Wednesday, April 5, 2017

UMUR BOLEH DIPANJNG ATAU DIPENDEK?

UMUR BOLEH DIPANJANG ATAU DIPENDEK?

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Jumaat (Fatir [35:11]) pada 27 Mac 2015. Antara isunya adalah rahsia umur yang menjadi milik mutlak Allah berkaitan tempohnya.

“Kita boleh pilih berapa lama bila kita mahu hidup.”

Saya terkejut apabila seorang Haji menyebut kenyataan itu. Tuan Haji ini bukan calang-calang orangnya, berilmu dan beragama. Bunyinya seakan berakidah Qadariyyah yang percaya kita menjadi tuan kepada takdir secara mutlak 100%. Bagaikan tahu gelojak jiwa saya, beliau menyambung:

“Saya cakap secara kiasan bagi menghapus alasan sesetengah orang Melayu yang seakan berakidah Jabariyah, meletakkan segalanya pada takdir Allah seakan manusia langsung tiada pilihan! Mengapa sakit kencing manis sampai kena potong kaki? Sudah Takdir. Mengapa sampai bercerai? Sudah takdir dan tiada jodoh. Allah memang memegang takdir dan keputusan akhir hidup kita, namun Dia tetap memberikan kita piihan. Jika kita jaga makan, selalu bersenam Insya Allah kita akan sihat dan dapat hidup panjang. Jika kita memandu dengan cermat Insya Allah perjalanan kita selamat. Jika kita menjaga akhlak dalam rumah tangga Insya Allah perkahwinan kita boleh kekal.”

Itulah akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang adil (WASATIYYAH) antara 2 ekstrem akidah Qadariyyah yang meletakkan 100% takdir pada tangan manusia, juga akidah Jabariyah yang pasif meletakkan Takdir sepenuhnya dipegang Allah. Bagi Jabariyah, manusia hanyalah sehelai bulu yang bergerak mengikut alunan angin tanpa pilihan. Akidah yang benar adalah, kita mampu mencorak "sebahagian takdir" kita dengan usaha, ikhtiar dan doa, namun KEPUTUSAN AKHIR SAMA ADA BERJAYA ATAU TIDAK TERTAKLUK PADA ALLAH DENGAN HIKMAH TERSENDIRI.

Antara isu penting bagi manusia adalah jangka hayatnya. Umur adalah misteri dan rahsia Allah. FirmanNya:

وَاللَّهُ خَلَقَكُمْ مِنْ تُرَابٍ ثُمَّ مِنْ نُطْفَةٍ ثُمَّ جَعَلَكُمْ أَزْوَاجًا وَمَا تَحْمِلُ مِنْ أُنْثَى وَلَا تَضَعُ إِلَّا بِعِلْمِهِ وَمَا يُعَمَّرُ مِنْ مُعَمَّرٍ وَلَا يُنْقَصُ مِنْ عُمُرِهِ إِلَّا فِي كِتَابٍ إِنَّ ذَلِكَ عَلَى اللَّهِ يَسِيرٌ

Ertinya: Dan Allah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari (setitis) air benih, kemudian Ia menjadikan kamu berpasangan (lelaki dan perempuan). Dan tiada mengandung seseorang perempuan (juga seekor betina), dan tidak pula satu-satunya melahirkan (anak yang dikandungnya) melainkan dengan keadaan yang diketahui Allah. DAN TIDAK DIBERIKAN SESEORANG BERUMUR PANJANG, JUGA TIDAK DIJADIKAN SESEORANG PENDEK UMURNYA, MELAINKAN ADA KADARNYA DI DALAM KITAB ILAHI. Sesungguhnya yang demikian itu mudah sahaja kepada Allah (Fatir [35:11]).

Rasulullah SAW menegaskan takdir usia boleh berubah melalui 2 cara:

مَنْ سَرَّهُ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ أَوْ يُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ

Ertinya: Sesiapa yang mahu dilapangkan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah dia menghubung hubungan kekeluargaan (Sahih Muslim).

Hadith Rasulullah SAW ini sebenarnya sangat logik dan mampu dilakukan. Saya adalah antara "eksperimen praktikal" hadith ini. Saya menderita sakit buah pinggang sejak tahun 2001. Pada tahun 2008 saya mulai menjalani rawatan dialysis air. Kualiti hidup merosot kerana sakit ini. Terlalu banyak halangan hidup. Tak boleh menunaikan haji, pemakanan sangat terbatas, tak boleh mengembara jauh, tak boleh jauh dari Hospital dan paling menyeksakan terpaksa menjalani rawatan dialisis atau cuci darah (CAPD) dengan kaedah dialisis air sekerap 4 kali sehari.

Pada tahun 2010 ibu saudara saya (Siti Aesahah) bermurah hati mendermakan sebelah dari buah pinggangnya. Saya memang akrab dengannya semenjak kecil. Dengan berkat “keakraban silaturahim” itu, Allah memurahkan rezeki saya dengan hadiah buah pinggangnya. Pada tahun 2010, sebiji buah pinggang yang dibeli dalam pasaran gelap di China mencecah RM 300K. Saya mendapatnya secara percuma. Bukan wang ringgit sahaja rezeki, sebiji buah pinggang “yang memerdekakan hidup saya dari rawatan dialysis” adalah sebuah rezeki yang sangat mahal.

Bukan itu sahaja, usia saya yang menderita sakit buah pinggang dipanjangkan sedikit oleh Allah setelah terlepas dari belenggu dialisis. Menurut "ilmu pinjaman Allah" kepada para Doktor, pesakit seperti saya mengalami risiko jangkitan yang sangat besar. Semasa menjalani rawatan ini, saya bertemu pelajar UIAM yang juga murid saya menjalani rawatan yang sama. Baru-baru ini saya mendapat berita beliau sudah dijemput Allah.

Subhanallah! Benar sekali sabdamu Ya Rasulullah SAW!

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...