Wednesday, April 12, 2017

MURAH REZEKI DI DUNIA ATAU CUKUP BEKAL AKHIRAT DENGAN SURAH AL-WAQI'AH?

MURAH REZEKI DI DUNIA ATAU CUKUP BEKAL AKHIRAT DENGAN SURAH AL-WAQI'AH?

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Ramai yang rungsing makan tak cukup atau harta berkurang, tapi sedikit yang risau bekal tidak cukup ke akhirat. Jika makan tidak cukup, tubuh mungkin menyusut tapi hidup masih boleh diteruskan kerana Allah tidak pernah mengenakan bil oksigen, bil cahaya matahari, bil cahaya bulan, bil sendi badan dan sebagainya. Subhanallah! Sungguh Allah adalah Tuhan yang Maha Pemurah. Tapi awas! Jika amalan atau bekal rohani tidak cukup untuk menghadap Allah kelak, kita akan lapar serta dahaga di alam sana. Lapar dan dahaga akhirat sungguh luar biasa kerana ia bersulam azab yang sangat pedih. Menu makannya adalah buah Zaqqum, minumnya pula air panas menggelegak dan “JUS NANAH” yang meleleh dari luka ahli neraka. Ini yang diulang sebut Allah dalam banyak surah termasuklah dalam surah al-Waqi’ah.

Sebut sahaja surah al-Waqi’ah, langsung terlintas di hati ia adalah surah amalan yang bagus untuk murah rezeki. Benarkah begitu? Kelebihan itu memang disebut dalam sebuah hadith. Hadith ini dilaporkan oleh Abdullah bin Mas’ud RA ketika beliau hampir meninggal. Pada waktu itu beliau ditanya oleh khalifah Uthman bin ‘Affan RA tentang kerunsingan beliau. Abdullah berkata dia tidak risau kefaqiran kepada anak-anaknya kerana sabda Rasulullah SAW:

من قرأ سورة الواقعة في كل ليلة لم تصبه فاقة أبداً

Ertinya: Sesiapa yang membaca surah al-Waqi’ah setiap malam tidak akan ditimpa kefaqiran selamanya (Imam al-Bayhaqi meriwayatkannya dalam Sya’b al-Iman).

Walaupun begitu, hadith ini dihukum sebagai hadith dhaif atau lemah oleh ramai para ulama Hadith seperti Imam Ahmad, Imam Abu Hatim, Imam al-Daruqutni, Imam al-Bayhaqi dan sebagainya. Pun begitu, atas umumnya kelebihan membaca al-Quran surah ini boleh dibaca sebagai amalan bersama surah lain untuk mendapat hidayah dari isinya dan ganjaran pahala  pada setiap hurufnya. Sabda Rasulullah:

اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لِأَصْحَابِهِ اقْرَءُوا الزَّهْرَاوَيْنِ الْبَقَرَةَ وَسُورَةَ آلِ عِمْرَانَ فَإِنَّهُمَا تَأْتِيَانِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَأَنَّهُمَا غَمَامَتَانِ أَوْ كَأَنَّهُمَا غَيَايَتَانِ أَوْ كَأَنَّهُمَا فِرْقَانِ مِنْ طَيْرٍ صَوَافَّ تُحَاجَّانِ عَنْ أَصْحَابِهِمَا اقْرَءُوا سُورَةَ الْبَقَرَةِ فَإِنَّ أَخْذَهَا بَرَكَةٌ وَتَرْكَهَا حَسْرَةٌ وَلَا تَسْتَطِيعُهَا الْبَطَلَةُ

Ertinya: Bacalah al-Quran, kerana ia akan datang memberi syafaat kepada pembacanya pada hari kiamat nanti. Bacalah Zahrawain, iaitu surah Al Baqarah dan Ali 'Imran, kerana keduanya akan datang pada hari kiamat nanti, seperti 2 tompok tumpuk awan menaungi pembacanya, atau seperti 2 kelompok burung yang sedang terbang dalam formasi hendak membela pembacanya. Bacalah Al Baqarah, kerana dengan membacanya beroleh berkat, dan dengan tidak membacanya beroleh penyesalan, dan pembacanya tidak dapat dikuasai (di kalahkan) oleh ahli sihir (Sahih Muslim).

Dalam hadith yang lebih sahih, surah al-Waqi’ah membawa sudut pandang yang lebih “kena atau tepat” dengan isinya yang berkait kegemparan akhirat. Rasulullah SAW beruban memikirkan kegemparan isi surah al-Waqi’ah bersama surah yang lain. Pada suatu hari, Sayyidina Abu Bakar al-Siddiq RA bertanya:

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ قَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ  يَا رَسُولَ اللَّهِ قَدْ شِبْتَ قَالَ شَيَّبَتْنِي هُودٌ وَالْوَاقِعَةُ وَالْمُرْسَلَاتُ وَعَمَّ يَتَسَاءَلُونَ وَإِذَا الشَّمْسُ كُوِّرَتْ

Ertinya: Ibn ‘Abbas menyebut, pada suatu hari Abu Bakar RA bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, engkau sudah beruban?” Baginda menjawab: “(Kedahsayatan isi kandungan) surah Hud, AL-WAQI’AH, al-Mursalat, al-Naba’ dan al-Takwir menjadikan aku beruban (Sunan al-Tirmidhi, Mustadrak al-Hakim).

Surah al-Waqi’ah bukan surah biasa kerana bayangan kiamat dipamerkannya dengan dahsyat sehingga boleh melumpuhkan sendi lutut. Gunung digegar kuat sehingga menjadi debu berterbangan! Jika rumah kita bersebelahan dengan kawasan industri kuari, dentuman dinamit yang menggegar bukit bagi menghancurkan batunya menjadi halus seperti kerikil pasti membuat kita tidak senang duduk. Bayangkan pula jika makhluk Allah seteguh gunung Everest atau gunung K-2 dilebur menjadi debu. Pastinya tubuh kita sudah tidak berjasad pada waktu itu. Inilah gambaran surah al-Waqi’ah:

إِذَا رُجَّتِ الْأَرْضُ رَجًّا (4) وَبُسَّتِ الْجِبَالُ بَسًّا (5) فَكَانَتْ هَبَاءً مُنْبَثًّا (6)

Ertinya: (Ia berlaku) semasa bumi bergoncang dengan sebebar-benar goncangan. Dan gunung-ganang dihancur leburkan dengan selebur-leburnya, LALU JADILAH IA DEBU YANG BERTEBARAN (al-Waiq’ah [56:4-6]).

Benar apa yang dirunsingkan Rasulullah SAW, kegemparan kiamat sangat dahsyat kerana bukan sahaja yang berusia boleh beruban, kanak-kanak pun boleh beruban. Firman Allah:

فَكَيْفَ تَتَّقُونَ إِنْ كَفَرْتُمْ يَوْمًا يَجْعَلُ الْوِلْدَانَ شِيبًا

Ertinya: (Sekiranya kamu tidak ditimpa azab di dunia), maka bagaimana kamu dapat menjaga dan menyelamatkan diri kamu - kalau kamu kufur ingkar - (dari azab) hari yang huru-haranya menyebabkan kanak-kanak menjadi tua beruban? (al-Muzzammil [73:17]).

Setelah berlaku kiamat, Allah dengan kuasaNya yang mutlak akan “MENGANGKAT-MULIA” serta “MENJATUH-HINAKAN” beberapa kumpulan manusia (ayat 3 dan 7-9). Manusia yang mulia terdiri dari 2 golongan iaitu golongan istimewa (VVIP) (ayat 10 – 26) dan golongan kanan (ayat 27 – 40). Manusia hina pula dihumban serta diseksa dengan dahsyat dalam neraka (ayat 41 – 57).

Surah al-Waqi’ah mengingatkan kita agar menyediakan bekal rohani sebanyak mungkin kerana apabila tiba di akhirat, wang ringgit dan emas permata tidak akan diterima sebagai mata wang. Hanya “MATA WANG PAHALA” laku digunakan. Kunyah dan hadamlah surah ini sedaya mampu agar ia menjadi makanan berzat untuk rohani kita seiring kehendak Allah. Setelah rohani sihat dan segar bugar, kita mampu meraih tiket ke syurga sama ada sebagai VVIP atau golongan kanan. “INILAH REZEKI SEBENAR YANG WAJIB DIKEJAR OLEH SEMUA YANG MENGAKU BERIMAN.”
 

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...