Tuesday, September 26, 2017

IKTIBAR TAUBAT NABI MUSA

IKTIBAR TAUBAT NABI MUSA

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Selasa (al-Qasas [28:15-17]) pada 1 September 2015. Antara isunya adalah doa nabi Musa AS agar dijauhi dari membantu orang yang zalim seperti Fir’awn atau kaki gaduh dari kalangan Bani Isra’il.

Memang bukan salah nabi Musa AS. Ia berlaku diluar kawalan baginda. Baginda langsung tidak menyangka satu tumbukan mudah dengan niat mengundurkan kemaraan si Qibti itu langsung meragut nyawanya. Rasa menyesal terus menghantui baginda kerana tersilap menyahut bantuan lelaki sebangsa baginda (Bani Isra’il) bergaduh. Kisahnya disebut dalam firman Allah ini:

وَدَخَلَ الْمَدِينَةَ عَلَى حِينِ غَفْلَةٍ مِنْ أَهْلِهَا فَوَجَدَ فِيهَا رَجُلَيْنِ يَقْتَتِلَانِ هَذَا مِنْ شِيعَتِهِ وَهَذَا مِنْ عَدُوِّهِ فَاسْتَغَاثَهُ الَّذِي مِنْ شِيعَتِهِ عَلَى الَّذِي مِنْ عَدُوِّهِ فَوَكَزَهُ مُوسَى فَقَضَى عَلَيْهِ قَالَ هَذَا مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ عَدُوٌّ مُضِلٌّ مُبِينٌ (15) قَالَ رَبِّ إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي فَاغْفِرْ لِي فَغَفَرَ لَهُ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ (16)

Ertinya: Dan masuklah ia ke bandar (Mesir) dalam masa penduduknya tidak menyedarinya, lalu didapatinya di situ dua orang lelaki sedang berkelahi, - seorang dari golongannya sendiri dan yang seorang lagi dari pihak musuhnya. Maka orang yang dari golongannya meminta tolong kepadanya melawan orang yang dari pihak musuhnya; “MUSA PUN MENUMBUKNYA LALU MENYEBABKAN ORANG ITU MATI.” (pada saat itu) Musa berkata: "Ini adalah dari kerja Syaitan, sesungguhnya Syaitan itu musuh yang menyesatkan, yang nyata (angkaranya) ". Ia merayu (dengan sesalnya): "Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menganiaya diri sendiri; oleh itu ampunkanlah - apalah jua kiranya - akan dosaku". (Maka Allah Taala menerima taubatnya) lalu mengampunkan dosanya; sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (al-Qasas[28:15-16]).

Masakan sekali tumbuk sudah meragut nyawa? Kalau begitu, jika masuk pertandingan tinju pasti Musa akan sapu bersih kejuaraannya. Itulah hakikat tenaga nabi Musa, tenaganya seorang menyamai tenaga 10 lelaki (Tafsir Ibn Kathir).

Walaupun terbukti perkasa, Musa berdoa agar kekuatannya tidak disalurkan ke lorong gelap dengan menjadi “macai atau algojo” manusia zalim:

قَالَ رَبِّ بِمَا أَنْعَمْتَ عَلَيَّ فَلَنْ أَكُونَ ظَهِيرًا لِلْمُجْرِمِينَ (17)

Ertinya: (Musa berdoa lagi): "Wahai Tuhanku, demi nikmat-nikmat yang Engkau kurniakan kepadaku, (PELIHARALAH DAKU) SUPAYA AKU TIDAK AKAN MENJADI PENYOKONG KEPADA GOLONGAN YANG BERSALAH" (al-Qasas[28:17]).

Si zalim yang dimaksudkan Musa AS dalam doanya itu bukan sahaja ayah angkatnya Fir’awn, tetapi lelaki kaki gaduh dari bangsanya sendiri (Tafsir al-Qurtubi). Apa pula pengajaran untuk kita yang hidup pada zaman ini? Pada zaman ini banyak sekali kita lihat orang yang ada sedikit kekuatan tunduk membuta tuli kepada ketua yang jahat. Apa sahaja arahan ketuanya yang bersifat binatang akan dituruti bak wahyu Tuhan lalu seteru ketuanya menjadi mangsa kezaliman. Ada sahaja orang yang tak bersalah merengkok dalam penjara atau jatuh tersungkur dan teraniaya.

Berapa ramai “TEMAN SEBANGSA atau SEPARTI” sanggup menutup mata hati menyokong pendirian salah temannya atas alasan “ini hari awak, besok mungkin hari saya.” Hari ini saya jaga belakang awak walau terang-terang awak bersalah kerana esok mungkin awak pula akan menjaga belakang saya. Inilah yang dikatakan sokong membawa rebah. Rebahnya pula bukan rebah biasa tetapi rebah yang disambar api neraka:

وَلَا تَرْكَنُوا إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ وَمَا لَكُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ مِنْ أَوْلِيَاءَ ثُمَّ لَا تُنْصَرُونَb

Ertinya: Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan (Hud[11:113]).

Bantulah diri kita dengan menyelamatkannya dari disambar api neraka. Bantulah juga sahabat kita yang dizalimi dan yang menzalimi orang lain. Bagaimana? Hayatilah sabda Rasulullah SAW ini:

انْصُرْ أَخَاكَ ظَالِمًا أَوْ مَظْلُومًا قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ هَذَا نَنْصُرُهُ مَظْلُومًا فَكَيْفَ نَنْصُرُهُ ظَالِمًا قَالَ تَأْخُذُ فَوْقَ يَدَيْهِ

Ertinya: Bantulah saudarmu yang berlaku zalim dan yang dizalimi. Para sahabat lalu bertanya: “Wahai Rasulullah! (Betul dan logik) kami bantu yang ini kerana dia dizalimi, namun begitu mana mungkin kami membantu yang berlaku zalim? Rasulullah menjawab: Bantu (si zalim) dengan menghalangnya dari berlaku zalim  (Sahih al-Bukhari).

Contohilah nabi Musa AS dalam kisah ini. Sedikit kuasa dan tenaga yang dipinjamkan Allah itu hanya sementara. Jangan relakan ia dieksploit oleh mana-mana manusia yang zalim kerana kelak ia akan menjadi sesalan berpanjangan di akhirat.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...