Wednesday, August 23, 2017

SYUKURI NI'MAT PENDENGARAN DAN PENGLIHATAN

SYUKURI NI’MAT PENDENGARAN DAN PENGLIHATAN

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Ramai manusia sukar bersyukur atas limpahan ni’mat Allah pada mereka. Sungguh! Orang yang sentiasa bersyukur adalah golongan minoriti yang selalu dipuji Allah:

اعْمَلُوا آلَ دَاوُودَ شُكْرًا وَقَلِيلٌ مِنْ عِبَادِيَ الشَّكُورُ

Ertinya: (Setelah itu Kami perintahkan): "Beramal-lah kamu wahai keluarga Daud untuk bersyukur!" DAN SEMEMANGNYA SEDIKIT SEKALI ANTARA HAMBAKU YANG BERSYUKUR (Saba’ [34:13]).

Ni’mat pendengaran dan penglihatan antara ni’mat yang sangat penting untuk manusia. Apa akan jadi jika Allah tarik seketika pinjaman 2 deria ini daripada kita. Hidup kita boleh jadi huru hara dan tak keruan. Apabila ianya hilang, barulah kita faham kuasa Allah meminjamkan 2 deria ini sebagaimana firman Allah:

قُلْ مَنْ يَرْزُقُكُمْ مِنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ أَمَّنْ يَمْلِكُ السَّمْعَ وَالْأَبْصَارَ وَمَنْ يُخْرِجُ الْحَيَّ مِنَ الْمَيِّتِ وَيُخْرِجُ الْمَيِّتَ مِنَ الْحَيِّ وَمَنْ يُدَبِّرُ الْأَمْرَ فَسَيَقُولُونَ اللَّهُ فَقُلْ أَفَلَا تَتَّقُونَ

Ertinya: Tanya mereka (yang musyrik itu): "Siapa Yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi? ATAU SIAPAKAH YANG MENGUASAI PENDENGARAN DAN PENGLIHATAN? Dan siapa yang mengeluarkan makhluk yang hidup daripada benda yang mati, dan mengeluarkan benda yang mati daripada makhluk hidup? Dan siapa pula yang mentadbir urusan sekalian alam? "(Dengan pertanyaan itu) maka mereka (yang musyrik) tetap akan menjawab (mengakui) dengan berkata: "Allah jualah yang menguasai segalanya! "Oleh itu, katakanlah: "(Jika kamu mengakui yang demikian), maka mengapa kamu tidak mahu bertaqwa? (Yunus [10:31]).

Dalam banyak ayat, Allah dahulukan deria pendengaran berbanding penglihatan. Perhatikan ayat ini:

وَاللَّهُ أَخْرَجَكُمْ مِنْ بُطُونِ أُمَّهَاتِكُمْ لَا تَعْلَمُونَ شَيْئًا وَجَعَلَ لَكُمُ السَّمْعَ وَالْأَبْصَارَ وَالْأَفْئِدَةَ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Ertinya: Dan Allah mengeluarkan kamu daripada perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatupun; dan Dia kurniakan kepada kamu PENDENGARAN DAN PENGLIHATAN serta hati akal fikiran); supaya kamu bersyukur (al-Nahl[16:78]).

Juga firman Allah:

ثُمَّ سَوَّاهُ وَنَفَخَ فِيهِ مِنْ رُوحِهِ وَجَعَلَ لَكُمُ السَّمْعَ وَالْأَبْصَارَ وَالْأَفْئِدَةَ قَلِيلًا مَا تَشْكُرُونَ

Ertinya: Kemudian Dia sempurnakan kejadiannya (manusia), serta meniupkan padanya: roh ciptaan-Nya. Dan DIA KURNIAKAN KEPADA KAMU PENDENGARAN DAN PENGLIHATAN serta hati (akal fikiran), (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur (al-Sajdah [32:9]).

Antara sebab kenapa deria pendengaran didahulukan berbanding deria penglihatan adalah; deria pendengaran terlebih dahulu diberikan kepada manusia seawal mereka berada dalam janin ibu. Deria penglihatan hanya diperolehi manusia setelah mereka lahir ke dunia. Selain itu, orang buta masih mampu memahami sesuatu dengan deria pendengaran, tetapi si pekak sukar memahami sesuatu tanpa deria pendengaran.

Rasulullah SAW juga mengajar kita doa agar segala deria ini dikekalkan:

وَمَتِّعْنَا بِأَسْمَاعِنَا وَأَبْصَارِنَا وَقُوَّتِنَا مَا أَحْيَيْتَنَا وَاجْعَلْهُ الْوَارِثَ مِنَّا

Ertinya: Dan berilah kesenangan kepada kami pada pendengaran, penglihatan dan kekuataan  selama Engkau masih menghidupkan kami. Dan jadikanlah ia berkekalan sepanjang hidup kami (Sunan al-Tirmidhi).       

Jika kita gagal menggunakan deria itu sebagaimana kehendak Allah, maka kita jauh lebih buruk daripada binatang. Firman Allah:

وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرًا مِنَ الْجِنِّ وَالْإِنْسِ لَهُمْ قُلُوبٌ لَا يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لَا يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آذَانٌ لَا يَسْمَعُونَ بِهَا أُولَئِكَ كَالْأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ أُولَئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ

Ertinya: Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak daripada jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat Allah), DAN YANG MEMPUNYAI MATA (TETAPI) TIDAK MAHU MELIHAT DENGANNYA (BUKTI KEESAAN ALLAH) DAN YANG MEMPUNYAI TELINGA (TETAPI) TIDAK MAHU MENDENGAR DENGANNYA (AJARAN DAN NASIHAT); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang yang lalai (al-A’raf [7:179]).

Lalu bagaimana caranya kita bersyukur atas ni’mat 2 deria ini? Tidak lain dengan menggunakannya seiring dengan kehendak “PEMILIK ASAL YANG MEMINJAMKAN KITA DERIA TERSEBUT.” Jangan sampai telinga kita digunakan untuk dengar sesuatu yang Allah tak suka. Jangan sampai mata dikedipkan melihat sesuatu yang terlarang. Kalau boleh, dengar dan lihat semua benda dalam lingkungan redha Allah sahaja sebagaimana tingkah laku para kekasih Allah yang disebut dalam hadith Qudsi ini:

مَنْ عَادَى لِي وَلِيًّا فَقَدْ آذَنْتُهُ بِالْحَرْبِ وَمَا تَقَرَّبَ إِلَيَّ عَبْدِي بِشَيْءٍ أَحَبَّ إِلَيَّ مِمَّا افْتَرَضْتُ عَلَيْهِ وَمَا يَزَالُ عَبْدِي يَتَقَرَّبُ إِلَيَّ بِالنَّوَافِلِ حَتَّى أُحِبَّهُ فَإِذَا أَحْبَبْتُهُ كُنْتُ سَمْعَهُ الَّذِي يَسْمَعُ بِهِ وَبَصَرَهُ الَّذِي يُبْصِرُ بِهِ وَيَدَهُ الَّتِي يَبْطِشُ بِهَا وَرِجْلَهُ الَّتِي يَمْشِي بِهَا وَإِنْ سَأَلَنِي لَأُعْطِيَنَّهُ وَلَئِنْ اسْتَعَاذَنِي لَأُعِيذَنَّهُ

Ertinya: Sesiapa yang memusuhi wali-Ku maka sesungguhnya Aku isytihar perang dengannya. Selama mana seorang hamba itu mendekatkan diri pada-Ku dengan sesuatu amalan yang Aku sukai serta Aku fardhukan padanya,  atau selagi mana hamba-Ku mendekatkan diri kepada-Ku dengan amalan sunat sehinggalah Aku cintainya. Setelah Aku cintainya, MAKA AKU MENJADI PENDENGARAN YANG DIA GUNAKAN UNTUK MENDENGAR, (AKU JUGA MENJADI) PANDANGANNYA YANG DIA GUNAKAN UNTUK MELIHAT DENGANNYA, (Aku juga menjadi) tangannya yang dia memegang dengan keras, (Aku juga menjadi) kakinya yang dia gunakan untuk berjalan. Sekiranya dia memohon padaKu sudah pasti akan aku tunaikan. Sekiranya dia memohon perlindungan, sudah pasti aku akan melindunginya…(Sahih al-Bukhari).

Semoga kita semua sentiasa bersyukur dengan pinjaman ni’mat pendengaran dan penglihatan yang Allah amanahkan semasa hidup di dunia ini!

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu dan perkongsian berkaitan Tadabbur al-Quran di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

https://www.facebook.com/Tadabbur-Centre-432946623753927/

Dapatkan buku penulis:

http://www.telagabiru.com.my/produk/buku/fail-sulit-mimpi

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...