Thursday, August 17, 2017

BINATANG YAHUDI DALAM TUBUH MANUSIA

BINATANG YAHUDI DALAM TUBUH MANUSIA

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Sabtu (al-Anfal [8:55-57]) pada  6 Ogos 2016. Antara isunya adalah kejahatan Yahudi Madinah yang menikam Rasulullah SAW dari belakang dalam peristiwa perang Ahzab atau Khandaq.

Allah sangat sayangkan orang Yahudi. Allah tahu mereka sudah sekian lama menunggu nabi akhir zaman yang akan menyambung syariat nabi Musa AS yang sudah lama terputus. Penyambungan jambatan syariat ini bukan suatu musibah tetapi ni’mat terbesar yang wajib disyukuri kerana manusia yang hidup melata tanpa bimbingan syariat “SEUMPAMA BINATANG BERTUBUH MANUSIA.” Orang Yahudi Madinah yang soleh seperti Abdullah bin Salam RA sudah lama rindukan nabi ini. Sejurus mereka tahu Rasulullah SAW sudah muncul, air mata syukur mereka jatuh berlinangan dengan deras:

قُلْ آمِنُوا بِهِ أَوْ لَا تُؤْمِنُوا إِنَّ الَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ مِنْ قَبْلِهِ إِذَا يُتْلَى عَلَيْهِمْ يَخِرُّونَ لِلْأَذْقَانِ سُجَّدًا (107) وَيَقُولُونَ سُبْحَانَ رَبِّنَا إِنْ كَانَ وَعْدُ رَبِّنَا لَمَفْعُولًا (108) وَيَخِرُّونَ لِلْأَذْقَانِ يَبْكُونَ وَيَزِيدُهُمْ خُشُوعًا (109)

Ertinya: Katakanlah (wahai Muhammad kepada orang yang ingkar itu): "Sama ada kamu beriman kepada Al-Quran atau kamu tidak beriman, (tidaklah menjadi hal); kerana sesungguhnya orang yang diberi ilmu sebelum itu (Ahli Kitab) apabila dibacakan Al-Quran kepada mereka, mereka segera tunduk sujud (dalam keadaan hiba dan khusyuk); Serta mereka menegaskan (dalam sujudnya): "Maha Suci Tuhan kami! Sesungguhnya janji Tuhan kami tetap terlaksana." DAN MEREKA SEGERA TUNDUK SUJUD ITU SAMBIL MENANGIS, sedang Al-Quran menambahkan mereka khusyuk (al-Isra’ [17:107-109]).

Sifat fizikal dan rohani Rasulullah SAW begitu jelas dalam kitab mereka sehingga mereka dapat mengenali Rasulullah SAW lebih dari mereka mengenali anak mereka sendiri:

الَّذِينَ آتَيْنَاهُمُ الْكِتَابَ يَعْرِفُونَهُ كَمَا يَعْرِفُونَ أَبْنَاءَهُمْ وَإِنَّ فَرِيقًا مِنْهُمْ لَيَكْتُمُونَ الْحَقَّ وَهُمْ يَعْلَمُونَ

Ertinya: Orang (Yahudi dan Nasrani) yang Kami berikan Kitab itu mengetahui serta mengenalinya (Nabi Muhammad dan kebenarannya) sebagaimana mereka mengenal anak mereka sendiri. Dan sesungguhnya sebahagian dari mereka berusaha menyembunyikan kebenaran itu, sedang mereka mengetahui (salahnya perbuatan yang demikian) (al-Baqarah[2:146]).

Pun begitu, setelah baginda datang ke Madinah, sebahagian besar ulama Yahudi menolak baginda atas sentiment bangsa. Taksub bangsa menjadikan mereka “BODOH DALAM LICIK.” Bodoh kerana menolak kunci syurga yang sudah lama mereka tunggu, licik pula kerana mereka banyak helah mahu menjatuhkan Rasulullah SAW.

Setelah dilantik sebagai pemimpin Madinah, Rasulullah SAW memeterai perjanjian dengan penduduk Madinah termasuklah orang Yahudi. Semuanya bebas mengamalkan agama mereka, asal sahaja mereka wajib sama-sama menjaga keselamatan dan keharmonian Madinah. Ia terkandung dalam Piagam Madinah. Setelah umat Islam tewas kepada Musyrikin Quraysh dalam perang Uhud, pemimpin Yahudi Madinah melihat ia suatu peluang meruntuhkan kerajaan Islam Madinah. Mereka sudah menemui “kekuatan luar” yang pernah dan mampu menewaskan Rasulullah SAW. Berikutan itu pemimpin mereka secara senyap menemui pemimpin Musyrikin Mekah untuk membuat perikatan yang baru. Perikatan itu kemudiannya membentuk “belasan ribu” tentera yang menggempur Madinah dalam perang Ahzab atau Khandaq. Kisah pengkhianatan mereka dilaporkan dalam kitab Sirah. Anda boleh baca sendiri!

Alhamdulillah, rancangan jahat mereka gagal dan tentera bersekutu ditewaskan Allah dengan bantuan angin ribut yang mengganas memecah belahkan perikatan ini. Firman Allah:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا نِعْمَةَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ جَاءَتْكُمْ جُنُودٌ فَأَرْسَلْنَا عَلَيْهِمْ رِيحًا وَجُنُودًا لَمْ تَرَوْهَا وَكَانَ اللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرًا

Ertinya: Wahai orang yang beriman, kenangkanlah nikmat Allah yang dilimpahkanNya kepada kamu. Semasa kamu didatangi tentera (Al-Ahzab), LALU KAMI HANTARKAN KEPADA MEREKA ANGIN RIBUT (YANG KENCANG) SERTA ANGKATAN TENTERA (DARI MALAIKAT) YANG KAMU TIDAK DAPAT MELIHATNYA (al-Ahzab [33:9]).

Sesudah musuh bertempiaran lari, Allah mengarahkan Rasulullah menggempur “gunting dalam lipatan” umat Islam Madinah iaitu Yahudi Bani Qurayzah. Selepas selesai perang Ahzab, Rasulullah SAW pulang ke Madinah, meletakkan senjata dan mandi. Baginda kemudiannya didatangi Jibril AS yang tegas berkata:

وَضَعْتَ السِّلَاحَ فَوَاللَّهِ مَا وَضَعْتُهُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَيْنَ قَالَ هَا هُنَا وَأَوْمَأَ إِلَى بَنِي قُرَيْظَةَ قَالَتْ فَخَرَجَ إِلَيْهِمْ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Ertinya: Kamu sudah meletakkan senjata (Wahai Muhammad)? Demi Allah aku belum meletakkannya. Rasulullah SAW bertanya kepada Jibril: “Ke mana (arah kami perlu tuju)?” Jibril kemudiannya berkata “ARAH SANA” seraya mengisyaratkan arah perkampungan  Yahudi Bani Qurayzah. Setelah itu Rasulullah SAW bergegas ke sana (Sahih al-Bukhari & Muslim).

Setelah dikepung, mereka akhirnya dihukum pancung atas keputusan ketua orang Ansar iaitu Sa’ad bin Mu’adh RA. Mengapa Rasulullah SAW menyerahkan keputusan hukuman kepada Sa’ad bin Mu’adh? Sa’ad bin Mu’adh pernah bersekutu dengan Yahudi Bani Qurazyzah sebelum Rasulullah berhijrah ke Madinah. Setelah mendapat tahu Yahudi Bani Qurayzah melanggar perjanjian dengan Rasulullah dan mengikat perjanjian baru dengan orang Mekah, beliau berjumpa dengan pihak Yahudi untuk menghalang mereka, namun kedegilan Yahudi bak batu yang tak mampu dipecahkan dengan pukulan biasa.

Sa’ad juga mengalami cedera parah dipanah pihak musuh dalam perang Khandaq. Luka parah ini membawa kepada syahidnya beliau pada kemudian hari selepas perang Bani Qurayzah ini. Bagai dikata luka Sa’ad bin Mu’adh akibat pengkhianatan Yahudi Bani Qurayzah merangkumi “LUKA FIZIKAL DAN LUKA JIWA.” Oleh itu sangat logik hukuman bunuh dijatuhkan kepada mereka atas 3 sebab:

1) JENAYAH MENGKHIANATI SAHABAT SEPERJUANGAN KETIKA SEBELUM ISLAM (Sa’ad bin Mu’adh),

2) MENGKHIANATI PERJANJIAN SEDIA ADA dan,

3) MENGIKAT PERJANJIAN BARU DENGAN PIHAK MUSUH ATAS TUJUAN MENGKHIANATI PERJANJIAN SEDIA ADA YANG BELUM DIBATALKAN.

Setelah tahu latar kisah pengkhiatan mereka itu, barulah kita boleh memahami mengapa Allah memanggil mereka sebagai “SEJAHAT-JAHAT BINATANG” dalam ayat ini:

إِنَّ شَرَّ الدَّوَابِّ عِنْدَ اللَّهِ الَّذِينَ كَفَرُوا فَهُمْ لَا يُؤْمِنُونَ (55) الَّذِينَ عَاهَدْتَ مِنْهُمْ ثُمَّ يَنْقُضُونَ عَهْدَهُمْ فِي كُلِّ مَرَّةٍ وَهُمْ لَا يَتَّقُونَ (56) فَإِمَّا تَثْقَفَنَّهُمْ فِي الْحَرْبِ فَشَرِّدْ بِهِمْ مَنْ خَلْفَهُمْ لَعَلَّهُمْ يَذَّكَّرُونَ (57)

Ertinya: Sesungguhnya sejahat-jahat (makhluk) binatang yang melata di sisi (hukum dan ketetapan) Allah ialah orang yang kafir (yang degil dengan kekufurannya). Sebab itu mereka tidak (mahu) beriman. (Iaitu) orang yang engkau telah mengikat perjanjian setia dengan mereka, kemudian mereka mencabuli perjanjian setianya pada setiap kali, sedang mereka tidak mahu memelihara dirinya (dari keaiban mencabuli perjanjian itu). Oleh itu, jika engkau menemui mereka dalam peperangan maka hancurkanlah mereka (supaya dengan itu) orang yang di belakang mereka (gerun gentar); mudah-mudahan orang itu pula beringat (insaf) (al-Anfal [8:55-57]).

Inna Lillah! Jahat dan khianat adalah 2 sifat yang tidak layak dipakai oleh manusia. Memang patut mereka digelar “BINATANG YANG JAHAT” kerana semua jenayah mereka itu. Padan muka mereka kerana yang sengaja menempah bala dengan menolak kasih sayang Allah. Kisah mereka bukan sekadar catatan sejarah penghias dada al-Quran, tetapi wajib ditelan, dihadam biar segara mendarah daging dalam jiwa. Dengan itu GENETIK BODOH DALAM LICIK mereka tidak hinggap dalam jiwa kita. Usah khianati amanah, kesetiaan dan kepercayaan sesama kita kerana kelak nanti kita akan merana dihina atau dijauhi di dunia dan menggeletik hangus di bakar dalam neraka di  akhirat kelak! Mohon dijauhkan Allah!

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...