Wednesday, August 23, 2017

KELEBIHAN SEPULUH HARI AWAL ZULHIJJAH

KELEBIHAN SEPULUH HARI AWAL ZULHIJJAH

Soalan: Dr, MAZA, apakah benar bahawa sepuluh hari bulan Zulhijjah ini paling terbaik untuk kita beribadah. Tidakkah Ramadan bulan yang terbaik? Jika benar sepuluh hari Zulhijjah terbaik, apakah amalan yang patut saya lakukan?
Jawapan Dr MAZA: Memang benar, terdapat dalil daripada al-Quran dan al-Sunnah yang memberi maksud sepuluh hari awal Zul Hijjah merupakan hari-hari yang penuh dengan kelebihan dan kurniaan Allah. Bahkan dalam hadis, Nabi s.a.w menyatakan sepuluh awal Zulhijjah merupakan hari-hari yang paling terbaik untuk seseorang melakukan apa-apa amalan soleh. Berikut dalil dan perbincangan;

1. Firman Allah dalam Surah al-Fajr ayat 1-2:
وَالْفَجْرِ (1) وَلَيَالٍ عَشْرٍ (2)
(maksudnya: Demi waktu fajar. Dan (demi) malam-malam yang sepuluh)

Menurut Ibn ‘Abbas, Abdullah bin al-Zubair, Mujahid dan ramai kalangan ulama salaf dan khalaf bahawa yang dimaksudkan dengan sepuluh malam dalam di ayat ialah sepuluh hari (awal) Zul Hijjah (lihat: Ibn Kathir, Tafsir Ibn Kathir, 2/593. Dar Tibah).

Apabila Allah bersumpah dengan sepuluh hari Zulhijjah tersebut, pasti ia mempunyai keistimewaan yang tersendiri.

2. Dalam hadis Nabi s.a.w :
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: "مَا مِنْ أَيَّامٍ العَمَلُ الصَّالِحُ فِيهِنَّ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ مِنْ هَذِهِ الأَيَّامِ العَشْرِ"، فَقَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَلَا الجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: "وَلَا الجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ، إِلَّا رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ بِشَيْءٍ"
Daripada Ibn ‘Abbas, dia berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: “Tiada hari-hari yang amalan soleh padanya paling Allah sukai melebihi sepuluh hari ini (sepuluh hari awal Zulhijjah)”. Mereka bertanya: “Sekalipun jihad pada jalan Allah?”. Jawab Rasulullah s.a.w: Sekalipun jihad pada jalan Allah, melainkan seorang lelaki yang keluar (berjuang) dengan diri dan hartanya dan tidak mendapat semua itu kembali walaupun sedikit” (Riwayat al-Bukhari, al-Tirmizi -lafaz di atas adalah lafaz al-Tirmizi- , Abu Daud, Ibn Majah dll).

Dalam riwayat al-Darimi (berstatus hasan) daripada Ibn ‘Abbas, lafaz hadis seperti berikut:

مَا مِنْ عَمَلٍ أَزْكَى عِنْدَ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ وَلَا أَعْظَمَ أَجْرًا مِنْ خَيْرٍ يَعْمَلُهُ فِي عَشْرِ الْأَضْحَى

“Tiada amalan yang lebih mulia di sisi Allah dan lebih besar pahala daripada kebaikan yang seseorang lakukan pada sepuluh hari Adha (sepuluh hari awal Zulhijjah).”

Berdasarkan hadis di atas, maka sepuluh hari awal Zulhijjah merupakan hari-hari yang paling disukai oleh Allah untuk kita melakukan amalan soleh. Pahala yang dijanjikan paling banyak.

3. Para ulama berbincang, apakah hadis ini menunjukkan sepuluh hari Zulhijjah itu lebih afdal dari sepuluh hari terakhir Ramadan?
Dalam menilai hal ini, para ulama berbeza pendapat, ada yang berpendapat amalan soleh semasa sepuluh hari awal Zulhijjah ini lebih afdal dari semua hari termasuk sepuluh akhir Ramadan. Ada pula yang mempertahankan sepuluh akhir Ramadan itu lebih afdal.

Hasil dari perbahasan mereka, ada yang mentarjihkan bahawa amalan soleh pada waktu siang hari semasa sepuluh hari awal Zulhijjah lebih baik daripada semua hari termasuk sepuluh hari akhir Ramadan. Sementara amalan soleh pada malam hari sepuluh akhir Ramadan lebih afdal dibandingkan semua malam termasuk sepuluh malam akhir Zulhijjah. Alasan mereka kerana pada malam 10 akhir Ramadan terdapat Lailatul Qadar yang merupakan malam yang terbaik. Sementara pada siang 10 hari awal Zulhijjah terdapat Hari Arafah yang merupakan hari yang terbaik (sila lihat: ‘Ali al-Qari, Mirqah al-Mafatih Syarh Misykah al-Masabih, 3/1082. Beirut: Dar al-Fikr) .

4. Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani berpendapat keistimewaan sepuluh hari Zulhijjah kerana terkumpul padanya segala ibadah-ibadah utama; solat, puasa, sedekah (zakat) dan haji. Ini tidak terdapat pada waktu yang lain (lihat: Ibn Hajar al-‘Asqalani, Fath al-Bari, 2/459. Beirut: Dar al-Ma’rifah).

Maka, sepuluh hari awal Zulhijjah merupakan satu tempoh yang mana manusia beribadah kepada Allah dalam segala bentuknya. Ia benar-benar satu tempoh waktu pelbagai ibadah dipersembahkan oleh sekelian para hamba yang soleh. Allah merahmati waktu tersebut dengan memberikan ganjaran yang besar kepada apa sahaja amalan soleh yang dilakukan semasa sepuluh hari berkenaan.

5. Apapun yang jelasnya, hadis Nabi s.a.w tersebut menggalakan amalan soleh pada sepuluh hari awal Zulhijjah. Amalan soleh pada hari-hari tersebut paling disukai di sisi Allah serta paling besar ganjarannya dibandingkan hari-hari yang lain. Perkataan ‘amalan soleh’ itu merangkupi segala perbuatan baik yang disukai Allah. Ini termasuk solat, puasa, sedekah, bacaan al-Quran, zikir, tahmid, takbir, tahlil, tolong-menolong untuk kebaikan, menyebarkan ilmu, menyantuni anak yatim, membantu orang yang kesusahan, memberikan makan dan seumpamanya.

6. Maka, semasa tempoh sepuluh hari awal Zulhijjah ini marilah kita berusaha bersungguh-sungguh melakukan amalan yang mendapat pahala di sisi Allah. Demikian kita wajar menjauhkan diri dari dosa sebagai menghormati hari-hari yang Allah muliakan. Kita berusaha membanyakkan ibadah dan apa sahaja amalan baik. Ini kerana, semasa pahala meningkat, semasa itu amalan patut meningkat. Maka bergandalah amalan yang banyak dengan pahala yang besar.

7. Amalan yang wajib atau fardu kita perbaiki dan perindahkan. Maka bukan sahaja solat fardu, tetapi secara berjamaah. Demikian kita boleh membayar zakat wajib dalam tempoh ini. Meningkatkan berbuat baik kepada ibubapa, mengukuhkan lagi tarbiah untuk keluarga dan mereka yang menjadi tanggung jawab kita. Melakukan Amar Makruf dan Nahi Munkar dengan cara yang lebih baik.

Sementara amalan sunat ataupun nafilah seperti puasa sunat boleh dilakukan semasa sepuluh hari tersebut, apatahlagi pada Hari Arafah. Demikianlah membaca al-Quran, beristighfar, berdoa, bersedekah, membantu yang memerlukan dan seterusnya apa sahaja amalan yang baik di sisi Allah,  samada antara kita dengan Allah ataupun antara kita sesama hamba-hamba Allah yang lain.

Kesimpulannya, sepuluh hari ini bagaikan pesta amalan soleh yang kita wajar penuhi setiap detik di dalamnya. Ia merupakan peluang pahala paling besar yang Allah berikan kepada kita semua.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...