Monday, June 19, 2017

PERANG BADAR SIRI 6: PENGURUSAN TAWANAN

PERANG BADAR SIRI 6: PENGURUSAN TAWANAN

Soalan: Bagaimanakah sambutan umat Islam Madinah terhadap berita kemenangan luar biasa umat Islam dalam perang Badar?

Jawapan: Bagai tahu keresahan umat Islam Madinah yang menunggu berita perang Badar, baginda SAW mengutus Abdullah bin Rawahah dan Zayd bin Harithah balik mengkhabarkan kemenangan tentera Muslimin. Berita itu disambut dengan laungan Takbir dan kesyukuran. Ketika berita ini sampai, penduduk Madinah baru sahaja selesai mengkebumikan puteri Rasulullah SAW iaitu Ruqayyah RA yang meninggal dunia. Kegeringan beliau sebelum tercetusnya perang Badar menjadi sebab Uthman ibn ‘Affan RA tidak dapat ikut serta dalam perang ini.

Soalan: Saya pernah baca dalam al-Quran mengenai segelintir umat Islam yang terbunuh bersama pihak Musyrikin dalam perang Badar. Siapakah mereka ini dan bagaimanakah nasib mereka?

Jawapan: Mereka adalah beberapa pemuda malang yang pernah memeluk Islam ketika Rasulullah SAW berada di Mekah. Setelah hijrah, mereka enggan berkorban dan kekal di Mekah bersama keluarga mereka. Ketika kerahan dibuat oleh orang Mekah untuk ke medan Badar mereka keluar bersama orang Mekah melawan Rasulullah. Akhirnya mereka terbunuh di pihak Musyrikin (Sahih al-Bukhari). Mereka adalah ‘Ali bin Umayyah bin Khalaf, Abu Qays bin al-Walid bin al-Mughirah, Abu al-‘As bin Munabbih bin al-Hajjaj dan al-Harith bin Zam’ah (Tafsir Ibn Kathir). Nasib malang disebut Allah dalam firmanNya:

إِنَّ الَّذِينَ تَوَفَّاهُمُ الْمَلَائِكَةُ ظَالِمِي أَنْفُسِهِمْ قَالُوا فِيمَ كُنْتُمْ قَالُوا كُنَّا مُسْتَضْعَفِينَ فِي الْأَرْضِ قَالُوا أَلَمْ تَكُنْ أَرْضُ اللَّهِ وَاسِعَةً فَتُهَاجِرُوا فِيهَا فَأُولَئِكَ مَأْوَاهُمْ جَهَنَّمُ وَسَاءَتْ مَصِيرًا

Ertinya: Sesungguhnya orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum kafir musyrik), mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata: "Apakah yang kamu telah lakukan mengenai ugama kamu?" Mereka menjawab: "Kami dahulu adalah orang yang tertindas di bumi". Malaikat bertanya lagi: "Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?" Maka orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam, dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali (al-Nisa’ [4:97]).
Soalan: Saya difahamkan ramai Musyrikin Quraysh ditawan selepas perang Badar. Bagaimana Rasulullah SAW menguruskan mereka? Adakah mereka dibunuh atau diberikan peluang menebus diri. Jika mereka diberi peluang menebus diri, bagaimanakah caranya?

Jawapan: Benar, seramai 70 orang Musyrikin Quraysh ditawan dalam perang Badar. Bagi menguruskan kedudukan mereka, Rasulullah SAW bermesyuarat dengan para sahabatnya. Abu Bakar RA
 
مَا تَرَوْنَ فِي هَؤُلَاءِ الْأُسَارَى فَقَالَ أَبُو بَكْرٍ يَا نَبِيَّ اللَّهِ هُمْ بَنُو الْعَمِّ وَالْعَشِيرَةِ أَرَى أَنْ تَأْخُذَ مِنْهُمْ فِدْيَةً فَتَكُونُ لَنَا قُوَّةً عَلَى الْكُفَّارِ فَعَسَى اللَّهُ أَنْ يَهْدِيَهُمْ لِلْإِسْلَامِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا تَرَى يَا ابْنَ الْخَطَّابِ قُلْتُ لَا وَاللَّهِ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا أَرَى الَّذِي رَأَى أَبُو بَكْرٍ وَلَكِنِّي أَرَى أَنْ تُمَكِّنَّا فَنَضْرِبَ أَعْنَاقَهُمْ فَتُمَكِّنَ عَلِيًّا مِنْ عَقِيلٍ فَيَضْرِبَ عُنُقَهُ وَتُمَكِّنِّي مِنْ فُلَانٍ نَسِيبًا لِعُمَرَ فَأَضْرِبَ عُنُقَهُ فَإِنَّ هَؤُلَاءِ أَئِمَّةُ الْكُفْرِ وَصَنَادِيدُهَا فَهَوِيَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا قَالَ أَبُو بَكْرٍ وَلَمْ يَهْوَ مَا قُلْتُ فَلَمَّا كَانَ مِنْ الْغَدِ جِئْتُ فَإِذَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَبُو بَكْرٍ قَاعِدَيْنِ يَبْكِيَانِ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَخْبِرْنِي مِنْ أَيِّ شَيْءٍ تَبْكِي أَنْتَ وَصَاحِبُكَ فَإِنْ وَجَدْتُ بُكَاءً بَكَيْتُ وَإِنْ لَمْ أَجِدْ بُكَاءً تَبَاكَيْتُ لِبُكَائِكُمَا فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَبْكِي لِلَّذِي عَرَضَ عَلَيَّ أَصْحَابُكَ مِنْ أَخْذِهِمْ الْفِدَاءَ لَقَدْ عُرِضَ عَلَيَّ عَذَابُهُمْ أَدْنَى مِنْ هَذِهِ الشَّجَرَةِ شَجَرَةٍ قَرِيبَةٍ مِنْ نَبِيِّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَنْزَلَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ
{ مَا كَانَ لِنَبِيٍّ أَنْ يَكُونَ لَهُ أَسْرَى حَتَّى يُثْخِنَ فِي الْأَرْضِ إِلَى قَوْلِهِ فَكُلُوا مِمَّا غَنِمْتُمْ حَلَالًا طَيِّبًا }
فَأَحَلَّ اللَّهُ الْغَنِيمَةَ لَهُمْ

Ertinya: Rasulullah SAW bertanya kepada Abu Bakar dan 'Umar, "Apa pendapat kamu mengenai para tawanan ini?" Jawab Abu Bakar, "Wahai Nabi Allah! Mereka adalah anak pakcik dan keluarga kita. Aku berpendapat sebaiknya kita pungut tebusan dari mereka. Dengan begitu kita akan bertambah kuat atas orang kafir, semoga Allah menunjuki mereka untuk masuk Islam." Kemudian Rasulullah bertanya pula kepada 'Umar, "Bagaimana pendapatmu, wahai Ibnu Khattab?" Jawab ku, "Tidak! Demi Allah, ya Rasulullah, aku tidak setuju dengan pendapat Abu Bakar. Aku berpendapat, supaya Anda memberi kesempatan kepada kami untuk memenggal leher mereka. Berilah kesempatan kepada 'Ali untuk memenggal leher si 'Uqail, berilah kesempatan kepadaku untuk memenggal leher si Fulan (maksudnya keluarga 'Umar sendiri). Kerana mereka ini adalah para pemimpin kaum kafir dan pembesar mereka. Rasulullah menyetujui pendapat Abu Bakar, tidak menyetujui pendapatku. Esok aku datang menemui Rasulullah saw. Aku dapati beliau sedang duduk menangis berdua dengan Abu Bakar. Lalu kataku, "Ceritakanlah kepada ku, apa sebabnya anda berdua menangis. Jika aku merasa terharu aku akan turut menangis. Jika aku tidak terharu, aku akan menangis juga kerana tangis anda berdua:" jawab Rasulullah SAW. "Aku menangis, kerana tebusan yang dipungut sahabatmu terhadap para tawanan itu, terasa bagiku lebih dekat daripada pokok ini (sambil beliau menunjukkan sebuah pokok berhampiran baginda). Lalu Allah menurunkan ayat: "Tidak patut bagi seorang Nabi mempunyai tawanan sebelum dia melumpuhkan musuhnya di muka bumi hingga firman-Nya maka makanlah olehmu sebahagian harta rampasan" (al-Anfal [8:67-69). Kerana itu Allah Ta'ala menghalalkan harta rampasan bagi mereka." (Sahih Muslim).

Seterusnya para tawanan dikehendaki menebus diri mereka dengan sejumlah harta,  manakala yang tidak berharta dikehendaki mengajar sejumlah anak orang menulis dan membaca.

Soalan: Apakah ada tawanan yang dibunuh selepas ditawan tanpa diberikan peluang tebusan?

Jawapan: Dalam riwayat sirah terdapat 2 lelaki Quraysh yang diarah bunuh oleh Rasulullah SAW selepas mereka ditawan iaitu al-Nadhar bin al-Harith dan ‘Uqbah bin Abi Mu’ayt. Keduanya diarahkan bunuh oleh Rasulullah SAW berikutan jenayah mereka yang sangat besar terhadap Islam. Al-Nadhar selalu mempersendakan al-Quran dengan tuduhan ia adalah buku dongeng orang lampau. Kisahnya diulang sebut dalam banyak ayat seperti (al-Anfal [8:31-32] dan al-Furqan [25:4-5]). ‘Uqbah pula selalu menganiayai Rasulullah semasa di Mekah. Dia pernah mencurahkan najis serta memijak leher Rasulullah SAW ketika baginda bersujud.

Rujukan: Sirah Ibn Ishaq, Sirah Ibn Hisyam, Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, al-Rahiq al-Makhtum, al-Sirah al-Nabawiyyah Li al-Nadawi, al-Sirah al-Nabawiyyah Fi Daw’ al-Quran Wa al-Sunnah Li Muhammad Abu Syahbah.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...