Tuesday, April 25, 2017

AYAH BONDA ADALAH WALI KERAMAT

AYAH BONDA ADALAH WALI KERAMAT

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Sungguh! Ibu bapa adalah insan penuh keramat. Saya pernah mengalami bukti keramatnya ibu ketika berusia 14 tahun. Pada suatu pagi saya berselisih faham dengan ibu, lantas saya keluar ke sekolah dalam perasaan marah kepada ibu walaupun salahnya jelas di pihak saya. Itulah gelojak jiwa si anak remaja yang bodoh. Ketika hampir sampai ke jalan raya untuk menaiki bas ke sekolah, tiba-tiba saya dengar satu bunyi kuat dari atas. Bunyi kelapa gugur!

Astaghfirullah! Biji kelapa kecil itu “HINGGAP TEPAT ATAS KEPALA SAYA.” Saya hampir jatuh terduduk kerana sakitnya tak terkira. Pada waktu itu rasa bersalah segera hinggap ke dalam minda. Pagi itu saya mendapat “teguran tunai” dari Allah atas kebiadaban dengan ibu. Pulang sahaja dari sekolah petang itu, saya segera memohon maaf dan mencium ibu. 

Sekarang, kisah itu sudah menjadi kenangan dalam lipatan sejarah. Abah dijemput Allah pada tahun 2007. Manakala pada tanggal 17 April 2017 lepas tepat jam 6:38 pagi, bonda saya Kamariah binti Haji Mohd Nor pula dijemput Allah setelah hampir 4 tahun bertarung hidup dalam koma di Kelantan. Ibu jatuh koma pada tahun 2013 kerana serangan jantung dan strok.

Saya antara yang paling kurang jasa kepada ibu setelah beliau koma di Kampong kerana Allah takdirkan rezeki saya berada di Selangor. Saya cuma mampu pulang sebulan sekali menjengok ibu. Adik beradik di kampong berpeluang menabur bakti menjaga rapi ibu. Jagaan adik beradik kami mendapat pujian para doktor yang merawat. Luka di belakang ibu cepat sembuh, kulitnya segar dan lembab. Pendek kata ibu kelihatan seperti puteri yang tidur nyenyak walaupun sedang koma.

Iri hati saya terhadap adik beradik yang begitu banyak jasa menjaga ibu selama tempoh koma mendorong saya berdoa tanpa putus:

“Ya Allah! Berilah aku peluang berbakti kepada ibu! Berilah rezeki agar aku dapat bersama ibu ketika Engkau menjemputnya. Berikan peluang padaku mengimamkan solat jenazahnya dan berikan aku peluang untuk menyambut ibu masuk ke liang lahad.”

Alhamdulillah! Ternyata Allah sangat Pemurah kerana doa saya itu dimakbulkan sepenuhnya ketika ibu dijemput pulang oleh Allah. Pengorbanan abah dan ibu mendidik serta membesarkan kami 11 beradik sangat besar. Antara resepi utama mereka berdua adalah doa, doa dan doa.  Antara doa wajib yang selalu diulang oleh abah selepas kami selesai solat berjamaah adalah doa nabi Ibrahim AS yang direkodkan Allah dalam al-Quran:

رَبِّ هَبْ لِي مِنَ الصَّالِحِينَ

Ertinya: "Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang yang soleh!" (al-Saffat [37:100]).

Ternyata abah dan ibu sangat menjiwai sabda Rasulullah SAW ini:

ثَلَاثُ دَعَوَاتٍ مُسْتَجَابَاتٌ لَا شَكَّ فِيهِنَّ دَعْوَةُ الْوَالِدِ وَدَعْوَةُ الْمُسَافِرِ وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ

Ertinya: 3 jenis doa yang tiada keraguan pada penerimaannya (oleh Allah), iaitu doa (ibu) bapa kepada anaknya (sama ada doa yang baik atau buruk), doa orang musafir dan doa orang yang sedang dizalimi (Sunan Abu Dawud).

Bakti kepada ibu bapa menduduki carta kedua selepas ketuhanan Allah. Buktinya, Allah selalu menggandingkan kepentingan menjaga Hak-Nya sebagai Tuhan bersama hak ibu bapa dalam banyak ayat (al-Baqarah[2:83], al-Nisa’ [4:36], al-An’am[6:151], al-Isra’ [17:23-24]  dan Luqman [31:13-14]). Dengan kata lain, derhaka kepada Allah dan ibu bapa menjadi 2 dosa besar yang wajib dihindari sejauh mungkin. Bukan setakat itu, hak bapa dalam nasab serta penamaan anak-anak adalah hak ekslusif yang diwartakan Allah. Menafikan hak itu termasuk dalam dosa besar yang dilarang Allah:

ادْعُوهُمْ لِآبَائِهِمْ هُوَ أَقْسَطُ عِنْدَ اللَّهِ فَإِنْ لَمْ تَعْلَمُوا آبَاءَهُمْ فَإِخْوَانُكُمْ فِي الدِّينِ وَمَوَالِيكُمْ وَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ فِيمَا أَخْطَأْتُمْ بِهِ وَلَكِنْ مَا تَعَمَّدَتْ قُلُوبُكُمْ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا

Ertinya: Panggilah anak angkat itu dengan ber"bin"kan kepada bapa mereka sendiri; cara itulah yang lebih adil di sisi Allah. Dalam pada itu, jika kamu tidak mengetahui (siapa nama) bapa mereka, maka panggilah mereka sebagai saudara seagama denganmu dan sebagai "maula-maula" kamu. Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan (ingatlah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (al-Ahzab [33:5]).

Hubungan anak dengan ibu pula berada pada tahap yang lebih tinggi kerana ibu menanggung susah yang jauh lebih hebat. Susah “asasi” dalam kandungan dan susuan sahaja sudah mencecah 30 bulan sebagaimana firman Allah:

وَوَصَّيْنَا الْإِنْسَانَ بِوَالِدَيْهِ إِحْسَانًا ۖ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ كُرْهًا وَوَضَعَتْهُ كُرْهًا ۖ وَحَمْلُهُ وَفِصَالُهُ ثَلَاثُونَ شَهْرًا

Ertinya: Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa 30 bulan… (al-Ahqaf [46:15]).

Cara mengenang jasa ibu bapa kita yang masih hidup atau sudah dijemput Allah adalah dengan menjadi anak soleh yang sentiasa mendoakan pengampunan kepada mereka. Ia direkodkan Allah dalam kisah doa nabi Ibrahim AS:

رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Ertinya: "Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan" (Ibrahim [14:41]).

Juga doa nabi Nuh AS:

رَبِّ اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِمَنْ دَخَلَ بَيْتِيَ مُؤْمِنًا وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ وَلَا تَزِدِ الظَّالِمِينَ إِلَّا تَبَارًا

Ertinya: "Wahai Tuhanku! Ampunkanlah bagiku, dan bagi kedua ibu bapaku, serta bagi sesiapa yang masuk ke rumahku dengan keadaan beriman; dan (ampunkanlah) bagi sekalian orang yang beriman, lelaki dan perempuan (dalam segala zaman); dan janganlah Engkau tambahi orang yang zalim melainkan kebinasaan!" (Nuh[71:28]).

Akhir kata, bagi menghibur jiwa orang yang diuji kehilangan ibu bapa tercinta, ketahuilah bahawa perpisahan itu hanya seketika. Kita bakal bersatu kembali  dengan mereka dalam syurga kelak “jika kita turut bersatu dalam iman dan taqwa” bersama mereka semasa di dunia ini. Bukan saya kata, tetapi Allah sendiri yang jamin dalam firman-Nya:

وَالَّذِينَ آَمَنُوا وَاتَّبَعَتْهُمْ ذُرِّيَّتُهُمْ بِإِيمَانٍ أَلْحَقْنَا بِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَمَا أَلَتْنَاهُمْ مِنْ عَمَلِهِمْ مِنْ شَيْءٍ كُلُّ امْرِئٍ بِمَا كَسَبَ رَهِينٌ

Ertinya: Dan orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam Syurga); dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amalan mereka; setiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya (al-Tur[52:21]).

Bahkan dalam sebuah hadith, Rasulullah SAW turut menegaskan perkara yang sama:

إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ لَيَرْفَعُ الدَّرَجَةَ لِلْعَبْدِ الصَّالِحِ فِي الْجَنَّةِ فَيَقُولُ يَا رَبِّ أَنَّى لِي هَذِهِ فَيَقُولُ بِاسْتِغْفَارِ وَلَدِكَ لَكَ

Ertinya: Sesungguhnya Allah akan benar-benar mengangkat kedudukan hamba yang soleh dalam syurga kelak. Dia pun akan bertanya: Wahai Tuhanku, bagaimana mungkin aku mendapat kedudukan (yang tinggi sebegini sedangkan amalku tidak seberapa). Allah lalu menjawab: Ia berkat anakmu yang selalu memohon pengampunan (kepada Allah terhadap) dosamu  (Musnad Ahmad).

Ayuh! Tingkatkan usaha kita semua menjadi anak yang soleh agar ni’mat bahagia, rindu dan cintakan ibu bapa terus bersambung di akhirat kelak. 

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...