Wednesday, August 23, 2017

NAMA DISEBUT SANG RAJA ALAM SEMESTA....APA PERASAAN ANDA?

NAMA DISEBUT SANG RAJA ALAM SEMESTA...APA PERASAAN ANDA?

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Pada suatu hari, ada tetamu datang bertandang. Si tetamu anda kenal sebagai seorang yang sangat rapat dengan sultan. Agak bertuah jika dia boleh datang ziarah anda. Sampai sahaja dia kata:

"Tuanku Sultan kirim salam pada anda. Dia harap sangat anda dapat jadi Imam di Istana kalau anda kelapangan."

Anda sangsi dan terkejut, lantas bertanya:

"Tuanku Sultan sebut nama saya?"

Tetamu anda jawab:

"Ya!"

Lantas ditunjukkan video ucapan Sultan pada anda. Apa perasaan anda pada waktu itu? Pasti tergumam tak terkata. Gembira tak bersuara.

Itu baru sebuah kisah Sultan di bumi yang ada sempadan taranya. Dalam negaranya, dia adalah sultan yang dipatuhi dan dihormati, titahnya dijunjung, suruhannya dijulang.  Dalam negara lain dia boleh sahaja diherdik atau diabaikan kerana daulatnya sudah tawar dek keluarnya dia daripada sempadan jajahannya.

Bayangkan apa perasaan anda jika Raja Yang menguasai seluruh alam semesta menyebut nama anda? Inilah yang berlaku kepada seorang sahabat nabi:

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ أَنَّ نَبِيَّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهم عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لأُبَيِّ بْنِ كَعْبٍ إِنَّ اللَّهَ أَمَرَنِي أَنْ أُقْرِئَكَ الْقُرْآنَ قَالَ أَاللَّهُ سَمَّانِي لَكَ قَالَ نَعَمْ قَالَ وَقَدْ ذُكِرْتُ عِنْدَ رَبِّ الْعَالَمِينَ قَالَ نَعَمْ فَذَرَفَتْ عَيْنَاهُ

Ertinya: “Nabi saw berkata kepada Ubay bin Ka'ab RA; Sesungguhnya Allah swt memerintahkan Aku mengajar kamu Al-Quran. Tanya Ubay ra.; Adakah Allah menyebut namaku? Jawab Nabi saw; Ya! Tanya Ubai: Namaku telah disebut di sisi Tuhan semesta alam? Jawab Nabi saw; Ya! Maka Ubai pun mengalirkan airmata (Sahih al-Bukhari).

Ini antara kehebatan Ubay bin Ka'ab yang mengkagumkan semua orang. Antara punca kemuliaan Ubay adalah kemahirannya dalam ilmu al-Quran.

Ayuh kita bersama mendalami al-Quran dalam semua cabang ilmunya sedaya mampu, semoga nama kita turut disebut oleh Allah secara khusus dalam kalangan para malaikat-Nya. Amin!

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...