Saturday, August 19, 2017

AKU DIKEJUTKAN OLEH PAK WEIL TENTANG BELATUK

AKU DIKEJUTKAN OLEH PAK WEIL TENTANG BELATUK

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Belatuk bukan Hud-Hud. Dahulu saya beranggapan kedua burung ini sama, rupanya tidak. Pun begitu saya difahamkan keduanya berada dalam spesis yang sama. Apabila dibaca secara mendalam rupanya kedua burung ini berbeza rupa dan bentuknya. Itu satu isu.  Isu berikutnya yang sering menjadi tanda tanya saya adalah mengapa Hud-hud yang dicari oleh nabi Sulayman AS sebagaimana kisah yang tersohor dalam surah al-Naml? Mengapa tidak burung lain seperti helang, pipit, gagak, merpati atau merak? Ayuh kita susuri kitab Tafsir al-Quran mengapa burung Hud-hud yang dicari. Firman Allah:

وَتَفَقَّدَ الطَّيْرَ فَقَالَ مَا لِيَ لَا أَرَى الْهُدْهُدَ أَمْ كَانَ مِنَ الْغَائِبِينَ

Ertinya: Dan (setelah itu) Nabi Sulaiman memeriksa kumpulan burung (yang turut serta dalam tenteranya) lalu berkata: "Mengapa aku tidak melihat burung (Hud-hud) belatuk? Adakah ia dari mereka yang tidak hadir? (al-Naml [27:20]).

Menurut para ulama Tafsir, nabi Sulayman mencari Hud-hud kerana kemahirannya mencari air. Ini kerana apabila baginda AS sampai ke satu tempat bersama iringan rakyatnya sangat memerlukan air. Di saat itu biasanya baginda akan memanggil burung Hud-hud yang mampu terbang dan mengesan kedudukan “AIR YANG TERPENDAM” dalam bumi (Tafsir al-Tabari).

Teori tersebut seakan dikukuhkan lagi oleh kata-kata Hud-hud ketika melaporkan perihal kerosakan akidah penduduk Saba’ yang menyembah matahari:

وَجَدْتُهَا وَقَوْمَهَا يَسْجُدُونَ لِلشَّمْسِ مِنْ دُونِ اللَّهِ وَزَيَّنَ لَهُمُ الشَّيْطَانُ أَعْمَالَهُمْ فَصَدَّهُمْ عَنِ السَّبِيلِ فَهُمْ لَا يَهْتَدُونَ (24) أَلَّا يَسْجُدُوا لِلَّهِ الَّذِي يُخْرِجُ الْخَبْءَ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَيَعْلَمُ مَا تُخْفُونَ وَمَا تُعْلِنُونَ (25)

Ertinya: Hud-hud berkata: "Aku dapati raja perempuan itu dan kaumnya sujud kepada matahari dengan meninggalkan ibadat menyembah Allah, dan Syaitan pula memperelokkan pada pandangan mereka perbuatan (syirik) mereka, lalu menghalangi mereka daripada  jalan (yang benar); oleh itu mereka tidak beroleh petunjuk, - "(Mereka dihalangi oleh Syaitan) supaya mereka tidak sujud menyembah “ALLAH YANG MENGELUARKAN BENDA YANG TERSEMBUNYI DI LANGIT DAN (TERPENDAM) DALAM BUMI,” dan yang mengetahui apa yang kamu rahsiakan serta apa yang kamu zahirkan (al-Naml[27:24-25]).

Hud-hud menyebut kuasa Allah yang mampu mengeluarkan “BENDA YANG TERPENDAM DALAM BUMI.” Dalam satu tafsiran kepada perkataan الخبء  , Sa’id ibn al-Musayyab menyebut ia bermaksud “AIR.” Oleh itu ia agak selari dengan riwayat yang menyebut kelebihan Hud-hud yang mampu mengesan air dalam bumi (Tafsir Ibn Kathir).

Kisahnya, malam Sabtu lepas (5 Ogos 2017) saya pulang ke rumah mentua di Kampong Seribong, Pasir Tumboh, Kelantan. Seperti biasa apabila berada di kampong, saya akan pimpin solat maghrib bersama sedikit tazkirah. Dalam solat maghrib pada malam itu saya baca ayat 15 – 22 surah al-Naml. Lalu kisah nabi Sulayman AS dan burung hud-hud dibuka.

Selesai sahaja tazkirah pendek itu, seorang Jemaah yang dikenali sebagai Pak Weil (Ismail) berkongsi petua orang tua di kampong:

“Ikut kata orang tua dulu-dulu, kalau burung belatuk terbang menerpa ke tanah tapi dia tak berhenti di situ, itu tanda tempat tu ada air di bawah tanah.”

Saya agak terkejut dengan perkongsian Pak Weil dan ketika pulang ke rumah, bapa mentua saya memperkenalkan siapa Pak Weil. Beliau berkerja kampong. Antara kerjanya yang utama adalah panjat kelapa cari nira (tuak kalau ikut penggunaan bahasa orang Kelantan). Beliau ni tak banyak cakap orangnya dan hanya bercakap yang penting sahaja. Kalau dia boleh bersuara tadi dalam surau tu, itu tandanya memang dia nak kongsi sesuatu.

Walau bagaimanapun, kisah Hud-hud yang memiliki “RADAR PENGESAN AIR” tergolong dalam kategori riwayat Israiliyyat (riwayat bersumber dari Ahli Kitab) yang tidak dapat dipastikan kesahihannya. Boleh jadi benar atau salah. Oleh itu, “dakwaan” ini ia perlu disukat dengan pembuktian saintifik. Samalah perihalnya kemampuan sesetengah haiwan yang dikurniai deria khas mampu melihat malaikat atau syaitan sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

إِذَا سَمِعْتُمْ صِيَاحَ الدِّيَكَةِ فَاسْأَلُوا اللَّهَ مِنْ فَضْلِهِ فَإِنَّهَا رَأَتْ مَلَكًا وَإِذَا سَمِعْتُمْ نَهِيقَ الْحِمَارِ فَتَعَوَّذُوا بِاللَّهِ مِنْ الشَّيْطَانِ  فَإِنَّهُ رَأَى شَيْطَانًا

Ertinya: Apabila kamu mendengar kokokan ayam, maka mohonlah kepada Allah akan kurniaanNya kerana “AYAM ITU TELAH MELIHAT MALAIKAT,” manakala apabila kamu mengengar rengekan keldai, maka mintalah perlindungan dengan Allah daripada (kejahatan) syaitan kerana “KELDAI ITU TELAH MELIHAT SYAITAN” (Sahih al-Bukhari & Muslim).

Malam itu saya belajar sesuatu. Ilmu Allah sangat luas dan ada kalanya ia diletakkan pada sesetengah orang yang kita tak sangka. Saya sangat berharap agar suatu hari nanti ada pakar burung atau ornithologist yang membuat kajian mengenai keunikan burung Hud-hud atau belatuk bagi membuktikan Tafsiran kisah hud-hud dan petua orang kampong seperti Pak Weil. Jika usaha ini dilakukan, mukjizat al-Quran pastinya semakin terserlah.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...