Monday, March 27, 2017

UNTUNGNYA INSAN YANG DICARI PARA MALAIKAT

UNTUNGNYA INSAN YANG DICARI PARA MALAIKAT

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

Tanyalah siapa sahaja, tanpa mengira agama atau bangsa, jawapan mereka pasti sama iaitu - “MALAIKAT ADALAH MAKHLUK ISTIMEWA YANG MULIA.” Itulah kelebihan para malaikat yang sangat dekat dengan jiwa manusia. Al-Quran merekodkan banyak sekali umat lampau yang engkar kepada para Rasul, tapi sangat menghormati para malaikat. Mereka sangat mengharapkan agar para rasul yang datang kepada mereka muncul dalam bentuk malaikat dan bukannya manusia. Antaranya Fir’awn:

فَلَوْلَا أُلْقِيَ عَلَيْهِ أَسْوِرَةٌ مِنْ ذَهَبٍ أَوْ جَاءَ مَعَهُ الْمَلَائِكَةُ مُقْتَرِنِينَ

Ertinya: (Firawn berkata lagi)"(Kalau betul dia [Musa] seorang Rasul) maka sepatutnya dia dipakaikan (oleh Tuhannya) gelang emas (yang menandakan dia seorang pemimpin), atau datang MALAIKAT bersama-sama dengannya (sebagai saksi tentang kebenarannya)?" (al-Zukhruf[43:53]).

Perkara sama pernah dijadikan alasan oleh kaum nabi Nuh:

فَقَالَ الْمَلَأُ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ قَوْمِهِ مَا هَذَا إِلَّا بَشَرٌ مِثْلُكُمْ يُرِيدُ أَنْ يَتَفَضَّلَ عَلَيْكُمْ وَلَوْ شَاءَ اللَّهُ لَأَنْزَلَ مَلَائِكَةً مَا سَمِعْنَا بِهَذَا فِي آبَائِنَا الْأَوَّلِينَ

Ertinya: Maka ketua yang kafir dari kaumnya berkata (sesama sendiri)): "Orang ini (nabi Nuh AS) hanyalah seorang manusia seperti kamu, dia bertujuan hendak melebihkan dirinya daripada kamu. Dan kalaulah Allah berkehendak (mengutuskan seorang Rasul) TENTULAH DIA MENURUNKAN MALAIKAT MENJADI RASULNYA. Kami tidak pernah mendengar seruan seperti ini dalam kalangan datuk nenek kami yang telah lalu (al-Mu’minun[23:23-24]).

Ia turut berlaku kepada kaum ‘Ad dan Thamud sebagaimana disebut Allah dalam surah Fussilat ayat 13 dan 14. Bukan setakat itu, kemuncak kecantikan fizikal sering dikaitkan dengan malaikat sebagaimana lantunan rasa kagum wanita Mesir tatkala melihat ketampanan luar biasa nabi Yusuf AS:

فَلَمَّا سَمِعَتْ بِمَكْرِهِنَّ أَرْسَلَتْ إِلَيْهِنَّ وَأَعْتَدَتْ لَهُنَّ مُتَّكَأً وَآتَتْ كُلَّ وَاحِدَةٍ مِنْهُنَّ سِكِّينًا وَقَالَتِ اخْرُجْ عَلَيْهِنَّ فَلَمَّا رَأَيْنَهُ أَكْبَرْنَهُ وَقَطَّعْنَ أَيْدِيَهُنَّ وَقُلْنَ حَاشَ لِلَّهِ مَا هَذَا بَشَرًا إِنْ هَذَا إِلَّا مَلَكٌ كَرِيمٌ

Ertinya: Maka apabila dia (Zulaikha) mendengar cacian mereka, dia pun menjemput mereka dan menyediakan satu jamuan untuk mereka, serta diberi kepada setiap seorang mereka sebilah pisau. Dan pada ketika itu dia berkata (kepada Yusuf): "Keluarlah di hadapan mereka". Maka ketika mereka melihatnya, mereka tercengang melihat kecantikan parasnya, dan mereka dengan tidak sedar melukakan tangan mereka sambil berkata: "Jauhnya Allah dari kekurangan! INI BUKANLAH SEORANG MANUSIA, INI TIDAK LAIN MELAINKAN MALAIKAT YANG MULIA!" (Yusuf [12:31]).

Ketika manusia begitu mengharapkan bantuan serta dampingan para malaikat, rupanya ada manusia yang senantiasa dicari oleh para malaikat. Pasti orang yang dicari para malaikat itu sangat istimewa. Siapakah mereka? Biarlah hadith Rasulullah SAW ini menjawab:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ لِلَّهِ مَلَائِكَةً يَطُوفُونَ فِي الطُّرُقِ يَلْتَمِسُونَ أَهْلَ الذِّكْرِ فَإِذَا وَجَدُوا قَوْمًا يَذْكُرُونَ اللَّهَ تَنَادَوْا هَلُمُّوا إِلَى حَاجَتِكُمْ قَالَ فَيَحُفُّونَهُمْ بِأَجْنِحَتِهِمْ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا قَالَ فَيَسْأَلُهُمْ رَبُّهُمْ وَهُوَ أَعْلَمُ مِنْهُمْ مَا يَقُولُ عِبَادِي قَالُوا يَقُولُونَ يُسَبِّحُونَكَ وَيُكَبِّرُونَكَ وَيَحْمَدُونَكَ وَيُمَجِّدُونَكَ قَالَ فَيَقُولُ هَلْ رَأَوْنِي قَالَ فَيَقُولُونَ لَا وَاللَّهِ مَا رَأَوْكَ قَالَ فَيَقُولُ وَكَيْفَ لَوْ رَأَوْنِي قَالَ يَقُولُونَ لَوْ رَأَوْكَ كَانُوا أَشَدَّ لَكَ عِبَادَةً وَأَشَدَّ لَكَ تَمْجِيدًا وَتَحْمِيدًا وَأَكْثَرَ لَكَ تَسْبِيحًا قَالَ يَقُولُ فَمَا يَسْأَلُونِي قَالَ يَسْأَلُونَكَ الْجَنَّةَ قَالَ يَقُولُ وَهَلْ رَأَوْهَا قَالَ يَقُولُونَ لَا وَاللَّهِ يَا رَبِّ مَا رَأَوْهَا قَالَ يَقُولُ فَكَيْفَ لَوْ أَنَّهُمْ رَأَوْهَا قَالَ يَقُولُونَ لَوْ أَنَّهُمْ رَأَوْهَا كَانُوا أَشَدَّ عَلَيْهَا حِرْصًا وَأَشَدَّ لَهَا طَلَبًا وَأَعْظَمَ فِيهَا رَغْبَةً قَالَ فَمِمَّ يَتَعَوَّذُونَ قَالَ يَقُولُونَ مِنْ النَّارِ قَالَ يَقُولُ وَهَلْ رَأَوْهَا قَالَ يَقُولُونَ لَا وَاللَّهِ يَا رَبِّ مَا رَأَوْهَا قَالَ يَقُولُ فَكَيْفَ لَوْ رَأَوْهَا قَالَ يَقُولُونَ لَوْ رَأَوْهَا كَانُوا أَشَدَّ مِنْهَا فِرَارًا وَأَشَدَّ لَهَا مَخَافَةً قَالَ فَيَقُولُ فَأُشْهِدُكُمْ أَنِّي قَدْ غَفَرْتُ لَهُمْ قَالَ يَقُولُ مَلَكٌ مِنْ الْمَلَائِكَةِ فِيهِمْ فُلَانٌ لَيْسَ مِنْهُمْ إِنَّمَا جَاءَ لِحَاجَةٍ قَالَ هُمْ الْجُلَسَاءُ لَا يَشْقَى بِهِمْ جَلِيسُهُمْ

Abu Hurayrah RA berkata, Rasulullah SAW pernah bersabda: Allah mempunyai para malaikat yang tugasnya mengelilingi dunia mencari ahli zikir (orang yang menghadiri majlis ilmu, zikir dan sebagainya). Apabila menemuinya, para malaikat memanggil malaikat yang lain seraya berkata “Ayuhlah kamu semua memenuhi hajat kamu – menyertai majlis zikir.” Para malaikat itu kemudiannya berkerumun mengelilingi orang yang sedang berzikir itu dengan sayap mereka sehingga memenuhi antara mereka dan langit dunia (terdekat).

Allah kemudiannya bertanya kepada mereka, sedangkan Allah Maha Tahu perbuatan mereka - "Apa yang diminta oleh hamba-Ku (dalam majlis zikir tersebut?).”Para malaikat menjawab: “Mereka bertasbih, bertakbir, memuji dan mengangungkan-Mu.” Allah bertanya lagi: “Adakah mereka (mampu) melihat-Ku?” Para malaikat menjawab: “Demi Allah! Mereka tidak dapat melihat-Mu.” Allah bertanya: “Apa akan jadi jika mereka mampu melihat-Ku?” Para malaikat menjawab: “Sudah pasti mereka akan tambah banyak beribadat pada-Mu, mengagungkan-Mu, memuji-Mu dan bertasbih pada-Mu.”

Allah bertanya lagi: "Apa yang mereka mohon pada-Ku?" Malaikat menjawab: "Mereka memohon syurga." Allah bertanya: "Adakah mereka pernah melihat syurga-Ku?" Malaikat menjawab: "Tidak pernah.” Allah bertanya: "Apa akan jadi jika mereka dapat melihat syurga!" Malaikat menjawab: "Sudah pasti mereka akan bertambah keinginan mencapainya.”

Allah bertanya: “Apa yang mereka mohon perlindungan (dari-Ku)?” Malaikat menjawab: “Mereka memohon perlindungan-Mu dari azab neraka.” Allah bertanya: "Adakah mereka pernah melihat neraka?" Malaikat menjawab: "Tidak pernah.'" Allah bertanya: "Apa akan jadi jika mereka dapat melihat neraka!" Malaikat menjawab: "Sudah pasti mereka akan lari jauh daripadanya dalam ketakutan.”

Allah berfirman: “Aku jadikan kamu semua sebagai saksi bahawa Aku sudah ampunkan (dosa) mereka.” Satu malaikat berkata: “Dalam kalangan mereka ada seorang lelaki yang datang bukan kerana niat berzikir, tetapi masuk bersama mereka kerana suatu tujuan lain.”  Allah berfirman:  “Mereka semua (Aku ampunkan) kerana orang yang duduk bersama mereka tidak akan ditimpa celaka (Sahih al-Bukhari).

Dalam hadith lain Rasulullah bersabda:

مَا مِنْ خَارِجٍ خَرَجَ مِنْ بَيْتِهِ فِي طَلَبِ الْعِلْمِ إِلَّا وَضَعَتْ لَهُ الْمَلَائِكَةُ أَجْنِحَتَهَا رِضًا بِمَا يَصْنَعُ

Ertinya: Seseorang yang keluar daripada rumahnya kerana niat menuntut ilmu akan dinaungi oleh para malaikat sebagai suatu tanda gembira (redha) atas usahanya (menuntut ilmu) itu (Sunan Ibn Majah, Musnad Ahmad).

Semua kita maklum bahawa masjlis zikir atau majlis ilmu biasanya berlangsung dalam surau atau masjid. Rupanya dalam diam, para malaikat turut berdamping dengan kaki surau dan masjid sebagaimana sabda Rasulullah SAW ini:

إن للمساجد أوتادا هم أوتادها ، لهم جلساء من الملائكة ، فإن غابوا سألوا عنهم ، وإن كانوا مرضى عادوهم ، وإن كانوا في حاجة أعانوهم .

Ertinya: Sesungguhnya bagi masjid itu ada "tiang serinya", mereka (kaki surau masjid) mempunyai teman (se-masjid) dari kalangan para malaikat, jika mereka tidak hadir (ke masjid) para malaikat akan bertanya khabar perihal mereka, jika mereka sakit para malaikat akan menziarahinya dan jika mereka mempunyai keperluan, para malaikat akan membantu mereka (Mustadrak al-Hakim).

Subhanallah! Sungguh beruntung orang yang hidupnya diikat dengan majlis zikir atau majlis ilmu. Ketika orang lain masih berangan untuk bertemu atau berdamping dengan para malaikat, makhluk Allah yang mulia ini rupanya sudah saban hari mendampingi mereka. Ayuh kita bersama menjadi ahli kelab malaikat dengan memenuhi majlis zikir dan ilmu.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...