعْوَةُ الْوَالِدِ وَدَعْوَةُ الْمُسَافِرِ وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ

Ertinya: 3 jenis doa yang tiada keraguan pada penerimaannya (oleh Allah), iaitu doa (ibu) bapa kepada anaknya (sama ada doa yang baik atau buruk), doa orang musafir dan doa orang yang sedang dizalimi (Sunan Abu Dawud).

Aturlah doa dengan betul semoga ia menjadi sebab pemakbulan luar biasa oleh Allah!

- 9:46 pm @ 4/11/2017 -

Saturday, November 4, 2017

PERLANTIKAN HARUN AS BUKAN KEBETULAN

PERLANTIKAN HARUN AS BUKAN KEBETULAN

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Selasa (al-Qasas [28:34-35]) pada  3 November 2015.

"Saya tak pandai berniaga Ustaz! Tapi terus terang saya cakap, saya dapat bisnes ini sebab kroni. Saya kenal rapat dengan seorang VIP. "

Pernah seorang murid mengaku sedemikian kepada saya. Itulah lumrah manusia, memang cenderung melampiaskan ni'mat kepada orang yang rapat dan kita kenali. Dalam bahasa sinis politik ia disebut kronisme dan nepotisme. Kelas malam tadi (3 November 2015) membicarakan kisah nabi Musa AS “melobi” nama nabi Harun AS sebagai pembantunya.

Ni'mat terbesar yang dikurniakan kepada manusia adalah pangkat kenabian. Lebih istimewa ia bukan sesuatu yang boleh dilobi kerana Pemberi anugerah itu adalah Pemilik alam semesta:

اللَّهُ أَعْلَمُ حَيْثُ يَجْعَلُ رِسَالَتَهُ

Ertinya:  Allah lebih mengetahui di mana (dan kepada siapakah yang sepatutnya) Dia berikan jawatan Rasul (dan wahyu) yang diberikanNya itu (al-An'am [6:124]).

Tapi lain perihalnya dengan Nabi Harun AS. Baginda mendapat ni'mat ini setelah ia disarankan oleh nabi Musa AS. Seakan dikata "kabelnya" kuat sehingga saranan itu diterima dan Harun terus dilonjak menjadi seorang Rasul:

وَأَخِي هَارُونُ هُوَ أَفْصَحُ مِنِّي لِسَانًا فَأَرْسِلْهُ مَعِيَ رِدْءًا يُصَدِّقُنِي إِنِّي أَخَافُ أَنْ يُكَذِّبُونِ (34) قَالَ سَنَشُدُّ عَضُدَكَ بِأَخِيكَ وَنَجْعَلُ لَكُمَا سُلْطَانًا فَلَا يَصِلُونَ إِلَيْكُمَا بِآَيَاتِنَا أَنْتُمَا وَمَنِ اتَّبَعَكُمَا الْغَالِبُونَ (35)

Ertinya: Dan saudaraku - Harun, ia lebih fasih lidahnya daripadaku, maka utuslah dia bersama-samaku sebagai penyokong yang mengakui kebenaranku; sesungguhnya aku bimbang bahawa mereka akan mendustakan daku". Allah berfirman: "Kami akan menguatkan tenaga dan daya-usahamu dengan saudaramu (Harun), dan Kami akan memberikan kuasa kemenangan kepada kamu berdua oleh itu mereka tidak akan sampai kepada maksud membahayakan atau mengalahkan kamu. Dengan membawa ayat-ayat keterangan Kami itu, kamu berdua serta pengikut-pengikut kamu akan menang" (al-Qasas [28:34-35]).

Dalam ayat lain diulang sebut kisah ini:

وَوَهَبْنَا لَهُ مِنْ رَحْمَتِنَا أَخَاهُ هَارُونَ نَبِيًّا

Ertinya: Dan Kami kurniakan kepadanya dari rahmat Kami, saudaranya: Harun, yang juga berpangkat Nabi (Maryam [19:53]).

Memang Nabi Musa AS bukan calang-calang nabi, baginda sangat dipandang Allah sehingga saranan perlantikan Harun AS terus diterima tanpa tangguh. Sehingga ada ulama mengaitkan keistimewaan Musa AS yang sangat dipandang Allah ini dengan maksud firman Allah (Tafsir Ibn Kathir):

وَكَانَ عِنْدَ اللَّهِ وَجِيهًا

Ertinya: Dan adalah (Musa) seorang yang mulia di sisi Allah (al-Ahzab [33:69]).

Pun begitu, perlu difahami pemilihan nabi Harun AS bukan semata-mata kerana saranan Musa, tapi berkait rapat dengan kualiti rohani nabi Harun AS itu sendiri. Memang semua yang telah, sedang dan bakal berlaku ada dalam ilmu Allah jauh sebelum penciptaan alam ini lagi:

وَمَا مِنْ غَائِبَةٍ فِي السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ إِلَّا فِي كِتَابٍ مُبِينٍ

Ertinya: Dan tiada sesuatu perkara yang ghaib di langit dan di bumi, melainkan tertulis dalam Kitab yang terang nyata (Luh Mahfuz) (al-Naml [27:75]).

Allah menggerakkan Musa mencalonkan Harun kerana Harun adalah manusia yang paling layak dari sudut rohani. Sungguh logik dikatakan bonda mereka telah mendidik kedua anaknya ini dengan akhlak tertinggi untuk persiapan menjadi nabi sebagaimana ilham Allah kepada ibu mereka ketika Musa baru dilahirkan:

وَأَوْحَيْنَا إِلَىٰ أُمِّ مُوسَىٰ أَنْ أَرْضِعِيهِ ۖ فَإِذَا خِفْتِ عَلَيْهِ فَأَلْقِيهِ فِي الْيَمِّ وَلَا تَخَافِي وَلَا تَحْزَنِي ۖ إِنَّا رَادُّوهُ إِلَيْكِ وَجَاعِلُوهُ مِنَ الْمُرْسَلِينَ

Ertinya: Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa:" Susukanlah dia; dalam pada itu, jika engkau takutkan sesuatu bahaya mengenainya (dari angkara Firaun), maka (letakkanlah dia di dalam peti dan) lepaskanlah dia ke laut; dan janganlah engkau merasa bimbang dan jangan pula berdukacita; sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu, DAN KAMI AKAN MELANTIKNYA MENJADI SALAH SEORANG DARI RASUL-RASUL KAMI (al-Qasas [28:7]).

Di sini saya turunkan 2 ayat yang menyokong teori saya ini:

1) Nabi Harun sangat warak dan halus jiwanya. Dalam peristiwa penyembahan patung anak lembu Bani Isra'il, baginda cuba sedaya mampu tidak berkeras dengan Bani Isra’il dan mengelakkan berlakunya pertumpahan darah. Kisahnya, ketika nabi Musa AS naik ke Gunung Tur Sinai bermunajat kepada Allah, nabi Harun diamanahkan menjaga Bani Isra'il. Kelembutan dan kehalusan jiwa baginda dimanipulasi oleh Bani Isra'il sehingga baginda sendiri hampir terbunuh. Setelah Musa pulang, Harun menerangkan apa yang berlaku:

قَالَ يَا هَارُونُ مَا مَنَعَكَ إِذْ رَأَيْتَهُمْ ضَلُّوا (92) أَلَّا تَتَّبِعَنِ أَفَعَصَيْتَ أَمْرِي (93) قَالَ يَا ابْنَ أُمَّ لَا تَأْخُذْ بِلِحْيَتِي وَلَا بِرَأْسِي إِنِّي خَشِيتُ أَنْ تَقُولَ فَرَّقْتَ بَيْنَ بَنِي إِسْرَائِيلَ وَلَمْ تَرْقُبْ قَوْلِي (94)

Ertinya: (Sekembalinya), Nabi Musa berkata: "Wahai Harun, apakah halangannya yang menghalangmu ketika engkau melihat mereka sesat, "Daripada menurutku? Adakah engkau ingkar akan suruhanku?" Nabi Harun menjawab: "Wahai anak ibuku! Janganlah engkau meragut janggutku dan janganlah menarik (rambut) kepalaku. Sesungguhnya aku takut bahawa engkau akan berkata kepadaku: “ENGKAU TELAH MEMECAH-BELAHKAN KAUM BANI ISRAIL SESAMA SENDIRI, DAN ENGKAU TIDAK BERHATI-HATI MENGAMBIL BERAT PESANANKU!” (Taha [20:92-94]).

Namun begitu, memiliki hati yang halus dan baik ada kalanya tidak sesuai untuk berhadapan dengan manusia degil seperti Bani Isra’il. Apakan daya, Musa adalah Musa dan Harun adalah Harun.

2) Maryam digelar sebagai adik perempuan Harun AS:

فَأَتَتْ بِهِ قَوْمَهَا تَحْمِلُهُ قَالُوا يَا مَرْيَمُ لَقَدْ جِئْتِ شَيْئًا فَرِيًّا (27) يَا أُخْتَ هَارُونَ مَا كَانَ أَبُوكِ امْرَأَ سَوْءٍ وَمَا كَانَتْ أُمُّكِ بَغِيًّا (28)

Ertinya: Kemudian baliklah dia kepada kaumnya dengan mendokong anaknya (Nabi Isa AS), mereka pun menempelaknya dengan berkata: Wahai Maryam! Sesungguhnya engkau telah melakukan suatu perkara yang besar salahnya! "WAHAI SAUDARA PEREMPUAN HARUN, bapamu bukanlah seorang yang buruk akhlaknya, dan ibumu pula bukanlah seorang perempuan jahat!"  (Maryam [19:27-28]).
 
Jarak zaman antara nabi Harun AS dan Maryam bonda nabi Isa AS sangat jauh. Lalu mengapa beliau digelar sebagai adik perempuan Harun? Para ulama mempunyai beberapa pendapat antaranya, (1) pada zaman Maryam sebarang kesolehan akan disandarkan kepada nabi Harun AS. Pada zaman itu juga ada seorang lelaki soleh bernama Harun yang sangat kuat ibadat. Pada hari kematiannya puluhan ribu mengikuti jenazahnya sebagai tanda hormat. Kesolehan Maryam dianggap setanding kesolehan lelaki soleh yang bernama Harun itu sehingga mereka berdua dikiaskan sebagai adik beradik, (2) Maryam berasal keturunan nabi Harun AS, (3) Maryam sangat tekun beribadat sehingga digelar adik perempuan nabi Harun AS yang juga sangat soleh, warak lagi kuat beribadat (Tafsir al-Tabari, Tafsir Ibn Kathir & Tafsir al-Razi).

Kesimpulannya, pemilihan nama Harun AS sebagai pembantu nabi Musa AS menunjukkan baginda memang seorang yang berkualiti lagi layak menjawat jawatan tersebut dan bukannya bersandar kepada aspek kronisme atau nepotisme semata. Lalu gandingan 2 Rasul hebat ini menjadi bukti betapa kerja berpasukan “TEAM WORK” sangat penting dalam menjayakan usaha dakwah. Ya Allah! Berikanlah kepada kami pembantu untuk menegakkan agama ini sehebat gandingan Musa dan Harun AS.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...