Thursday, June 22, 2017

SIJIL HALAL DALAM PENARAFAN FESYEN PAKAIAN ISLAM?

SIJIL HALAL DALAM PENARAFAN FESYEN PAKAIAN ISLAM?

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

“Wah cantiknya! Fesyen jubah dan tudung ini pun sangat kena dengan SUSUK TUBUH awak yang cantik.”

Islam tidak menghalang fitrah manusia yang mahu kelihatan cantik asal sahaja ia berlandaskan syariat Islam. Bahkan dalam sesetengah keadaan berdandan cantik untuk suami digalakkan oleh nabi SAW sebagaimana sabdanya:

عَنْ جَابِرٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا قَدِمَ أَحَدُكُمْ لَيْلًا فَلَا يَأْتِيَنَّ أَهْلَهُ طُرُوقًا حَتَّى تَسْتَحِدَّ الْمُغِيبَةُ وَتَمْتَشِطَ الشَّعِثَةُ

Ertinya: Jabir berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Apabila kamu pulang pada waktu malam (sama ada pulang daripada musafir yang jauh atau tempat kerja), maka janganlah terus masuk bertemu isterinya secara mengejut, (sebaliknya berilah peluang kepada isteri berdandan dengan) mencukur bulu sepeninggalan suaminya yang lama dan menyikat rambut yang kusut (Sahih al-Bukhari dan Muslim).

Begitu juga pakaian yang elok ketika menunaikan solat sebagaimana firman Allah:

يَابَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِنْدَ كُلِّ مَسْجِدٍ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ

Ertinya: Wahai anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias setiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang yang melampaui batas (al-A’raf [7:31]).

Walaupun begitu, kegilaan berfesyen juga boleh menjadi “PINTU MASUK” kepada syaitan merosakkan anak Adam. Apa tidaknya, demi desakan nafsu untuk sentiasa kelihatan cantik, ramai manusia sanggup melanggar batasan agama. Usaha mempelbagaikan fesyen sehingga melanggar batas agama sebenarnya terangkum dalam matlamat utama serangan syaitan kepada ayah bonda kita di syurga dahulu. Perhatikan firman Allah ini:

يَابَنِي آدَمَ قَدْ أَنْزَلْنَا عَلَيْكُمْ لِبَاسًا يُوَارِي سَوْآتِكُمْ وَرِيشًا وَلِبَاسُ التَّقْوَى ذَلِكَ خَيْرٌ ذَلِكَ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ لَعَلَّهُمْ يَذَّكَّرُونَ (26) يَابَنِي آدَمَ لَا يَفْتِنَنَّكُمُ الشَّيْطَانُ كَمَا أَخْرَجَ أَبَوَيْكُمْ مِنَ الْجَنَّةِ يَنْزِعُ عَنْهُمَا لِبَاسَهُمَا لِيُرِيَهُمَا سَوْآتِهِمَا إِنَّهُ يَرَاكُمْ هُوَ وَقَبِيلُهُ مِنْ حَيْثُ لَا تَرَوْنَهُمْ إِنَّا جَعَلْنَا الشَّيَاطِينَ أَوْلِيَاءَ لِلَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ (27)

Ertinya: Wahai anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmat-Nya kepada hamba-Nya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur). Wahai anak Adam! Janganlah kamu diperdayakan oleh Syaitan sebagaimana dia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu dari Syurga, SAMBIL DIA MENYEBABKAN TERLUCUTNYA PAKAIAN MEREKA BERDUA UNTUK MEMPERLIHATKAN KEPADA MEREKA: AURAT MEREKA (YANG SEBELUM ITU TERTUTUP) (al-A’raf [7:26-27]).

Fenomena “melucutkan pakaian atau mendedahkan aurat” yang disinggung Allah dalam ayat ini kelihatan sangat sinonim dengan ledakan fesyen pada hari ini. “RUKUN” sesetengah fesyen seakan memerlukan bahagian tertentu tubuh manusia dipamerkan secara percuma untuk tontonan manusia. Lagi jelas “bonjolan” sesetengah bahagian tubuh dipamerkan, maka lebih sedap mata memandang fesyen tersebut. Tambah menyedihkan apabila sesetengah fesyen dihalalkan atas nama busana Muslimah walaupun tarafnya masih jauh daripada kehendak Islam.

Jika dalam industri makanan penarafan sijil HALAL JAKIM sangat penting, apa kurangnya industri fesyen?  Ia bukan hanya isu pakaian tetapi melibatkan soal imej agama. Sebarang tudung, jubah dan pakaian yang menumpang nama Islam atau busanah muslimah perlu melalui penarafan yang sama agar umat Islam boleh bercantik dalam lindungan rahmat Islam. Semoga idea dan usaha ini akan menyelamatkan umat Islam daripada jerat syaitan dalam berfesyen.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...