Tuesday, June 6, 2017

SUDAH TIADA YANG BIADAB DUDUK BERASAP DEPAN PINTU MASJID

SUDAH TIADA YANG BIADAB DUDUK BERASAP DEPAN PINTU MASJID

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

“Alhamdulillah! Sudah tiada yang tergamak merokok depan pintu Masjid selepas teguran Ustaz tempohari. Tapi cuba lihat taburan puntung rokok depan pintu masjid, banyak sungguh.”

Itulah keluhan seorang ahli jemaah Masjid Ibn Sina, Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur kepada saya. Nampaknya tingkah laku sesetengah pengunjung masjid yang duduk merokok sambil berjemaah pada pintu utama Masjid memang tidak disenangi ramai jemaah lain, cuma mereka malu untuk menegur.

Saya sendiri perasan beberapa orang perokok duduk berlonggok pada pintu Masjid seawal malam pertama Ramadhan lagi. Masjid ini agak kecil dan pintu utamanya sangat dekat dengan ruang solat utama. Ini antara masalah sesetengah perokok yang biasa saya lihat. Mereka seolah tenggelam dalam asap beracun sehingga tidak nampak dunia sekeliling. Nilai budi, akhlak dan malu mereka seakan lemas ditelan asap rokok. Pernah saya hadir kenduri kahwin seorang ternama di sebuah negeri. Ketika ahli keluarga pengantin saling bertanya khabar, abang kepada orang ternama itu asyik merokok dan menghembus asap tanpa berkira walaupun ahli keluarga yang tua dan muda berdiri berhampiran. Barangkali benar tanggapan saya, “SENSOR” kasihan belas sudah rosak dek sedutan asap rokok.

Kisahnya, pada malam 2 Jun 2017 lepas, ketika mengimamkan solat terawih saya baca ayat daripada surah al-Tawbah. Saya pilih beberapa ayat berkaitan pujian Allah kepada para sahabat nabi di Masjid Quba’ kerana dalam slot tadabbur ayat selepas 8 rakaat saya berhasrat menegur para perokok terbabit. Firman Allah:

لَا تَقُمْ فِيهِ أَبَدًا ۚ لَمَسْجِدٌ أُسِّسَ عَلَى التَّقْوَىٰ مِنْ أَوَّلِ يَوْمٍ أَحَقُّ أَنْ تَقُومَ فِيهِ ۚ فِيهِ رِجَالٌ يُحِبُّونَ أَنْ يَتَطَهَّرُوا ۚ وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُطَّهِّرِينَ

Ertinya: Jangan engkau sembahyang di masjid itu (Masjid Dhirar yang dibina orang munafik) selamanya, kerana sesungguhnya masjid (Quba' yang engkau bina wahai Muhammad), yang didirikan atas dasar taqwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya. DALAM MASJID ITU ADA ORANG LELAKI YANG SUKA (MENGAMBIL BERAT) MEMBERSIHKAN (MENSUCIKAN) DIRINYA; DAN ALLAH MENGASIHI ORANG YANG MEMBERSIHKAN DIRI MEREKA (ZAHIR DAN BATIN) (al-Tawbah [9:108]).

Selepas ayat ini turun, Rasulullah SAW terpegun dengan pujian Allah secara khusus kepada mereka. Lantas segera dihantar wakil bertanya kepada para jemaah Masjid Quba' apa rahsia amalan mereka sehingga mengundang pujian Allah dalam ayat ini? Rupanya mereka akan membersihkan kemaluan dan tempat menunaikan hajat "DENGAN AIR" setiap kali selesai menunaikan hajat (Musnad Ahmad & Tafsir Ibn Kathir).

Dalam tadabbur ringkas itu saya tegaskan, Allah secara terang mengaitkan Masjid dengan isu kebersihan kerana Masjid adalah rumah Allah yang wajib dijaga kebersihan fizikal dan rohaninya. Tindakan merokok, menabur habuk serta puntung rokok pada pintu Masjid sangat biadab dan bercanggah dengan kemuliaan masjid. Apatah lagi hukum merokok sudah lama difatwakan haram oleh para ulama. TERGAMAK ANDA BUAT KERJA HARAM DEPAN PINTU MASJID?

Kesan daripada teguran itu, saya lihat mulai pada malam berikutnya para perokok sudah tidak kelihatan pada tempat biasa. Alhamdulillah! Ini menunjukkan mereka masih memiliki iman kerana iman mereka kepada Allah mendorong munculnya rasa  malu. Sabda Rasulullah SAW:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْإِيمَانُ بِضْعٌ وَسَبْعُونَ أَوْ بِضْعٌ وَسِتُّونَ شُعْبَةً فَأَفْضَلُهَا قَوْلُ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَدْنَاهَا إِمَاطَةُ الْأَذَى عَنْ الطَّرِيقِ وَالْحَيَاءُ شُعْبَةٌ مِنْ الْإِيمَانِ

Ertinya: Abu Hurayrah meriwayatkan Rasulullah SAW pernah bersabda; “Iman mempunyai sebanyak 70 atau 60 cabang. Cabang tertinggi adalah kata-kata (Tawhid) Tiada Tuhan selain Allah, yang paling rendah adalah membuang gangguan daripada jalan (laluan orang ramai), (BEGITU JUGA DENGAN SIFAT) MALU, IA JUGA SATU CABANG IMAN (Sahih al-Bukhari dan Muslim).

Itu baru satu sudut keburukan dan kebiadaban perokok dengan rumah Allah, belum lagi menyentuh adab mereka dengan Allah. Tergamak mereka membuka mulut menghadap Allah dalam solat Isyak dan terawih dengan mulut beraroma rokok.

Rasulullah SAW pernah menolak hidangan yang disediakan sahabatnya Abu Ayyub al-Ansari RA kerana masakannya bercampur bawang. HANYA BAWANG! BUKANNYA ROKOK. Ketika ditanya oleh Abu Ayyub, ini jawapan Rasulullah SAW:

إِنِّي وَجَدْتُ فِيهِ رِيحَ هَذِهِ الشَّجَرَةَ وَأَنَا رَجُلٌ أُنَاجِي ، فَأَمَّا أَنْتُمْ فَكُلُوهُ

Ertinya: Aku dapati padanya (hidangan yang kamu bawa itu ada) bau tanaman ini (bawang), sedang aku adalah seorang yang senantiasa bermunajat (dengan Allah). Bagi kamu semua tidak mengapa, maka makanlah ia (Mustadrak al-Hakim dan ia juga disebut dengan lafaz yang hampir sama dalam al-Sirah al-Nabawiyyah Ibn Kathir, Sahih al-Bukhari & Sahih Muslim)

Dalam hadith lain Rasulullah SAW berpesan:

مَنْ أَكَلَ مِنْ هَذِهِ الشَّجَرَةِ الْمُنْتِنَةِ فَلا يَقْرَبَنَّ مَسْجِدَنَا ، فَإِنَّ الْمَلائِكَةَ تَتَأَذَّى مِمَّا يَتَأَذَّى مِنْهُ الإِنْسُ

Ertinya: Sesiapa yang makan pokok yang tidak elok (baunya) ini (bawang), maka (sebolehnya) jangan dekati masjid kami. Sesungguhnya malaikat terganggu dengan apa yang manusia juga terganggu (baunya yang tidak elok) (Sahih al-Bukhari & Muslim).

Ada para ulama moden mengkiaskan BAU BUSUK BAWANG DENGAN BAU "ROKOK." Walau sama, keduanya tetap berbeza. Bawang baunya tidak elok tetapi masih berkhasiat untuk badan. Rokok pula buruk dan bahaya semuanya.

Sudah sampai masanya para perokok di luar sana berubah dan menggunakan peluang “PUASA RAMADHAN” sebagai terapi untuk meninggalkan terus yang haram seperti rokok. Mudah-mudahan azam kita meninggalkan yang haram dengan latihan Ramadhan akan membuahkan hasil.

Ya Allah! Berikan hidayah kepada para perokok di luar sana agar meninggalkan terus najis rokok. Berikan mereka kekuatan untuk ceraikan terus rokok dengan “TALAK TIGA.” Berikan mereka kekuatan untuk “MEMBUNUH TABIAT MEROKOK DAN MENGKEMBUMIKANNYA TANPA NISAN”, agar tabiat ini tidak menjadi teladan dan ikutan buruk anak cucu mereka kelak. Makbulkan doa kami ini dengan berkat al-Quran dan Ramadhan. Amin!

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...